Thursday, January 17, 2008

Aku buntu


Olympic athens 2004
This picture was taken at the apartment we rented throughout the Games. It belonged to the Morous. Front row (from left) Khalid Redza, Rizal Hashiml, Tham Foo Kan. (Back) from left to right, me, Badrul or Buddy and cigar-smoking Rokk who must have been thinking he was the best looking dude of the crew. The Jalur Gemilang was left behind as a token of appreciation to the Morous.


LAMA aku tenung layar komputer riba ini. Putih kosong. Cuba menyusun ayat tetapi semuanya tidak kena pada apa yang mahu disampaikan. Maksudnya lari. Aku padam lagi. Kemudian bentuk ayat baru,padam lagi. Entah kenapa idea tidak muncul-muncul untuk kolum ini.

Aku melihat sekeliling.Suasana dewan bertugas Pusat Media Utama (MPC) seperti biasa, sibuk. Disinilah berkumpulnya rakan-rakan media daripada pelbagai agensi dan syarikat penerbitan bertugas.

Mereka juga seperti aku sibuk menyiapkan laporan dan ulasan berita secepat dan setepat mungkin. Di sebelah kanan aku, seorang wartawan dari Uruguay. Dari tadi wajahnya tunduk. Tidak bergerak. Jari lancar mengetuk keyboard. Dunianya ketika itu adalah apa yang ada di depan mata. Tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling. Dia juga tidak perasan aku memerhatinya dari tadi.

Dia menarik nafas panjang kemudian mengangkat muka. Menoleh memandang aku.Kami berbalas senyuman. Manis juga gadis berambut perang bermata biru ini. Tidak ada reaksi mahu memulakan perbualan. Dia kemudian tunduk menghadap komputernya semula. Aku mengeluh panjang.

Kiri aku pula kosong. Daripada tadi tiada penghuni. Yang tinggal hanyalah komputer riba dan nota sahaja. Siapa gerangannya, aku tidak tahu.

Barangkali kebuntuan ini berpunca kerana kecewa. Kecewa kerana mungkin aku tidak berkesempatan lagi melakarkan kegembiraan atlit negara meraih pingat Sukan Olimpik.
Bila gagalnya Wong Choong Hann serta rakan-rakan lain di Dewan Olimpik Goudi, musnahlah impian aku merasai kemanisan Olimpik.

Peluang bertugas di temasya sukan tertua dunia ini biasanya hanya datang sekali. Sekali sepanjang karier seorang wartawan sukan. Olimpik adalah kemuncak kepada segala-galanya. Kerana itu harga Olimpik terlalu mahal.

Barangkali, aku tidak beruntung seperti rakan setugas terdahulu. Bagaimana mereka merasai sendiri kejayaan Razif, Jalani dan Rashid Sidek, Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang merai kejayaan. Leher mereka tersemat medal perak dan gangsa yang tergantung dekat dengan hati masing-masing.

Hati yang tidak takut mati, tidak gentar hadapi tentangan. Alangkah bertuahnya mereka kerana merasai debaran cemas pertarungan, menungggu mata penamat dan sama-sama melonjak kegembiraan bila kemenangan sudah dalam genggaman. Kemudian menceritakan semua itu dalam kolum masing-masing.

Apa lagi yang tinggal buat aku di sini.

Gadis Uruguay sudah lama beredar. Mungkin tugasannya sudah selesai untuk hari ini. Perginya tidak langsung aku sedar.

Argghhh... Aku tidak boleh mengarang. Aku perlu keluar daripada dewan ini mencari semula ilham yang hilang. Mematikan laptop, memasukkannya ke dalam beg sandang dan terus melangkah keluar.

Angin sejuk menyapa di luar terasa sampai ke tulang. Aku mendongak dan melihat kaki langit Athens mulai merah. Matahari sudah hampir terbenam

Senja di Athens cukup indah sekali.

Aku semakin jauh


Olympic Athens 2004
The routine after each sweat-inducing day was to makan-makan lah...at the Indian Village owned by a Pakistani. From left Rizal Abdullah of the Star, Rizal, Buddy, me, Hamdan Saaid of Bernama (now he's with Berita Harian) and D. Raj of the Star.


ACROPOLIS, lambang keagungan Athens, indah dari pandangan di kaki bukit.Ia berubah warna mengikut pancaran matahari. Putih bila matahari tepat di atas kepala dan kekuningan bila mendekat senja.

Aku lihat bangunan Parthenon kekuningan dari Stadium Panathinaiko, gelanggang acara memanah purba yang dibina pada 330 Sebelum Masihi (SM). Kilauannya menggamit aku untuk menghampirinya seolah-olah mencabar untuk berada dipuncak.

Aku mahu menawan Acropolis, seperti berjaya dilakukan Kerajaan Uthmanniah. Begitu ironisnya Acropolis sehingga rakan setugas dari Berita Harian,Badrulhisham Otman, mengabadikan nama itu dalam kolumnya.

Dia mahu mendaki Acropolis tetapi aku tidak pasti sama ada dia sudah melakukannya atau belum.

Kaki terus menghala ke sana. Menyeberangi jalan besar Konstandinou yang membawa aku menyusuri Agora yang di kiri kanannya deretan pokok zaitun. Disinilah berdirinya Beule Gate, satu-satunya gerbang masuk utama yang tinggal, kekal hingga ke hari ini.
Enam daripadanya sudah tumbang kerana hukum alam dan runtuh akibat peperangan.

Kaki bukit Acropolis semakin hampir. Bayangnya sedikit kemerahan kerana senja sudah di kaki langit. Namun langkah aku terhenti bila di depan terpacak deretan gerai kraftangan, sulaman, souvenir, buahan kering dan makanan ringan. Tidak ubah seperti pasar malam di tanah air dan dibuka hanya pada hujung minggu.

Kerana ajakan rakan, hala kaki ku berubah arah. Sepatutnya terus mara ke depan tetapi melencong ke lorong kiri. Terdapat kira-kira 60 gerai jajaan semuanya.

Daripada sekecil barangan pin, tembikar, logam, kaca hinggalah ke ukiran kayu, arca haruman lilin, kain, lukisan cat, semuanya diperagakan untuk pengunjung. Harganya juga jauh lebih murah, berbanding di pusat bandar.

Ketika asyik melihat barangan tembikar, bahu aku terasa seperti dicuit orang. Bila menoleh, tiada sesiapapun di belakang, yang ada cuma sebuah gerai menjual hiasan pelekat magnet.

Lantas aku teringkat pada seorang kenalan lama. Dia adalah pengumpul tegar hiasan magnet ini. Sebagai penuntut Malaysia di luar negara, mudah baginya membuat koleksi itu ketika mengunjungi negara-negara yang dilawatinya ketika cuti musim panas.

Malah aku sendiri akhirnya terjebak dengan hobinya itu. Boleh dikatakan banyak juga
yang telah aku kumpulkan. Ada sahaja masa terluang ketika tugasan di luar negara, akan aku gunakan untuk mencarinya. Ada juga koleksi yang aku pesan dari rakan-rakan.

Pelekat magnet ini menjadi hiasan kepada peti sejuk di rumah. Bila melihat magnet ini, dengan sendirinya ingatan kepada negara yang pernah aku dilawati menjelma. Memang ada pahit dan manisnya. Maklumlah perantau di tempat orang.

Magnet yang diberi oleh kenalan lama itu masih terlekat kemas, tidak berubah kedudukan, seperti mana asalnya aku letaknya di situ. Begitu kukuhnya ia melekat, kukuh lagi ingatan aku terhadapnya.

Masa berlalu menjarakkan persahabatan kami berdua. Tidak ada berita. Tiada pesanan mahupun khabar. Masih adakah lagi atau tidakpun tidak.

Agak lama juga aku tercegat di situ, tidak cuba untuk menghampiri gerai berkenaan. Suasana kaki bukit Acropolis kini semakin muram. Hanya yang meneranginya adalah pancaran lampu-lampu neon di situ.

Aku hanya menurut langkag kaki. Di hujung lorong gerai terakhir menghala keluar jalan, baru tersedar aku sebenarnya tidak membeli apa-apa.

Mahu berpatah balik, rakan pula sudah mengajak pulang. Lagipun teksi yang ditahan sudah terpacak di hadapan. Mahu tidak mahu, aku terpaksa akur jua.

Dari dalam perut teksi, aku melihat Acropolis yang semakin jauh ditinggalkan. Gagal juga aku menawannya.

Langit Athens


LANGIT Athens kembali tenang. Tidak lagi bercahaya dipanah bunga-bunga api yang mencorakkan panaroma indah. Stadium Olimpik juga sudah lenggang.Semua sudah pulang. Obor Olimpik juga telah padam dan akan dinyala semula empat tahun lagi di Beijing, China 2008.

Berakhirlah sudah Sukan Olimpik Musim Panas edisi ke-22. Tamatlah juga tugasan ku di sini. Selama tiga minggu bandar purba ini menemani aku dalam waktu senang dan susah. Ceria dan suram.

Tempoh itu jugalah aku mengenali dari dekat kota bersejarah ini dan orang-orangnya.

Acropolis akan tetap kekal dan dikenang sebagai puncak kebanggaan rakyat Greek. Dan ribuan pengunjung sebelum dan selepas aku akan membawa pulang kenangan terindah.

Palladino, lelaki tua yang merasuah buah tembikai sebagai penutup mulut dosanya, melambaikan tangan setiap kali aku melintas di depan gerainya selepas tragedi selipar melayang itu.

Isteri tuan punya pangsapuri tempat aku menginap, akhir-akhir ini juga kerap memberikan buah tangan. Kami hanya sedar bila pulang, terhidang semangkuk besar buah anggur dan zaitun segar di atas meja. Semalam pula kek, biskut, roti dan pai epal.

Baik benar budi ibu kepada dua anak gadis ini - seorang doktor pelatih, lagi satu akauntan.

Semalam juga, aku berjaya akhirnya menjejakkan kaki di puncak Acropolis selepas beberapa kali gagal melakukannya.

Di sinilah letaknya Erechtheum dengan kehebatan Caryatidsnya, biara dewa Athena Nike dan Propyleae yang dibina pada 432 dan 437 Sebelum Masihi (SM) hasil seni tangan Mnesicles.

Puncak Parthenon ini aku tawan penuh kekaguman, biarpun melepaskan lelah hampir setengah jam. Dari arah barat, tiupan anginnya agak keras. Aku menyentuh salah satu daripada lapan tiang sasa di depan dan 17 lagi di tepinya. Ia agak sejuk kerana diperbuat daripada batu mamar padu yang dikorek dari perut Gunung Penteli.

Dari cerita sejarah, tiang-tiang ini begitu kukuh tanpa rebah ke bumi biarpun dentuman kuat berlaku dalam peperangan antara tentera Greek dengan angkatan hebat Parsi. Parthenon ketika itu menjadi gudang simpanan bahan letupan tentera Parsi. Tentera Greek akhirnya ditewaskan di Marathon.

Di kaki Acropolis, antara Plaka, Monastiraki, Syntagma dan Omonia adalah kawasan bazar perniagaan paling popular destinasi pelancong.

Jika bernasib baik, batu-batu asli puncak Parthenon boleh didapati daripada penjual yang tidak akan melayan kaki tawar menawar. Nilainya cukup tinggi.

Puncak inilah paksi Athens yang meraikan pulangnya Sukan Olimpik selepas 3,000 tahun diraikan di tempat orang.

Bila menurun Acropolis, aku sempat mematahkan beberapa ranting pokok zaitun. Daunnya inilah yang menjadi lilitan kepala pemenang pingat Sukan Olimpik Athens. Sudah tentu daun ini akan aku bawa pulang. Sekalipun akan kering, ia akan menjadi tanda ingatan pada bumi Athens dan Sukan Olimpiknya.

Samalah juga keringnya rumput padang Anfield, milik kelab Liverpool yang aku cabut tanpa pengetahuan marshall stadium sewaktu kunjungan lewat 1995 dulu.

Tragedi buah tembikai


HAMPIR setiap pagi saya akan melintasi di depannya. Dia seperti biasa akan melihat saya tanpa senyuman kemudian meneruskan kerjanya semula. Menyembur air ke atas deretan buah-buahan yang nampak segar. Kedainya terletak hanya 10 meter dari pintu rumah saya menyewa menuju ke jalan utama, Ino illisia.
Saya tidak tahu nama lelaki ini. Tetapi dia dalam lingkungan lewat 60-an. Berkepala hampir botak, bercermin mata jenis bingkai lama hitam yang tersangkut di hujung hidung. Bila melorot hampir jatuh, dia akan memperbetulkan kedudukannya semula. Pakaiannya ringkas sekali. Baju-t nipis dan hanya berseluar pendek. Kadang-kadang saya geli hati melihat ragamnya yang selalu membebel, tetapi sakit hati juga dengan perangainya.
Pernah sekali, sewaktu membelek buah tembikai, saya ditegurnya. Buah yang saya pegang, diambilnya dan terus diletakkan terus ke atas mesin penimbang. Harganya 3 euro.
Ketika dia hendak memasukkan buah itu ke dalam bekas pelastik, saya menahannya. Saya kata saya bukan mahu membelinya sekarang. Saya mahu keluar bekerja. Bila pulang nanti baru saya membelinya.
Dengan wajah sedikit masam, dia meletakkan buah tembikai itu semula ke tempat asal tempat saya ambil tadi. Belum sempat saya menjelaskan lagi, dia terus keluar, membuka selipar dan terus melempar ke arah sekawan burung merpati yang sedang menghampiri selonggok buah peach yang sedang masak ranum.
Burung tidak kena, seliparnya pula terbang masuk melalui tingkap sebuah rumah jiran. Kemudian terdengar suara tuan rumah menjerit dan menjenguk ke luar tingkap. Tangannya sedang memegang selipar tadi.
Orang tua ini nampak cemas. Sebelah selipar lagi terus dulucut dan cepat disepak ke bawah bakul buah epal.Berkaki ayam sambil pantas masuk ke dalam kedai.
Dia memandang saya, mungkin minta saya tidak membocorkan rahsia. Saya senyum dan terus beredar.
Lelaki itu mengingatkan saya pada arwah datuk saya. Dia tidak besar, kurus dan hitam sedikit kulitnya. Arwah orang kampung. Pagi menoreh getah dan petangnya seorang gembala lembu. Banyak juga lembunya. Seingat saya sekitar 20 ekor lebih.
Oleh kerana dia ini ada darah India, ramailah rakan-rakannya dari kalangan orang India juga. Mereka ini pekerja estet getah di Batu 11, Durian Tunggal.
Terasa ruginya bila saya tidak terfikir untuk belajar bahasa Tamil. Kadangkala arwah datuk membawa saya ke ladang estet melihat lembu-lembunya. Basikal lama yang ada palang di tengah jadi tempat saya bertenggek.
Memang sakit punggung dibuatnya. Adatlah kanak-kanak. Seronok tak ingat apa-apa.
. Satu keistimewaan arwah datuk, dia boleh baling apa sahaja kena tepat pada sasaran. Bila lembu-lembunya degil dan memasuki kebun orang, dia akan gunakan keistimewaan itu. Pantas tangannya mencapai sepotong kayu. Dari jarak yang agak jauh, dia boleh baling tepat ke sasaran. Habis bertempiaran lembu-lembunya lari.
Sudah enam tahun arwah datuk meninggalkan saya. Terlalu rindunya saya pada dia. Semoga tenang rohnya dan sentiasa di rahmati Allah swt.
Semalam ketika pulang, saya nampak orang tua tadi tercegat di muka depan pintu kedainya. Saya boleh mengecamnya dari jauh berdasarkan fizikal tubuhnya.
Bila terlihat saya, dia terus masuk ke dalam kedai dan kemudian keluar sambil tangannya memegang sesuatu. Dia menahan saya sambil menghulurkan beg plastik itu.Sebiji buah tembikai.
Dia bercakap sesuatu dalam bahasa Greek sambil tersenyum ketika saya mengeluarkan dompet.Tangannya menolak dompet yang saya keluarkan. Fahamlah buah tembikai itu diberinya percuma. yang pasti, rasuah untuk saya menutup mulut.

Sayakah yang silap?


BARANGKALI saya tersilap dengar bila ada yang memuji kehebatan Liga Super yang diperkenalkan musim lalu. Melalui liga baru yang menghimpunkan lapan pasukan elit, terbaik antara terbaik, akan menjurus kepada peningkatan mutu bola sepak dan kualiti pemain kita. Indahnya bahasa bila memuji. Umpama manisnya bila tersenyum dan bertentang mata. Berat mulut untuk menyapa. Cuma yang sumbangnya bila pujian itu tidak beralas. Tiada fakta untuk menyokong. Lihat sahaja Pahang. Juara Liga Super 2004. Gahnya merai kejayaan seperti lagaknya sudah menjulang Piala Dunia. Sayang sekali hebatnya Pahang bagai embun di hujung daun. Tidak kekal,tiada berbekas. Soalnya, bagaimana pasukan terbaik Malaysia ini boleh tersingkir lebih awal dalam saingan Piala FA 2005 kepada wakil Liga Perdana, Selangor daripada kelompok pasukan kelas dua. Tidak lucukah? Itu belum lagi cerita kegagalan mereka di kempen Piala AFC. Diikat oleh sebuah kelab dari Maldives, yang barisan pemain majoritinya ke laut sebagai nelayan. Bola sepak hanyalah sebagai sambilan. Saya suka mengambil contoh Pahang bukan kerana Presiden dan TimbalanPresidennya dari Pahang. Tetapi lebih kepada penampilan pasukan itu sendiri yang dilabelkan sebagai 'Real Madrid' Malaysia. Dengan 'kuasa wang' yang ada, Pahang berjaya memiliki majoriti pemain dan bekas pemain skuad kebangsaan, ditambah sentuhan idola ramai, Zainal Abidin Hassan selaku pengendali pasukan. Berdasarkan apa yang dimiliki Pahang, mereka pada bila-bila masa boleh mengambilalih peranan skuad kebangsaan. Boleh bertukar jersi padabila-bila masa. Tetapi masalahnya, Pahang dan skuad kebangsaan serupa sahaja. Segunung janji diberi, dua gunung dikhianati. Saya tidak menepuk dahi bila mengetahui kekalahan kedua Malaysia kepada Singapura di Stadium Bandaraya, kelmarin. Untuk apa dahi saya sakit dengan tindakan yang tidak berbaloi. Saya cukup masak dengan cerita skuad kebangsaan, juga hubungan dingin dengan pegawai-pegawai di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Tidak kurang juga dengan beberapa primadona di tengah padang. Tulisan saya dikatakan melampau. Tidak patriotik. Mendoakan Malaysia kalah agar menjadi modal untuk saya menghentam FAM. Begitulah label yang diberikan kepada saya. Cuma saya terkilan, tiada seorang pun yang mahu bertanya mengapa saya memilih untuk mengkritik. Apa faedahnya menjadi penulis yang dibenci. Saya tidak mahu ulas tindakan Bertalan Bicskei yang meluru ke padang menolak pemain Singapura, Razaleigh Khaik. Memalukan Malaysia. Mujur perlawanan itu di Pulau Pinang, bukan di Singapura. Saya rasa mungkin dia tidak akan selamat melepasi garisan sempadan Tambak Johor. Jurulatih apa yang telah memanggil lebih 50 pemain sejak mengambilalih tugas, tetapi sehingga hari ini masih gagal membentuk struktur tetap skuad kebangsaan. Kebetulan kolum ini saya tulis ketika Datuk Seri Dr Ibrahim Saad,Setiausaha Agung baru FAM, menjadi tetamu rancangan Scoreboard, TV3. Saya hanya tersenyum mendengar pandangan, pendapat dan jawapannya kepada soalan-soalan pemanggil. Akhir sekali saya mahu buat sedikit perbandingan. Lihatlah laporan-laporan yang ditulis mengenai FAM dan skuad kebangsaan sekarang, kebanyakannya berbentuk positif, bukan? Apakah tulisan seumpama ini banyak membantu menghasilkan sebuah pasukan kebangsaan yang benar-benar kebal?

Wednesday, January 16, 2008

Orang Durian Tunggal


MASJID An-Naim terletak cukup strategik di kaki anak bukit.
Mata tidak akan terlepas apabila melintasi pekan Durian Tunggal, Melaka menuju ke arah Macap Umboh, Selandar atau ke Alor Gajah.Ya saya orang Durian Tunggal dan inilah masjid saya. Sewaktu kecil, kawasan lapang di seberang jalan, adalah kawasan permainan saya. Bila orang kampung tidak lagi mengerjakan sawah, kami merobohkan batas untuk dijadikan padang bola.
Batang buluh dijadikan tiang gol. Tidak ada garisan bola keluar. Asal bola tak terjunam ke sungai, permainan diteruskan. Di situlah juga kami menentang kampung-kampung bersebelahan. Memang seronok.
Hari ini padang itu sudah tiada. Kawasan sawah lapang itu sudah ditambak untuk dijadikan kawasan perumahan awam. Namun Masjid An-Naim masih terpacak di kaki bukit. Fizikal bangunannya tetap sama. Tak berubah.Pagi Syawal lalu, saya mengunjungi masjid ini lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Keadaan masih seperti dulu. Khemah masih tetap dipasang di perkarangan luar masjid untuk menampung warga perantau Durian Tunggal yang kembali bercuti.Itu belum lagi solat Jumaat ketika sesi persekolahan. Masjid ini turut menerima para pelajar Kolej Yayasan Saad.
Sayang sekali dalam kepesatan pembangunan Durian Tunggal yang bertaraf Dewan Undangan Negeri (DUN), masjidnya seperti itulah.
Seingat saya, bentuknya tidak berubah, luasnya pula tidak bertambah tetapi wakil rakyatnya sudah bertukar-tukar.
Berdasarkan statistik Pilihanraya Umum 2004, DUN Durian Tunggal >mempunyai 81,023 pengundi, 68.3 peratus adalah pengundi Melayu Islam. Datuk Hamdin Abdollah (UMNO-BN) menang mudah dengan majoriti besar.
Kebetulan beliau turut mengerjakan solat sunat hari raya pagi itu dan telah dimaklumkan oleh pengerusi masjid akan keadaan Masjid An-Naim yang perlu diberi perhatian.
Saya harap sangat janji Datuk Hamdin untuk pembesaran masjid di >hadapan kalangan jemaah dilaksanakan. Janganlah akhirnya hanya cakap-cakap politik sahaja. Tak baik. Lagipun itu rumah Allah.Apapun saya tidak nampak di mana terlepasnya Masjid An-Naim ini yang khariahnya meliputi Kampung Padang Keladi, Bukit Balai, Pulau, Padang Kerbau, Bukit Tambun dan Batu 11 daripada belanjawan Adun Durian Tunggal ini.
Maafkan saya kerana menulis di luar konteks. Ini ruangan sukan namun ia juga kewajiban saya.Saya tidak mahu menyentuh kegagalan skuad bola sepak bawah 23 tahun negara pada Piala Agribank di Hanoi, Vietnam. Lagipun saya sudah menjangkakannya. Keupayaan barisan ini masih ditahap rendah biarpun kesimpulan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengatakan ada kemajuan.
Kalah semua perlawanan (0-1 kepada Vietnam dan Thailand serta 0-4 kepada skuad remaja Jepun) masih tetap ada kemajuan. Saya benar-benar tidak faham.
Terima kasih saya kepada mereka yang memahami kritisnya saya akan keadaan bola sepak kita serta tidak progresifnya pengurusan serta pembuat dasar FAM. Malah ada di antara mereka terdiri daripada kalangan pemain, bekas pemain dan kalangan jurulatih sendiri.
Kritikan bukan racun dan pujian tidak juga penawar. Sedarlah yang manis itu jangan terus ditelan, pahit pula usah terus di buang.

Arwah Datuk Sidek

SAYA tidak pernah mengenali Datuk Mohd Sidek Abdullah Kamar dari dekat hanya selepas bergelar wartawan sukan . Apa yang tahu hanyalah daripada pembacaan di akhbar mengenai kejayaannya melahirkan lima jagoan badminton dunia.Siapa tidak mengenali Misbun dan adik-adiknya - Razif, Jalani, Rahman dan Rashid.Lagak di gelanggang pantas tidak terbilang, bulu tangkis yang dipancung mematikan langkah lawan, apa lagi penguasaan gelanggang bagaikan panglima kukuh kekuda perang.Begitulah kehebatan lima bersaudara itu, tiga daripadanya berjaya berdiri di podium kemenangan Sukan Olimpik.Pertemuan pertama saya berkisar pada tahun 1991. Ketika itu, saya masih wartawan “rookie”, istilah budak mentah dalam dunia kewartawan di meja sukan.Tidak sukar mencari kediaman beliau di Kancung Darat, Banting, Selangor. Sebut sahaja rumah Datuk Sidek, orang kampung yang saya hampiri memberikan panduan jalan. Rumah kampung berwarna kuning, ada beberapa batang pokok kelapa, rambutan dan gelanggang simen badminton, itulah rumahnya.Saya sampai agak awal. Kira-kira jam 11 pagi. Dari tepi jalan, saya sudah melihat kelibat Datuk Sidek yang hanya berkain pelekat dan bersinglet putih yang lencun dek peluh.Salam saya dijawabnya mesra. Sambil membahasakan diri saya sebagai anak, beliau mempelawa saya masuk sambil meminta diri menyalin pakaian.“Nanti makan tengah hari di rumah pakcik ya,” katanya tiba-tiba terpacul ketika saya tekun menatap koleksi gambar-gambar kenangan yang tergantung di dinding rumah.Perbualan kami cukup mesra sekali, walaupun Datuk Sidek tahu saya bukan penulis badminton. Setiap soalan dijawabnya dengan sopan. Bila sampai kepada kritikan ke atas anak-anaknya, beliau agak sebak. Nadanya bertukar sayu.Hati bapa mana yang tidak terguris membaca berita yang mempersendakan prestasi turun naik anak-anaknya.“Itu hak akhbar untuk mengkritik. Itu juga tugas anda sebagai wartawan. Semuanya bergantung kepada niat. Jika anda rasa berita itu baik untuk membangkitkan semangat anak-anak saya untuk lebih berjaya, saya berterima kasih.“Namun sebagai manusia biasa, kadang-kadang berita yang ditulis boleh membawa kesan amat mendalam sehingga membunuh semangat untuk bersukan.“Pada saya sebagai ayah, saya lebih gembira melihat anak-anak saya menjadi manusia berguna dengan didikan agama secukupnya, bukan kerana trofi, medal atau kejuaraan yang mereka menangi.“Inilah kebanggaan saya. Melihat anak-anak yang tidak lupa akan orang tua mereka, menghormati orang lebih tua dan berbakti untuk bangsa, agama dan negara.”Begitulah reaksi Datuk Sidek. Saya ingat benar kata-katanya itu. Tiada sebarang dendam dihatinya.Malah beliau sentiasa berpesan kepada anak-anaknya, sebagai pemain negara, mereka adalah hak rakyat. Bila menghadapi masalah, kembalilah ke kampung dan rujuklah kepadanya.Sambil menunjukkan gelanggang badminton di halaman rumah, beliau berkata, di situlah saya mendera Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid. Dulu ketika anak-anaknya masih kecil, ia hanyalah gelanggang tanah sahaja.Lama benar mata Datuk Sidek memandang gelanggang simen itu. Ada yang kata beliau kejam. Mendera anak-anak seperti bukan dari darah daging sendiri.Tetapi lihatlah hasilnya. Anak-anaknya itu sudah memahat nama Malaysia di persada dunia. Tidak keterlaluan saya katakan, Datuk Sidek adalah satu-satunya bapa di dunia ini yang berjaya menghadirkan lima jagoan badminton dunia. Sesuatu pencapaian paling menakjubkan dan sukar untuk ditandingi.Setahun selepas wawancara itu pada 1992, Razif, Jalani dan Rashid mengembalikan semula trofi kemegahan, Piala Thomas ke pangkuan Malaysia selepas 25 tahun dikuasai Indonesia dan China.Rashid kemudian memenangi pingat emas Sukan Komanwel Victoria 1994 dan gangsa Sukan Olimpik Athens 1996.Dan semalam, kira-kira jam 2.25 pagi, Datuk Sidek, 69, meninggalkan kita buat selama-lamanya, selang dua tahun pemergian awal isterinya, Allahyarhamah Datin Rukinah Sulaiman. Di atas gelanggang badminton itu jugalah perhentian terakhir sebelum jasadnya disembahyangkan. Hilanglah berlian yang menggilapkan lima permata paling menyinar buat negara. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Alfatihah.

Lelaki ini

HUJAN turun lebat sejak subuh tadi pada hari terakhir aku di bandar Viraggio ini. Aku ke Rome sehari dua, kemudian berangkat pulang ke tanah air.
Tidak banyak yang aku ketahui mengenai bandar pelancongan pesisir pantai dan penghuninya ini. Namun sepanjang 11 hari di sini, aku berasa tenang dengannya. Kenalan rapat aku di sini adalah pemilik Hotel Biagiotti, tempat aku menginap, Victorio Biagiotti, berusia sekitar 80 tahun. Dia menyerahkan urusan perniagaan kepada anaknya yang aku bertengkar pada hari pertama sesampai ke sini. Mana mungkin sebuah hotel pelancongan, tidak punya perkhidmatan internet. Victorio, seorang bekas tentera Itali, memiliki pengalaman luas dalam hidup. Setiap kali kami bersembang, dia akan membawa kotak kayu catur dan memesan dua cawan cappuccino. Permainan catur katanya, menilai diri kita merencanakan hidup. Ya ke? Entah... aku tak tahu pula hidup ini bagaikan permainan catur.
Berjaya atau tidak, kita sebenarnya yang mengatur dan menggerakkannya.Jika silap, undur ke belakang dan perbetulkan.Rintangan akan tetap menanti di depan, kita nampak dan rasai kewujudannya, tetapi sejauhmana keupayaan untuk mengatasinya, adalah dengar berfikir, bersabar dan membuat keputusan tepat.
Aku sentiasa tewas kepada lelaki tua ini tetapi banyak yang aku belajar daripadanaya. Hidup ini cukup kompleks. Kehidupan pada aku adalah merelakan sesuatu yang hilang tanpa kesal dan terus tabah melangkah kedepan.
Sepanjang di sini juga, aku dapat mengenali setiap pegawai MIFA dalam rombongan ini.S Pathy telah lama aku kenal ketika dia menjadi penolong pengurus pasukan bola sepak Selangor. Selaku pengurus, dia juga menjadi tukang masak bagi kami yang merindui masakan pedas dan berkari. Telatah pegawai lain seperti K Rameshwaran, S Govindasamy, M Youvarajan dan A Subramaniam sentiasa menghiburkan dan kadang-kadang aku terasa kemesraan seorang abang bila kami bergurau.
Kedatangan tiga orang kuat MIFA, T Mohan, J Dhinagaran dan P Lalitha menambah keceriaan kami, satu keluarga besar Malaysia yang memiliki suara paling kuat, menenggelamkan penyokong Juventus, ketika menjerit memberi sokongan kepada kesebelasan MIFA yang sedang bertarung di padang.
Selain K Panier Selvam, pegawai perhubungan awam MIFA yang banyak bersabar dengan memudahkan tugasan kami, anggota media menjalankan tugas sepanjang kejohanan. Bagi jurulatih, V Krishnan, P Rajendran dan AD Kelvin, anda telah melakukan tugas dengan baik, cuma pengetahuan kejurulatihan disamping mutu bola sepak kita jauh ketinggalan berbanding lawan yang sudah menempa nama di peringkat antarabangsa.
Aku ada pesanan kepada pemain muda MIFA ini. Anda harus banyak belajar, bekerja keras, kuatkan disiplin dan gunakan pengalaman di Viraggio ini sebagai langkah permulaan untuk membina karier.
Buangkan sikap ego dan bangga diri apabila kembali ke tanah air kelak. Memang anda pernah bermain menentang pasukan hebat seperti CA Juventud, Juventus dan Palermo di sini tetapi keupayaan teknikal anda seperti menahan, menyepak dan mengumpan bola, terlalu lemah. Kepada Vell Paari, teruskan usaha dalam membangunkan bola sepak remaja biar tanpa sokongan FAM sekalipun.
Benih yang ditanam, lambat laun akan bercambah, membesar dan berbuah. Pada hari bila hasilnya dituai, saudara pasti orang paling bangga melihatnya.
Selamat tinggal Viareggio, entah bila akan bertemu lagi.

Mengeluh di Venice





VENICE . Bandar terapung atas air sering digambarkan sebagai lambang agungnya cinta. Pensyair memuja-mujanya dalam bait-bait puisi romantis. Novelis pula menyusun ayat indah menemukan dua hati menjadi satu dan pelukis memberi nyawa menerusi seni lakaran minyak.Aku menjadi saksi semua itu dalam melengkapkan jejak dari Pisa, Florence dan akhirnya Venice. Aku tidak menceritakan Florence dalam kolum lepas kerana bandar ini lebih kepada keagungan Santa Maria Novella dengan seni bina gereja serta muzium yang kaya penyimpanan koleksi seni tangan dan ukir.Cuaca masih dingin ketika feri yang aku naiki dengan tambang 6 euro sehala (RM27) bergerak dari jeti Sabbioni. Singgah sebentar di Lido untuk menurun dan mengambil penumpang sebelum bergerak terus ke Venice dalam perjalanan selama 40 minit.Ada dua cara pengangkutan ke sini. Melalui jalan darat dengan keretapi dan bas atau kenderaan ringan lain melalui lebuhraya Pente della Liberta. Aku memilih jalan air, biarpun perlahan tetapi panoramanya lebih mengesankan.Apa yang digambarkan mengenai Venice benar belaka. Memiliki puluhan hotel penginapan, restoran, pelbagai kedai jualan dari aksesori berlian dan batu permata, butik, barangan berkulit hinggalah kepada gerai-gerai souvenir tepi jalan semuanya melengkapkan percutian dalam menghidupkan suasana percintaan dan berbulan madu.Apa lagi mengikat janji setia sambil tenang dibawa Gondola melayari perlahan antara lorong-lorong air tanpa gangguan.Itu untuk berdua dan mereka yang hadir berpasang-pasangan. Pengunjung seperti aku yang datang secara berkumpulan tidak harus melayan perasaan. Venice turut memahami golongan ini. Grand Canal, laluan utama dengan kehijuan air yang dalamnya hanya sekadar lima meter, mampu mengubat hati gundah. Lebih 200 Palazzo atau binaan sejarah boleh disaksikan dari kiri dan kanan daratan. Anda tidak akan terlepas pandang Santa Maria della Salute dan Mocenigo dari atas bot dalam perjalanan sepanjang empat kilometer itu.Paling menarik adalah tiga jambatan utama menghubungkan dua tebing daratan ini - Scalzi, Rialto dan Accademia. Rialto setinggi 7.5 meter yang dibina Antonio Da Ponte pada 1588 menjadi simbol keagungan terusan ini.Namun aku menjadi orang paing kecewa.Lonjak hati untuk merasai pengalaman di tengah-tengah Grand Canal ini runtuh kerana simpanan yang tidak mengizinkan. 45 euro (RM200.5) untuk satu perjalanan bagi aku terlalu mahal.Beberapa kali aku keluar masuk dompet dalam saku seluar. Mengira-gira beberapa keping wang yang tinggal,cuba menyekat perbelanjaan mana yang perlu tetapi aku masih tidak mampu.Aku hanya melihat bot itu berlalu pergi. Membawa hati yang kesal melalui jalan kecil menuju ke Dataran St Mark.Di sana pertunjukan mini teater sedang berlangsung. Ramai juga pengunjung mengikutinya. Tetapi aku tak faham sebutir ayat yang dituturtkan pelakonnya. Dataran ini selain tersergam bangunan ibadat Basilica dengan lima kubah besarnya, ia juga menjadi penghuni kepada ribuan burung merpati. Ia terbang rendah antara celah-celah kepala manusia dan aku terpaksa kerap menundukkan kepala takut dilanggar burung yang salah haluan.Bunyi drum, gendang dan seruling menarik perhatian untuk aku beredar dari dataran ini. Ia datang dari arah Riva Degli Schiavoni, jeti utama yang aku turun tadi.Rupanya Venice seperti Viareggio dan aku rasa seluruh Itali menyambut karnival sejarah masing-masing dalam musim bunga ini. Perarakan dengan pakaian tradisional dan siap bertopeng. Topeng yang dipakai agak berlainan dengan Burlamacco pada pesta Viareggio.Ralit aku memerhatikan perarakan itu dari tugu Victor Emmanuel ll hingga tak sedar jam ditangan hampir menunjukkan angka 6.15 petang. Mujur aku masih belum terlewat untuk mengejar feri yang bergerak pulang ke Sabbioni jam 6.45 petang.Akhirnya Venice semakin kecil kerlipan neonnya apabila feri ini mula bergerak laju. Sebuah bandar percintaan yang menggetarkan jiwa, aku tinggalkan dengan keluhan panjang.

Hanya alasan


SPAGHETTI, makaroni, pizza dan pasta itulah makanan rugi aku di sini. Sejak hari pertama lagi, aku disajikan dengan makanan Italiano yang pastinya rasa, baru dan cara sajiannya lebih asli.Namanya pula pelik-pelik yang tak pernah aku dengar sebelum ini. Entah, aku bukan tahu semua pasal makanan. Apa yang dihidang, itulah yang aku makan. Cerewet, tak juga. Tapi dalam beberapa hari di Viareggio ini, aku sudah mula pandai memilih. Itu belum sarapan lagi dengan keju, krim susu dan pasteri.Bila dihitung jumlah kalori apa yang aku makan dari pagi, tengah hari hingga ke lewat malam, semuanya sah menggemukkan. Ke mana hilangnya tekad yang aku bawa dari rumah untuk menguruskan badan. Semuanya gugur dalam kesejukan yang cepat membuat perut ku kembali lapar. Bila mengadap cermin, malunya teramat sangat.Buruk benar rupanya. Perut ini selalu mengurangkan saham aku di khalayak ramai. Kadang-kadang aku sengaja menahan nafas cuba mengempis perut bila berdekatan dengan sekumpulan kaum hawa.Tapi selama mana aku sanggup bertahan akhirnya terbongkar juga apa yang disembunyikan. Sendat rasa kemeja yang dipakai. Untuk menyesal dengan tubuh kembang ini, rasanya sudah terlewat.Alangkah baiknya jika aku sedikit berdisiplin soal makan dulu. Mengurangkan makanan berminyak, melebihkan sayur dan serat.Minum banyak air mati dan susu tanpa lemak. Tapi darah Malbari dalam tubuh aku ini mana boleh terima itu semua. Masakan berempah, berdal dan berlada pilihan utama, teh tarik susu lembu pula minuman rasmi setiap hari. Pagi, tengah hari, petang, hingga bawa ke malam, semua teh tarik mamak. Roti canai janganlah cakap.Setakat dua keping itu belum tentu boleh sendawa kekenyangan. Kerana ketagihan teh tarik ini , aku dan beberapa pegawai MIFA sanggup meredah kedinginan bandar Viraggio mencarinya.Tak dapat teh tarik, teh masala pun jadilah.Namun pencarian restoren India sehingga hari ini tetap gagal dengan kami akhirnya menghirup kopi latte, espresso dan cappucino.Mujur juga aku ini bukan penggemar minuman berkabornat yang tinggi kandungan gulanya.Jika tidak, lagilah bertambah kembang. Habis ikhtiar aku mencari cara mudah menguruskan badan. Telah banyak produk pelangsing badan ku cuba. Dan harganya janganlah cakap, bukan seringgit dua. Dari pil berbentuk kapsul kepada tepung susu hinggalah uncang teh pahit yang kerap membuat aku bergegas ke tandas. Semuanya tidak membawa sebarang kesan. Malah makin banyak aku telan, makin berselera pula jadinya. Mahu tak mahu, hanya jogging jawapannya. Percuma pula itu. Cakap memanglah mudah, untuk melakukannya belum tentu lagi. Seperti leteran mak setiap kali pulang ke kampung. Solat itu wajib dan mudah menunaikannya.Senang dan cepat. Paling lamapun, lima minit di atas sejadah. Tetapi yang mudah itulah datangnya payah.Dan aku selalu cuai, gemar melewat-lewatkannya dengan pelbagai alasan. Kerana itu, manusia ini kena kerap diperingatkan agar tidak lupa dan terbabas haluan. Aku salah seorang daripadanya. Sambil menyandar, aku hanya memerhatikan kasut dan seluar trek yang masih tersimpan kemas dalam beg.Dari sehari ke sehari mahu mengeluarkannya tapi kemudian, mudah saja aku batalkannya. Lagipun cuaca di luar tidak mengizinkan. Terlalu sejuk dan sekarang masuk hari kedua hujan turun di sini. Tunggulah bila cuaca baik sedikit esok. Alasan lagi.

Aku & hujan



HUJAN membawa pengertian cukup dalam. Ada yang mengaitkannya dengan rahmat, juga cengkaman rindu dalam bercinta dan sesetengahnya menyifatkan hujan sebagai lambang kedukaan.Begitulah hujan anugerah Maha Esa. Turun lembut, mendamaikan dan indah . Bila dinihari, debu-debu air itu akan membentuk jaluran tujuh warna pelangi.Aku paling gemari ketika waktu-waktu ini. Ia menggamit pelbagai kenangan silam zaman kanak-kanak, remaja dan alam dewasa ku yang selalu tidak menentu.Kadang-kadang aku sendiri tidak mengenali siapa diri ku lagi. Aku melalui frasa-frasa usia yang seharusnya sudah cukup mematangkan. Menyedari cukuplah apa yang ku kejar selama ini. Berhenti bila tiba waktunya, bukan bila keadaan memaksa. Namun aku masih berdegil tanpa hirau dilambung ombak. Aku cuba melawan takdir, tapi siapalah aku pada kekuasaanNya.Dalam perubahan cuaca begini, aku rasa ketenangan. Ada yang meneman.Langit mendung runtuh di bandar Viagerrio hari ini . Hujan pertama di musim bunga ini. Turunnya tidak pula kasar, juga tanpa petir dan guruh.Dari jendela bilik ini, aku lihat ramai yang berpayung. Ada yang berlari anak mencari tempat berteduh. Aku harus ke sana merasainya.Aku perlu meninggalkan bilik empat segi ini yang kelam dan cukup merimaskan.Mencapai payung di pintu hotel, aku melangkah keluar. Menadahkan muka agar dibasahi air lembut dingin. Ini hujan Itali bukan Kuala Lumpur penuh berasid. Memang buang tabiat tapi aku seronok melakukannya.Lagipun bukan selalu dapat buat begini di tempat orang.Payung ku buka dan aku mengambil jalan Viale Pistelli ke arah barat. Menurut langkah kaki ke mana sahaja. Air terpercik di kaki seluar, aku biarkan.Lopak air kecil sengaja aku harung dan kadang-kadang menguis-guisnya dengan kaki.Aku tidak ubah seperti anak kecil.Bunga-bunga berdaun kecil merah, unggu dan kuning seperti menari-nari dipukul angin.Pokok-pokok ini tumbuh liar di sepanjang jalan dan bukan sengaja ditanam.Mungkin kerana hujan, penghuni bandar Viareggio lewat keluar rumah. Jadinya, lalu lintas agak lenggang. Aku bebas melintas dari satu simpang ke jalan yang lain. Rumah-rumah yang ku lihat semua sebentuk dengan sedikit halaman di depan.Pokok epal dan anggur masih botak belum berdaun. Aku masih ingat sewaktu di Munich, Jerman, beberapa tahun lalu. Ketika melalui sebuah rumah kediaman, pokok epal hijaunya lebat berbuah.Aku meninjau-ninjau dari luar pagar jika tuan rumah ada berdekatan. Sesusuk tubuh besar lelaki berkaca mata menjenguk dari tingkap sebelah dapur.Aku menunjukkan epal-epal itu dan dia kemudian sambil tersenyum memberi keizinan.Bukan dua biji yang aku petik tapi empat. Memang rangup bila digigit tapi rasanya masam teramat sangat.Benarlah kata perpatah, jangan mudah tertipu pada kecantikan luaran, pandanglah pada hati budinya.Berhati-hatilah.Angin kuat tiba-tiba bertiup kencang. Hampr terlucut kai payung yang ku pegang dek tangan yang sudah kebas kesejukan. Aku ambil keputusan untuk singgah di sebuah kafe kaki lima dengan jarak hanya 50 meter sahaja. Cattan Pasticceria Propria namanya.Ramai juga pengunjung sedang bersarapan. Sebaik aku masuk, banyak mata memerhatikan. Seorang lelaki Melayu, berjaket cokelat, basah kasut dan kaki seluarnya menggigil kesejukan.Aku memesan secawan cappucino dan sebutir croissant berharga 1.5 euro. Harga kopi Itali berbuih dan berkrim putih susu ini terlalu murah jika dibandingkan di Mid-Valley atau Bintang Walk. Malah rasanya lebih segar dan asli. Sengaja aku menarik bangku yang mengadap jalanraya.Diluar hujan masih belum mahu reda dan aku masih lagi dengan secawan cappucino yang tinggal separuh.

Aku condong di Pisa


DARI jauh Merana Condong Pisa seperti memanggil-manggil. Gelora hati mengarahkan aku agar segera ke sana. Namun bas yang bergerak agak perlahan. Perjalanan sejauh 40 kilometer dari Viraggio terasa begitu lambat. Aku tak tahu apa yang ada di sana atau apa sebenarnya yang aku cari pada menara yang senget sebelah itu.Ia dikatakan tujuh binaan ajaib hingga menjadikan manusia taksub kepadanya. Tetapi aku rasa ia lebih daripada kesilapaan jurubina atau masalah fizikal tanah.Entahlah. Aku sampai juga kepadanya. Tercegat memerhatikan menara bulat putih yang dibina pada tahun 1174 itu tersegam depan mata.Menara ini adalah sebahagian daripada kawasan ibadat (cathedral) yang dipelihara senibinanya yang dijaga bersih dengan halaman rumput hijau sejuk mata memandang. Terdapat beberapa kumpulan pengunjung mengambil kesempatan berjemur di padang rumput itu dalam panas matahari agak sederhana. Ada yang duduk, tidak kurang juga berbaring. Aku menangguh dahulu untuk menghampiri menara itu, sebaliknya mengikuti sekumpulan pelancong Korea melalui lorong kecil ke arah dewan ibadat berpintu besar di depan.Melangkah dengan kaki kiri, aku diingatkan petugas di situ bahawa mengambil gambar adalah dilarang sama sekali. Aku tak bertanya pula hukumannya kepada pencuri gambar larangan sama ada mereka akan didenda, dipenjara, dihalau ataupun dirampas kameranya. Suasana dalam dewan ibadat itu agak kelam dengan kadar cahaya lilin cukup kecil sekali. Bergema mentera dibaca dan aku lihat ada upacara ibadat sedang berlangsung.Ramai pengunjung mengikutinya dengan tekun tetapi aku pula mengambil keputusan untuk beredar. Mengikut gerak kaki, aku akhirnya berada cukup hampir dengan menara ini.Aku sentuh badannya yang diperbuat daripada batu kapur dan tanah liat,, terasa gementar sejuk yang bukan kepalang. Berdasarkan fakta, menara ini dibina seperti gereja-gereja lain untuk ditempatkan loceng besar diatasnya.Awal pembinaan, Menara Pisa ini tiada ganjilnya tetapi ia mula condong di paras ketiga. Biarpun begitu, kerja-kerja pembinaan diteruskan sehinggalah ke paras terakhir di tingkat lapan.Ia tidak disambung lagi selepas itu. Kerana fizikalnya yang condong itu , ia dikenali sebagai Menara Condong Pisa. Pengunjung dibenarkan menaiki hingga ke tingkat atas dengan bayaran 15 euro atau kira-kira RM65 untuk tempoh 30 minit.Disebabkan terlalu ramai pengunjung yang melawatnya, hanya sekumpulan 15 hingga 20 orang sahaja dibenarkan menaikinya dalam satu-satu masa. Biarpun diberi kebenaran masuk percuma, aku menolak untuk menjejakinya sampai ke puncak.Aku tak larat untuk mendaki ratusan anak tangga hanya semata-mata untuk melihat pemandangan dari atas.Belum hilang penat, nanti terpaksa pula menurun ratusan anak tangga untuk ke sampai bawah.Rasanya lebih selesa menikmati pemandangan dari bawah. Ramai pengunjung yang aku lihat merakamkan gambar kenangan di sini. Ada yang melakuan pose seolah-olah cuba menahan Menara Pisa itu dari tumbang dan tidak kurang dengan aksi mahu merebahkannya. Dan aku tersenyum sendirian mengingatkan sesuatu kerana aku pernah melihatnya dulu

Burlamacco




TAWA ria, gelak ketawa dengan bunyian seruling, trompet dan alatan muzik lain menghidupkan suasana Karnival Viareggio. Ada yang menari dan melompat kegembiraan dalam perarakan seragam badut merah putih serta hitam bertopeng Burlamacco. Yang berada di atas kereta berhias tidak henti melambai-lambaikan tangan. Perarakan itu berakhir di tengah-tengah bandar Viareggio yang disambut datuk bandarnya. Kertas-kertas kecil berwarna-warni bertaburan di angkasa bagaikan salji gugur memeriahkan ribuan penghuni bandar yang meraikannya. Aku berada di tengah-tengah pesta itu. Melihat kertas-kertas kecil hinggap di atas kepala dan ada yang cuba ku sambut sebelum jatuh ke tanah. Botol-botol wine bertukar tangan dan gelas-gelas kaca berlaga. Ada yang berpelukan tidak kurang pasangan kekasih bercumbu-cumbuan. Hari ini adalah perayaan mengingati sambutan karnival yang kali pertama diadakan pada tahun 1873. Hanya pada 1884, kereta berhias buatan kayu diperkenalkan dalam perarakan itu dan kemudian topeng Burlamacco pada 1930. Hari ini topeng itu menjadi lambang kemegahan Viareggio. Saya boleh lihat topeng itu dimana-mana saja di sini. Viareggio pada kurun ke-12 adalah sebuah pelabuhan perdagangan yang dibina di Motrone. Sebuah menara dibina bagi mengawasi musuh daripada menyerang. Namun bandar pelabuhan ini gugur juga pada kurun ke-15. Fortezza Matilde dibina bersebelahan menara bersejarah itu dan dari situ ia berkembang menjadi penempatan ramai. Zaman berubah silih berganti dan arus kemodenan menjadikan bandar Wilayah Versilia ini cukup makmur. Kesan Perang Dunia Pertama dan Kedua tidak begitu merosakkannya. Jika anda ingin bersantai di tepi pantai, Viareggio memiliki pantai putih sepanjang 50 kilometer tetapi jika ada pecinta alam, nikmatilah kedamaian hutan asli dengan aroma pokok pine sepanjang Banjaran Apuan. Terokalah ia. Jadi bandar yang saya tumpang untuk beberapa minggu ini boleh dikatakan masih asli.Malah saya disinipun kerana karnival itu juga. Penganjur melengkapkan pesta sebulan dengan Kejohanan Bola Sepak Dunia Copa Karnivale, menghimpunkan 46 pasukan, 17 daripada dari luar Itali termasuk wakil Malaysia, Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA). Suasana terus dihidupkan dengan permainan bunga api. Berdentum kemudian bunga-bunga api berpecah mencorakkan langit. Berkilau cahaya merah, biru, hijau, kuning dan putih. Belum bunganya padam, satu corak lagi tercipta silih berganti.Cantiknya. Ketika asyik mendongak ke langit, bahu terasa dicuit orang.Gelas kaca dengan air kuning jernih dihulurkan.Ada senyuman diwajah gadis berskaf merah ini.Suaranya antara dengar dengan tidak. Aku membalas senyumannya sambil menggelengkan kepala menolak sopan. Dia mengangkat kening tanda kehairanan. Aku menolak lagi sambil menunjukkan perut yang kurang selesa.Dia faham. "Chou" atau selamat tinggal diucapkan lantas berlalu pergi. Aku memerhatinya yang bergerak agar sukar melalui celah-celah manusia, kemudian hilang dari pandangan. Keadaan sesak menjadikan ruang aku berdiri ini semakin sempit. Berlaga bahu dan kadang-kadang dihimpit kiri kanan, depan dan belakang.Sampai waktu untuk aku beredar biar masih mahu berada lebih lama dalam kehangatan begini.Aku faham isyarat itu, namun dalam degil aku cuba keras bertahan. Berdiri kukuh memacak paksi. Tetapi sekukuh mana sekalipun,aku tetap ditolak ketepi.

Mungkir lagi

ENTAH apa yang tak kena semalam. Mungkin silapku yang tak bertanya lebih awal. Namun jika dikira taraf tiga bintang yang diberikan kepada Hotel Biagiotti ini, seharusnya kemudahan internet bukan sesuatu yang perlu dicari, malah disediakan.Aku perlu mengisi ruang untuk Metro Ahad yang lebih awal datelinenya. Berita terakhir yang boleh diterima paling lewat jam 6 petang, sedangkan jam ditangan sudah 4 petang waku Malaysia (8 pagi di sini).Malas aku bertegang urat dengan lelaki Itali pengurus hotel yang keupayaan bahasa Inggerisnya agak terhad tetapi masih keras memberi banyak alasan.Dalam suhu di bawah 7 darjah selsius, aku keluar mencari kafe internet dengan hanya berkemeja t lengan panjang tanpa baju panas ketika keluar dari bilik.Masya Allah sejuk bukan kepalang. Untuk berpatah balik, rasanya merugikan masa sedangkan rakan di pejabat sudah siap menunggu.Asap keluar dari mulut dan hidung dalam aku termengah-mengah mempercepatkan langkah. Seperti naga tua, aku rasakan ketika itu. Tangan yang mulai kebas, aku sumbatkan ke dalam poket jeans. Namun itu belum dapat memanaskannya.Masalahnya, aku lupa bertanya dimanakah kafe internet terdekat dari hotel penginapan sepanjang Jalan Lido Di Camaiore ini. Menyumpah dalam hati, aku meneruskan langkah untuk mencari orang untuk bertanya.Wanita separuh usia aku tahan. Dia gelengkan kepala. Seorang lelaki kulit hitam yang sedang menunggang basikal aku terpa di depannya. Berdecut bunyi tayar ketika dia membrek kuat. Bulat matanya menjegil aku yang cuba tersenyum meminta maaf.Tanpa mendengar permintaanku, dia terus gelengkan kepala. Aku menunjukkan beg komputer riba tanda isyarat.Wajahnya yang agak keras tadi, kembali lembut. Sambil menunjukkan lokasi dalam dua blok pangsapuri sebelum membelok simpang kanan, dia kemudian memberi isyarat jari agar jangan lagi menerpa seperti tadi.Dengan bahasa Inggeris bercampur Itali, dia boleh mati diserang sakit jantung. Aku cuma tersenyum, meminta maaf dan sekali lagi berterima kasih.Akhirnya sampai juga lokasi yang dicari. Kafe internet betul-betul dalam kafe. Ini baru betul istilahnya.Berita sudah selamat dihantar ke pejabat. Lega rasa hati tugasan sudah selesai.Bila memikirkan semula kejadian tadi, nak tersenyumpun ada, marah pun ada.Kesal pada kegopohan sendiri hingga menyiksa diri. Lucu pula mengingatkan lelaki yang hampir tersungkur ke tanah jika aku tidak memegang basikalnya yang terhohong-hayang.Aku ini memang cepat lupa. Tidak sedar akan pengalaman dan pengajaran lampau. Aku saja yang terleka dan kemudian sakit merana. Sesungguhnya aku ini mungkir lagi tanpa belajar kesilapan lalu.

Freddo Viareggio

VIAREGGIO menyambut dalam kedinginan yang bakal menguji kehadiranku untuk tempoh beberapa minggu akan datang. Suhunya antara sekitar 10 hingga 12 darjah Selsius dan akan jatuh lebih rendah lagi menjelang petang di bawah 9. Terletak dalam Wilayah Versilia, Viareggio adalah bandar peranginan persisiran pantai paling popular kunjungan pelancong dalam dan luar Itali setiap musim panas. Hadapannya pantai putih sepanjang 50 kilometer, manakala melindungnya dari belakang adalah banjaran indah Apuan. Aku meregangkan urat saraf yang kejang sebaik turun dari bas yang membawa rombongan skuad MIFA dalam perjalanan 400 kilometer dari Rome.Perjalanan melalui kawasan desa dengan pemandangan rumput hijau, ternakan lembu dan biri-biri, bukit nun di kaki langit serta sungai mengalir lesu, cukup mendamaikan mata memandang.Hati yang dari tadi kosong, terubat dengan keagungan yang Esa.Aku melangkah ke bangku kosong terletak di bahu pejalan kaki selepas urusan pendaftaran penginapan selesai. Melunjurkan kaki sambil menikmati suasana pemandangan baru ini.Tidak ramai yang lalu lalang. Yang ada, cuma beberapa warga tua melangkah perlahan berpimpin tangan bersama pasangan masing-masing. Cukup setianya mereka biar dalam usia yang semakin sampai ke penghujung.Beberapa anak kecil berlari berkejar-kejaran dan tidak kurang orang dewasa dengan hal masing-masing. Ada yang duduk membaca, berbasikal, berjogging dan tidak kurang seperti aku, duduk mengelamun.Mungkin suhu yang semakin menurun membuatkan penghuni kawasan ini lebih selesa berada dalam kehangatan di rumah. Malah bandar ini akan menyambut pesta keraian dalam waktu terdekat ini. Aku difahamkan ia adalah pesta yang menjadi ikon. Ia cukup ditunggu-tunggu.Karnival Viareggio sudah berusia 134 tahun, juga dikenali sebagai pesta tari menari dan perarakan pakaian tradisional. Bangku yang aku duduk ini adalah laluannya. Pada hari itu nanti setiap yang menyambutnya akan memakai topeng Burlamacco.Untuk apa topeng itu aku tak pasti. Namun dalam topeng itu tersembunyi rahsia pemakainya. Secara luaran, manusia punya pelbagai ragam, isi hati, rasa suka dan duka. Kejujuran dan kesetiaan melambangkan keagungan peribadi.Bangkit daripada kegagalan dan kekuatan yang tinggal separuh, adalah darjat membezakan yang lemah dan cekal. Aku cuba melihat diri aku dalam topeng itu. Siapakah aku, jujurkah aku.Kuatkah aku melalui hari ini, esok dan lusa.Atau apakah aku akan terus berlakon meneruskan perjalanan hidup ini bersendirian tanpa tongkat untuk menghalang dari rebah.Apakah aku layak memiliki keagungan peribadi dan darjat itu.Kedinginan semakin mencengkam ketika suhu terasa mula menurun. Jaket tebal yang disarung sudah telus dengan kesejukan angin pantai yang semakin kuat tiupannya.Dinginnya benar-benar sampai ke tulang.Jauh benar aku melayang hingga tak terasa bangku kayu ini seperti ais rasa sejuknya. Hari pertama aku di Viareggio berlalu pergi begitu sahaja. Jam di tangan menunjukkan tepat 11.45 malam waktu Malaysia. Aku masih belum menukarnya kepada waktu tempatan (3.45 petang) dalam selisih perbezaan masa 8 jam.Benarlah jarak dan waktu merubah segala-galanya. Aku harus melaluinya juga tanpa banyak bicara. Freddo Viareggio atau maksudnya `Dinginnya Viareggio' aku sudahkan dengan salam dari kejauhan.

Selamat tinggal Tokyo


ANGIN sejuk menyapa wajah sebaik keluar daripada pintu utama Gimnasium Metropolitan Tokyo. Mungkin tanda hujan akan turun petang ini. Begitulah cuaca di bandar Metro ini. Sukar diramal. Langit cerah sebelah pagi, kemudian bertukar mendung dan akhirnya hujan. Namun hujan di sini tidak lebat. Kadang-kadang gerimis, ada kalanya turun seperti debu air. Saya menarik zip baju panas hingga ke leher. Rakan-rakan lain semuanya sudah pulang awal kerana punya agenda sendiri. Malas rasanya menaiki teksi, jadi saya ambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja. Jika penat berhenti, jika lelah tahan teksi. Mudah saya buat keputusan. Ramai juga warga Tokyo lewat senja begini. Masing-masing pantas bergerak. Ada yang solo, berdua tidak kurang yang berkumpulan ala-ala Mat Rock, Mat Trash, Mat Punk dengan bertindik atas bawah, kiri dan kanan. Pakaian mereka pula singkat dan sendat- sendat. Berambut pelangi tajam-tajam dengan berjalan ala goyang itik pulang petang. Fikiran saya kosong. Cabaran skuad badminton negara sudah beberapa hari berakhir. Empat belas tahun lamanya saya menunggu dan bila diberi peluang kedua membuat liputan kejohanan ini di bumi Jepun, kita gagal. Saya tidak hiraukan keadaan sekeliling dan hanya terus berjalan. Dari satu jalan saya melintas, ke satu jalan lain. Kadang-kadang terasa bahu berlaga tetapi saya tidak kuasa untuk menoleh siapa yang saya langgar. Di Tokyo ini, tidak akan ada siapa yang akan mencekak kolar baju anda. Berlaga bahu biasa di sini. Langgar sana, langgar sini, tiada siapa yang akan marah. Tiada siapa akan meminta maaf. Jauh bezanya dengan masyarakat di bandar Sendai. Sentiasa tunduk hormat, senyum meleret manis dan bila berjalan, masih teratur lurusnya. Bila berada di tengah-tengah hutan batu Tokyo ini, saya mula merindui suasana hijau Sendai dengan kesegaran udara dingin dan haruman bunga Sakura, Ceri dan deretan pokok-pokok Ginko berdaun kuning keemasan. Saya menghampiri sebuah mesin minuman dalam tin bila terasa harus. Syiling 100 Yen tiga keping saya masukkan dan keluarlah setin air kopi panas berharga RM10. Saya duduk di sebuah bangku kecil di bawah sebatang pokok, melepaskan lelah. Daripada peta kecil yang selalu saya bawa, saya berada di Yasukuni Dori, kira-kira 8km ke hotel penginapan. Jauh lagi. Panorama malam menarik sekali. Hutan batu bertukar wajah dengan kerlipan neon, nun jauh di hujung sana. Menara Mines milik syarikat telekomunikasi terbesar Jepun, Do Co Mo kelihatan cantik dari kejauhan. Inilah malam terakhir saya di sini. Esok saya harus berangkat pulang meninggalkan perasaan antara sebak dan girang. Hampir dua minggu saya meminjam bumi dan menghirup udara Jepun ini. Merasai keindahan serta kemajuan teknologinya. Melihat dua budaya hidup berbeza antara Sendai dan Tokyo. Debu air mula turun dari langit Tokyo. Jatuh lembut mengingatkan saya untuk meneruskan langkah pulang 8km lagi. Berdiri di gigi jalan, saya mengangkat tangan dan sebuah teksi berhenti membuka pintu belakang. Saya masuk ke dalam perutnya, tidak tegar lagi untuk mengharungi perjalanan yang panjang. Malam di Tokyo saya tinggalkan dengan senyum. Sayonara.

Menghadap langit


HARI ini seperti semalam. Langit Tokyo cerah, tidak suram seperti sesampai saya di sini. Panas matahari pula hanya separuh hari. Itupun sudah cukup bagi saya menikmati kepanasan menyegarkan, biarpun hanya sebentar.Rupanya beginilah nikmatnya berjemur, menghadap muka ke langit sambil mata terpejam dan mengepakkan tangan.Saya membiarkan haba kepanasan matahari meresap masuk ke dalam kulit agar lemak-lemak degil yang terkumpul dek pemakanan lebihan terlampau kerana kesejukan, terbakar.Barulah saya tahu berharganya matahari di negara yang mengalami empat musim ini.Jadi tidak hairanlah rakyatnya yang mampu, memilih Malaysia dan negara beriklim panas khatulistiwa sebagai destinasi pelarian sementara.Pada saya sebelum ini, hanya orang kurang waras saja mahu berjemur berjam-jam di tengah panas terik. Kita boleh lihat berbaris-baris orang berjemur sepanjang pantai Langkawi, Tioman, Pangkor dan Perhentian.Di Bali pula, mereka boleh ‘bersumur’ tanpa menghiraukan puluhan mata mengintai nakal, asalkan badan nampak berceloreng dan berbatik-batik terbakar. Tetapi di tengah-tengah bandar Shinjuku ini, saya pula melakukan tindakan serupa. Tidak takut kemanisan yang tinggal separuh ini hilang, jika kulit yang sedia gelap menjadi bertambah gelap.Malah jika tidak kerana ada lagi sifat malu, mahu sahaja saya berlenggeng di hadapan orang yang lalu lalang.Memang cuaca kedinginan seperti ini berbahaya seperti saya yang sekian lama mahu menguruskan badan. Tetapi setiap tahun itulah, badan tidak mahu mengecil malah bertambah lebar lagi.Tetapi perut cepat sangat terasa laparnya dan dalam keadaan darurat begini, saya harus makan untuk memanaskan badan. Tenaga akan cepat hilang dan pergerakan mula lemah dan sembab.Saya tidak pandai menilai kalori makanan, apa aja yang tercapai, akan terus dikunyah. Selepas bubur beras Jepun, saya kunyah biskut, kemudian coklat dan baru sebentar tadi sepotong kek keju.Saya harap tidak terhidu lagi keenakan Tampura seperti semalam. Cepat saja tergoda dan terus duduk bersila menikmatinya, sedangkan saya sedar dompet sudah semakin nipis.Saya membuka mata bila terasa kehangatan mentari sudah berkurangan. Rupa-rupanya dua anak kecil sedang asyik memerhatikan saya di seberang jalan sejak dari tadi. Agaknya mereka kehairanan melihat lelaki asing ini berdiri seperti tugu mendongak ke langit. Orang gila agaknya.Menyedari diperhatikan, mereka terus mengayuh basikal masing-masing. Salah seorang daripada mereka sempat menoleh ke arah saya lagi. Lucu melihatkan aksi kanak-kanak ini yang bagaikan ketakutan melihat hantu.Saya melihat jam di tangan, sudah 2.45 petang. Tujuan asal mahu melihat Menara Tokyo yang dibuat daripada kerangka besi setinggi 333 meter yang dibina pada 1958 di Shiodome. Bila malam, menara ini cukup mempesonakan dengan kerlipan lampu, tidak ubah seperti Menara Eiffel di Paris. Untuk ke sana saya harus menggunakan subway Akabanetashi dan berjalan kaki sejauh 2km. Saya harus bergegas kerana sudah kehilangan 30 minit kerana berjemur tadi.

Ahh Shinkansen


BEGITU cepatnya masa berlalu, sepantas cuaca berangin di Sendai berubah kepada hujan renyai-renyai di Bandaraya Metropolitan Tokyo ini. Terasa baru semalam di Sendai dan selang dua jam, tup... tup saya sudah terpacak di kota batu ini. Saya kurang selesa dengan suasana baru ini kerana segala-galanya agak bertentangan. Sendai dan Tokyo jelas dua bandar berlainan baik penghuninya, suasananya dan cuacanya. Ke mana hilangnya kelembutan dan tingginya rasa hormat orang-orang Tokyo ini berbanding masyarakat Sendai. Saya belum nampak persamaannya lagi tetapi jelas kedatangan saya di sini bermula dengan langkah kiri. Dalam kegembiraan untuk merasai kehebatan Shinkansen `Bullet Train’ Jepun ini, saya menjadi mangsa kelajuannya. Saya terlepas jadual perjalanan jam 8.50 pagi hanya gara-gara terlewat beberapa saat mengejar gerabak pertama di hadapan yang dikhaskan untuk tempahan. Dalam keadaan serba serbi berat, mengheret beg besar dan beg sandang, tidak termasuk membawa beban badan yang bertambah dek beras pulut Jepun, sukar untuk saya mengejar pintu gerabak terakhir di depan. Hanya beberapa langkah untuk sampai, pintunya tiba-tiba tertutup. Putih mata saya melihat kereta api itu terus meluncur pergi. Saya melepaskan beg yang dijinjing, membongkokkan badan menahan lelah. Mujur tiket yang berharga hampir RM400 tak hangus begitu saja. Saya berjaya mendapatkan kereta api jam 9.15 pagi yang terpaksa berhenti mengambil penumpang di lapan stesen. Hati yang panas akhirnya sejuk juga. Perjalanan dua jam 40 minit dengan panorama desa, sawah padi, pokok-pokok hutan berdaun merah, kuning, hijau muda dan pekat dengan sungai yang mengalir lesu. Inilah cantiknya negara yang bermusim empat. Semua ini mendekatkan saya kepada keagungan Ilahi. Jika saya dapat merakamkan panorama itu, alangkah bagusnya. Namun saya tidak seperti seorang doktor di Kuantan yang bukan saja memiliki sepasang tangan emas merawat pesakit, cekap pula menggunakan kameranya. Saya hanya kenali doktor ini dengan panggilan Ikelah menerusi blognya. Gambar-gambar yang dirakam hidup dan cantik. Tajam pengamatannya.Namun dari pandangan jendela kaca hotel 25 tingkat di tengah-tengah kawasan Shinjuku ini, cukup hambar. Hanya hutan batu. Tiada lagi bunga sakura yang melambai-lambai ditiup angin.

Li-e, wakari-masen


SEORANG lelaki tua menggamit saya sambil tersenyum. Usianya dalam lingkungan 50 tahun, berpakaian kimono berwarna biru muda serta berlilit kain di kepalanya. Didepannya adalah barisan hasil barangan kraftangan kayu. Dia tunduk hormat bila saya menghampirinya. Bertutur dalam bahasa Jepun, arah tangannya menunjukkan kraftangan buatannya sendiri penuh kebanggaan. Saya tidak faham apa yang dituturkan tetapi dia bersungguh-sungguh menerangkan sesuatu kepada saya. Saya geleng kepala. Gomen nasai. Li-e, wakari-masen (Maaf saya tak faham). Itulah antara beberapa patah perkataan Jepun yang sempat saya belajar daripada kakitangan hotel, selain arigato (terima kasih), kudasai (bila minta sesuatu), ikura desu ka (berapa harganya), takai (mahal), yasui (murah) dan toire wa doku desu ka (di mana tandas). Lelaki tua itu tersenyum sambil menepuk bahu saya seolah-olah memuji saya boleh berkata sesuatu dalam bahasanya. Saya membelek-belek bunga ceri kayu yang halus seni ukirnya. Saya menunjukkan kepadanya sambil mengeluarkan dompet. Ikura desu ka? Dia tidak berkata apa-apa. Mengambil bunga ceri, membalutnya dalam kertas dan menyerahkan kepada saya sambil menolak wang yang dihulurkan. Arigato, kata saya. Tingginya budi orang tua ini. Memberikan bunga ceri dengan percuma. Saya memberi hormat dan berlalu menyusuri deretan kedai kraftangan lain. Agaknya mungkin kerana dia bangga saya dapat bertutur bahasa Jepun. Gerai orang tua itu adalah sebahagian daripada gerai kraftangan sempena Festival Kesenian dan Kebudayaan Sendai Musim Bunga 2006 disambut meriah bermula Sabtu dan berakhir semalam. Festival ini pembukaan kepada banyak lagi perayaan masyarakat di sini menyambut keindahan musim bunga. Perayaan dalam bahasa Jepun adalah Matsuri dan saya teringat lagu Kitaro. Selain kraftangan kayu, ada juga gerai menjual hasil tembikar (tsutsumiyaki), kain sutera Sendai (sendai hira), anak-anak patung (kokeshi), seni kertas (yanagiu washi), anak-anak pokok bunga serta banyak lagi. Kawasan festival ini bermula dari jalan Johzenji, Hirose, Ohmachi hingga ke Aoba melalui kawasan perniagaan arked Ichibancho Ychome, Vlandome dan Sunmall Ichibaancha. Pukulan gendang dan tiupan seruling mencuit saya ke arah datangnya irama itu. Sekumpulan penari dari serendah usia 12 tahun hingga 18 tahun, yang saya rasa pelajar sekolah, riang menggayakan tarian masing-masing. Ini bukan tarian klasik ala menggoda seperti dalam filem Geisha tetapi lebih kepada keriangan menyambut sesuatu perayaan. Menggunakan kipas kertas hijau dan oren, mereka berpusing, melompat dan membentuk formasi tertentu mengikut pukulan gendang. Saya cuba mendapatkan maklumat jenis dan maksud tarian berkenaan, tetapi biasalah, kita tanya dia ‘hait’, tanya lagi diapun ‘hait, hait’. Bila dia seakan seperti bertanya, saya pula ‘hait, hait’ dan terus angkat kaki. Saya menuju ke kawasan jualan makanan dan manisan Jepun. Dari satu gerai ke satu gerai lain. Tidak banyak pilihan yang boleh saya rasa kecuali zundamuchi sejenis pencuci mulut daripada manisan kacang merah, jagung, biji teratai, gula bakar dan manisan lebah. Dibuat daripada beras pulut, bahan manisan diletak di bahagian tengah sebelum dikepal dan dibulat-bulatkan. Zundamuchi ini boleh digoreng, rebus atau kukus. Memang sedap bila dimakan panas-panas dalam cuaca sejuk musim bunga ini. Cuma kali ini nasib saya tidak sebaik tadi. Zundamuchi yang saya nikmati bukan percuma. Lima ketul berharga 2,000 yen (RM64). Taktik saya bercakap bahasa Jepun tidak menjadi.

NANIKA ATTA NIPPON


BANDAR Sendai menyambut kehadiran saya dengan kedinginan yang menusuk hingga ke tulang. April rupanya bulan peralihan dari dingin ke musim panas dan ini bermakna tarikan bandar ini yang mendapat jolokan ‘City of Trees’ belum benar-benar terserlah. Bandar yang masih mengekalkan alam semulajadinya akan berubah-ubah wajah mengikut perubahan empat musimnya. Paling ditunggu-tunggu lebih sejuta penduduknya termasuk saya pelawat yang hanya datang menumpang, adalah musim bunganya yang jatuh Mei ini. Jika dibilang hari, saya mungkin tidak berpeluang merasai dan menikmati keindahan pokok Sakura berkembang dengan wangian yang cukup menyegarkan terutama bila bunga-bunganya berterbangan dibawa angin bagaikan salji pelbagai variasi warna putih dan merah jatuh ke permukaan bumi. Sepanjang musim ini, Sendai akan dimeriahkan lagi dengan perayaan kebudayaan Tanabata, Aoba dan festival neon. Perayaan kebudayaan Tanabata dan Aoba ini memperingati Date Masamune, pahlawan diraja ketika zaman pemerintahan Tokugawa yang mendirikan mercu tanda berupa Istana Sendai. Namun Sendai dan Sakuranya tidak menghampakan saya. Biarpun banyak pokok yang masih togel tidak berbunga dan berdaun sepanjang jalan menuju ke hotel penginapan di Honcho, Aoba-ku, ada juga beberapa pokok Sakura yang sudah menguntumkan bunganya. Begitu cantiknya Sakura ini seindah namanya yang menjadi kebanggaan rakyat Jepun. Hanya jika ada kamera di tangan, sudah tentu akan saya rakamkan. Namun untuk tempoh seminggu, Sendai akan menjadi gelanggang pusingan awal Piala Thomas dengan Malaysia tampil selaku pilihan kedua selepas juara bertahan, China untuk membawanya pulang. Besar harapan diletakkan ke bahu ketua jurulatih, Yap Kim Hock pada edisi kali ini selepas kali terakhir kita memenanginya 14 tahun lalu. Piala Thomas bagi sukan badminton adalah kemuncak kejohanan yang mengesahkan negara kuasa badminton dunia. Banyak pihak termasuk Kim Hock sendiri berasa peluang terbaik negara memenanginya adalah di bumi Matahari Terbit ini. Dengan prestasi pemain perseorangan, ditambah kemantapan pasangan beregunya menguatkan hujah ini. Saya benar-benar berharap Piala Thomas ini menjadi milik kita kerana selepas 14 tahun, saya diberi peluang sekali lagi membuat liputan kejohanan ini. Saya masih ingat suasana bergemuruh, tangisan kegembiraan di Stadium Negara ketika Foo Kok Keong, Rashid Sidek, Razif dan Jalani serta Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang menjulang Piala Thomas. Tarikh keramat itu jatuh pada bulan Mei. Tentu ramai yang tidak lupa peristiwa 13 Mei 1969 tetapi pada bulan yang sama 1992, anak-anak Malaysia pelbagai kaum berpesta, berpegangan tangan, berpelukan sambil menyanyikan lagu NegaraKu dalam nada nan satu. Inilah juga harapan saya dan juga jutaan peminat badminton di tanah air. Apa yang saya harapkan kegagalan yang melanda skuad hoki negara pada pusingan kelayakan Piala Dunia di China tidak terpercik di bandar Sendai dan Tokyo ini.
Azahar San
Terkejut lampu isyarat berkicau BURUNG apa yang berbunyi garang lewat kedinginan malam di tengah-tengah bandar Sendai ini. Sudah buang tabiat agaknya. Setahu saya burung yang berbunyi malam biasanya burung Hantu dan Pungguk. Tapi burung ini lain benar bunyinya. Entahkan sumbang kerana kesejukan atau takutkan sesuatu. Saya cuba mencari arah datangnya tetapi kemudian hilang. Saya meneruskan langkah perlahan melalui Atago-Kamisugi dori (dori bermaksud jalan raya) yang terpacak deretan pokok-pokok sederhana tinggi baru hendak tumbuh daunnya semula. Suasana malam cukup mendamaikan. Lalu lintasnya tidak sesibuk waktu siang. Saya hampir disondol dari belakang oleh seorang penunggang basikal, semalam. Saya tidak tahu laluan pejalan kaki berkongsi dengan penunggang basikal. Jadi kerana cuba bersopan agar tidak berlaga bahu dengan pejalan kaki dari arah depan, saya bergerak ke kiri dan kanan. Tanpa disedari, saya memasuki ruang kecil laluan basikal. Mujurlah penunggang basikal ini sempat membrek. Jika orang kita, mahu disumpahnya saya berbakul-bakul. Mata butalah, nak matilah, lembab macam perempuanlah. Tapi penunggang basikal itu merendahkan kepalanya tanda hormat dan meminta maaf. Dia tersenyum menampakkan rekahan lesung pipit di kedua-dua pipi. Manis dan berhemah gadis Jepun ini yang saya agak seorang penuntut kolej dengan beg sandang di belakangnya. Dia meneruskan kayuhan dan kemudian bayangnya hilang di celah-celah pejalan kaki lain. Saya belajar atas kejadian itu. Jika berjalan, harus pantas mengikut tempo mereka bergerak. Jika lambat cubalah toleh ke belakang. Anda akan lihat wajah-wajah cemas yang merenung anda dengan jelingan setajam pedang samurai. Jadi kita jangan menyusahkan mereka dan dalam waktu yang sama juga tidak menyeksakan kaki kita sendiri. Jadi untuk berjalan santai, malam adalah pilihan sesuai. Tidak perlu risau dilanggar basikal atau berlaga bahu. Seperti saya katakan tadi, tenang. Yang bergerak dalam keadaan lambat-lambat. Seperti sepasang kekasih di depan saya melangkah seiringan, berbisik sambil tertawa kecil. Saya tidak terasa cemas berjalan seorang diri. Kawasan di bahu jalan juga terang dengan pancaran neon dari lampu jalanan dan restoran makanan Jepun dan pub-pub yang menghidang sake. Ketika membelok ke kiri jalan, saya terdengar lagi suara burung tadi. Kali ini lebih kuat dan jelas. Arahnya bukan dari atas pokok bila saya mendongak ke atas. Mahu mengusik sayakah burung ini. Atau burung-burung di Jepun ini nakal-nakal semuanya. Saya mencari-cari juga datang suaranya. Semakin lama, semakin jelas. Akhirnya saya tergamam. Menggeleng kepala akan sesuatu yang tidak diduga. Rupanya apa yang saya cari datangnya daripada sebatang tiang lampu isyarat untuk pejalan kaki. Ia akan berkicau bila isyarat bertukar dari merah ke hijau. Bunyi burung menepati gelaran bandar Sendai ini sebagai City of Trees. Apa lagi bila tiba musim bunga penuh. Bandar ini akan ditutupi rimbunan pokok-pokok berdaun hijau, kuning dan merah dengan haruman bunga-bungaan segar beraneka jenis. Cuma nanti akan ada yang keliru antara bunyi burung asli dengan tiang lampu isyarat itu.

Malaysiakah kita?

BILA dikata orang Malaysia tidak patriotik, kita akan marah. Sampaikan bila lagu NegaraKu dinyanyikan dalam nada sedikit kelainan, ia dikatakan sumbang,
berdosa besar sehingga menjadi isu dalam sidang Dewan Rakyat.Tetapi bila tiba bab menyumbang, orang kitalah yang ke depan. Hinggakan berjuta-juta RM dikumpulkan atas nama ihsan Rakyat Malaysia. Nama individu dan syarikat terpampang dalam akhbar. Jika berjuta yang disumbang, ada pula permintaan gambar untuk disiarkan.Namun kita memang tidak sedar, dalam ghairah menyumbang, ada anak-anak kita terbiar kelaparan, hidup daif tanpa pembelaan.Mereka ini yang perlu kita bela, sebelum mengambil tahu hal-hal orang lain di seberang lautan. Saya menyokong apa juga bentuk bantuan kemanusian
tetapi janganlah kita seperti bidalan "beruk di hutan disusukan, anak sendiri dibiar kelaparan".Tetapi itulah diri kita yang sebenar. Tataplah di cermin, kerana arca yang kita lihat, tidak pernah menipu.Saya bangkitkan soal patriotik ini kerana terasa seperti disindirkan di tengah-tengah kota Metro Manila.
Cuba anda fikirkan sendiri, sebuah syarikat gergasi elektronik Korea Selatan, Samsung menaja kumpulan sorak penyokong Malaysia sepanjang temasya
Sukan Sea. Malah Manila adalah temasya ketiga selepas Brunei dan Vietnam program seumpama ini diadakan.Jika tidak silap saya, Samung juga membawa kumpulan sorak ini buat pertama kalinya ke Sukan Olimpik Athens tahun lepas.Biarpun dalam jumlah yang kecil, kumpulan sorak ini memainkan peranan besar dalam meniupkan api semangat dan perjuangan atlit kita.Contohnya ketika final acara badminton berpasukan. Kumpulan ini menenggelamkan sorakan penyokong Indonesia dan akhirnya gendang dan kompang
yang dipalu mengiringi kejayaan barisan pemain Yap Kim Hock dan Misbun Sidek memenangi pingat emas.Sebenarnya untuk apa syarikat Korea ini membuang wang yang bukan sedikit menaja kumpulan sorak ini.Yang bertanding bukan rakyat atau negara
mereka.
Memang tidak ada kena mengena langsung. Mungkin sukan adalah milik universal dan Samsung mempunyai pendekatan lebih terbuka.
Keuntungan bukan segala-galanya dalam hidup.Malah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said kagum dengan inisiatif syarikat global ini dan memuji program penajaan itu. Beliau seperti juga saya tertanya-tanya mengapa tidak ada satupun syarikat korporat gergasi tempatan mengambil pendekatan murni ini.Berkira sangatkah syarikat-syarikat ini untuk mengeluar sedikit perbelanjaan atas nama Malaysia dan rakyat Malaysia? Apakah dalam setiap urusan perniagaan mesti didahulukan dengan pulangan keuntungan?.
Tepuk dada tanyalah selera.Tahniah sekali lagi kepada Samsung dan anda turut menyumbang kepada kejayaan atlit Malaysia di Manila, Cebu dan Bacalod City. Semoga program ini berterusan sampai bila-bila.

Kahapon Sa Maynila

HUJAN mulai turun minggu ini. Jika tidak pagi, petang atau menjelang senja. Ada yang suka perubahan cuaca ini kerana ia cukup mendamaikan, Suasana sekeliling pula sejuk dan menyegarkan.Rahmat tuhan.Namun bila hujan di kota metro Manila ini, apa lagi ketika temasya Sukan Sea baru menyingkap tirainya, ia sedikit sebanyak menghadirkan kesulitan. Bukan setakat atlit, petugas media seperti saya juga mula merasai kepayahannya.Jika atlit mengejar kilauan emas, wartawan pula menghambat masa biar terpaksa berdepan pelbagai halangan untuk mendapat liputan terbaik.Misinya sama, cuma berbeza di penghujung acara. Atlit akan mendapat imbuhan lumayan andainya memenangi pingat emas sedangkan wartawan kekal dengan pen dan buku notanya.Saya tidak bertujuan untuk mengadu, jauh lagi memperbesarkan masalah di sini. Namun inilah kisahnya.Seperti juga rakan-rakan lain daripada pelbagai penerbitan, hujan jika boleh, biar tidak turun, atau jika turun sekalipun, eloklah lewat subuh bila warganya masih nyenyak tidur.Manila pada mereka yang pernah sampai ke sini, tahu akan sistem lalu lintas dan kesesakannya. Masa banyak terbuang dalam perut teksi. Lebih menyeksakan bila hari hujan, apa lagi dalam suasana Sukan Sea ini. Perjalanan ke venue pertandingan yang sedekat 5km, biasanya memakan masa 30 ke 45 minit, bertambah kepada dua jam bila hujan. Itu belum lagi pemandu teksi yang banyak cakap, banyak pula
helah.Short cut, katanya. Masuk simpang sini, keluar jalan lain dan akhirnya haluan terbabas. Meter bertambah berkaliganda, venue rupanya di kawasan lain.Panas hati dibuatnya dan pemandu teksi itu mula garu kepala kebingungan. Lagaknya mengingatkan saya kepada seorang kenalan di tanahair. Biasalah permainan hidup.Saya tidak terlalu menyalahkan sistem lalu lintas di sini kerana itulah gaya hidup mereka. Tetapi jika kesulitan dicipta sendiri pihak penganjur, itu sesuatu yang tidak boleh dimaafkan. Ini bukan kali pertama Majlis Olimpik Filipina (OCF) menganjurkan temasya dwitahunan ini. Kali terakhir pada 1991. Mereka seharusnya tahu apa yang diperlukan pihak media. Jika tidak selesa sekalipun, sekurang-kurangnya biarlah perjalanannya lancar .Ruang kecil Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina yang dijadikan Pusat Utama Media (MPC) hanyalah satu-satunya tempat persinggahan media luar menyiapkan berita.Penganjur tidak langsung peka akan keperluan
membuka bilik mini media di setiap venue. Bila waktu puncak MPC akan menjadi tumpuan hampir seribu wartawan dan jurugambar. Jadi bayangkan keadaan dan suasana kami bekerja. Kadang-kadang terasa juga MPC ini lebih dikhaskan untuk wartawan tuan rumah sahaja. Separuh ruang bertugas menjadi kawasan larangan untuk media luar yang kemudiannya terpaksa pula berkongsi dengan rakan jurugambar.Tidak pernah sepanjang pengalaman bertugas dalam empat temasya dwi tahunan ini, saya berdepan penganjuran sebegini.Mana mungkin wartawan luar dipinggirkan, apa lagi terpaksa berkongsi ruang bekerja antara wartawan dan jurugambar.Pada saya, Filipina cuba berjimat dalam penganjuran kali ini. Tetapi dalam berjimat itu, janganlah menyulitkan tetamu media luar yang terpaksa juga berhadapan kesulitan lain.Saya sebenarnya belajar daripada kisah semalam apabila tiada ruang kosong untuk saya menyiapkan kerja. Kolum yang anda baca ini saya hasilkan di bawah pohon mangga rendang
dalam pengkalan tentera marin Filipina di Fort Bonifacio, Taguig, bersebelahan venue acara menembak.Saya ditemani rakan setugas dari Malay Mail, Mustapha Kamaruddin.

Hijabkah aku?

SYEED, pemuda Pakistan boleh dikatakan kacak orangnya. Dia adalahpembantu restoran Indian Village, tempat saya dan beberapa rakan setugas menghilangkan rindu kepada nasi. Letaknya di Omonia, agak jauh juga daripada tempat kami menginap. Dia dalam usia 30 tahun, masih bujang dan telah merantau di banyaknegara Eropah sejak berusia 17 tahun lagi.
Biasalah hidup di negara orang. Manisnya sedikit, pahitnya banyak.
Semalam saya ke restoran itu. Seorang diri selepas ditinggalkan rakan lain yang punya rancangan sendiri.Tidak ada pengunjung ketika itu.
Syeed asyik menatap klip video Shah Rukh Khan. Tak silap saya filem Pardes. Daripada datang memesan makanan, kami mula bersembang hal-hal lain. Dia tanya apa yang seronok mengenai Athens dan Greece ini. Saya geleng kepala kerana masih asing di bandar ini. Cuma yang saya tahu ialah kecantikan wanita Greek.
Mereka tidak seperti wanita Eropah lain. Sederhana tinggi, badan tidakbesar. Wajah mereka wajah campuran. Greece pernah dijajah kerajaan Islam Parsi dan Rome. Kebanjiran pendatang dari Turki dan Albania beratus tahun dulu juga menjadikan ia negara unik.
Campuran itulah yang melahirkan rakyat Greece hari ini. Cantik dan berkulit halus. Bangsa Greek tulen boleh dikatakan hampir pupus.
Saya pernah terbaca dalam sebuah majalah perihal wanita Iran. Biarpun berhijab, mereka dikategorikan wanita tercantik di seluruh tanah Arab.
Syeed tersenyum. Dia mengakui kata-kata saya. Malah wanita Greek,katanya paling cantik di Eropah.
"Tanyalah kepada sesiapa di sini. Mereka akan mengakuinya. Saya pasti anda juga pernah ke Eropah. Cuba bandingkanwanita di sana dan di Athens ini.
"Tetapi anda silap bila mengatakan wanita Greek mudah dipikat. Senang tergoda dan menerima lelaki asing. Mereka boleh disapa tetapi jangan harap boleh diajak pulang. Lain seperti kaum lelakinya yang laris pada mata wanita luar.
"Tengoklah saya, sudah lima tahun di sini masih kosong lagi," kataSyeed sambil tersenyum.
Saya lantas teringat cerita Badrulhisham Othman dari Berita Harian yang bertemu seorang wanita Melayu Malaysia dari Kelantan. Dia salah seorang sukarelawan di Sukan Olimpik Athens ini, berkahwin dengan lelaki Greek.
Wah..hebatnya dia. Selera kaum Hawa ini sama. Tidak kira wanita Malaysia atau Eropah. Mereka ada keinginan. Lumrah alam.
Cuma yang malangnya adalah spesis lelaki Malaysia. Impian dan keinginan besar tapi banyaknya tidak kesampaian. Menggigit jari. Apa yang tinggal bilamana ramai wanita kita berkeinginan kepada lelaki Mat Salleh atau Pak Arab, Pak Afrika atau sekalipun Pak Bangla.
Di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, kita boleh lihat manjanya wanita kita berpasangan dengan lelaki berlainan warna kulit, bahasa dan budaya.
Cuba lihat di luar-luar bandar, Pak Bangla pula menguasai carta. Begitu mudahnya wanita kita terpikat kepada kekacakan dan kehebatan luaran lelaki asing ini. Kebanyakannya hanya indah khabar dari rupa.Mereka tidak sedikit mengambil inisiatif mahu menyelami dan membongkar tabir yang menutup diri lelaki tempatan.
Mahu mengadu di negara sendiri, tiada siapa mahu mendengar. Jauh lagilah untuk membawa hati di Athens ini. Sepanjang hampir tiga minggu disini, usahkan wanita Greek mahu tersenyum, membalas jelingan pun jauh sekali.
Begitu malangnya lelaki Malaysia.

Kewartawanan - satu kesilapan?



AWAL pagi lagi saya sudah terpacak di Sports Pavillion, Faliro, bandar tepi laut, kira-kira 22.8km dari Pusat Media Utama. Wajah sembab kerana tidak cukup tidur kembali segar bila dipukul angin laut. Sekawan burung camar terbang rendah di atas kepala lalu hinggap di tiang kapal-kapal kecil mewah yang berlabuh. Begitu cantik panorama depan mata dengan bandar Faliro di gigi air membelakangkan kaki banjaran Goudi.Elaine Teo akan bertarung kira-kira jam 9.00 pagi, sedangkan jam di tangan 8.15 pagi. Masih banyak masa lagi. Saya menyandar di bangku kosong, mengadap laut. Meluruskan kaki, agar urat yang tegang menjadi sedikit kendur. Terlalu banyak saya berjalan, sejak tiba di Athens, 8 Ogos lalu.Dengan cuaca panas melampau, kulit hitam manis, tinggal hitam. Manisnya sudah hilang.Kadang-kadang terfikir kenapa karier kewartawanan yang saya pilih? Kenapa tidak pekerjaan lain yang bermula 9 pagi dan pulang tepat jam 5 petang. Tidak perlu berpanas dan berhujan. Tidak perlu kerap berjauhan dengan orang tersayang.Wartawan - selalu disebut sebagai penyampai maklumat. Kalau baik, baiklah, kalau sedih sedihlah. Tidak ada istilah maklumat jahat. Tidak ada berita jahat.Tetapi selalunya bila berita kurang disenangi, orang akan menganggap wartawan jahat, media jahat. Gemar menulis berita sensasi agar laku suratkhabar. Tetapi pernahkah terfikir bagaimana cara wartawan bekerja?Tidak sedikit wartawan terbunuh di medan perang, mati dihujung senjata kerana dendam dan hilang ingatan kerana ugutan. Semua ini untuk senaskah akhbar yang sedang anda baca ketika sarapan. Dalam konteks sukan pula, tidak ada wartawan mahu membunuh karier seseorang atlit, melainkan mahu melihat kejayaannya. Bila atlit itu menjadi ternama dan kaya raya, wartawan akan tetap dengan pen dan buku notanya. Seperti saya inilah. Harapkan harta dan rupa, jauh sekali. Kelmarin saya mendapat e-mel komen seorang pembaca. Dia menyalahkan media Malaysia kerana mengganggu Nazmizan Muhammad, menghentam kegagalan skuad badminton negara. Olimpik bukan datang dua bulan sekali atau dua tahun sekali. Ia adalah temasya empat tahun sekali, paling unggul dan tertua dengan penyertaan atlit seluruh dunia. Olimpik juga adalah pentas mencipta nama dan menjadi kaya raya. Legenda tinju, Muhammad Ali lahir di gelanggang Olimpik. Begitu juga Sir Steve Redgrave, Jesse Owen, Nadia Comaneci, Mark Spitz kepada Ben Johnson, Carl Lewis, Michael Jordon dan hari ini Ian Thrope, Maurice Greene, Marion Jones serta ramai lagi. Kerana itu Olimpik bukan lagi tempat untuk bermain-main atau mencari pengalaman. Di sinilah himpunnya semua atlit terbaik dunia bersaing mengejar kesempurnaan. Benar, saya turut mengkritik kegagalan skuad badminton, Lim Keng Liat dan menegur sikap Nazmizan. Saya kecewa dan sedih dengan kegagalan itu. Apa yang dipamerkan terlalu mengecewakan. Mereka bukan sahaja jauh tertinggal, malah gagal mengatasi catatan peribadi masing-masing. Pemain badminton kita berada dalam ranking terbaik dunia. Keng Liat pula bertahun-tahun berlatih di luar negara. Apakah kita kata “tak apa” atas kegagalan ini? Wartawan hanyalah karier tetapi saya juga manusia biasa dan rakyat Malaysia. Dalam menjalankan tugas mengejar waktu, berlari ke sana-sini, bermandi peluh, berembun pagi hingga seharian tidak menjamah makanan, kami berdoa akan kejayaan atlit negara. Kisah Josiah Ng kami tidak paparkan semuanya. Bagaimana dia menangis seperti budak kecil apabila dua jurulatihnya bertelagah, meninggalkan dia keseorangan. Saya bersama-sama Badrulhisham Othman (Berita Harian), Lazaros Rokk (NST) Rizal Hashim (Malay Mail), Raj (Star), Khalid Saad (Utusan) dan Hamdan Said (Bernama) menenangkan dia, mententeramkan dia, menyalakan terus api semangat dan memacak semula keyakinan agar dia meneruskan acara kegemarannya, keirin. Saya perlu namakan semua rakan setugas ini. Ketika itu kami bukan lagi wartawan tetapi rakyat Malaysia yang mahu atlit negara terus berjuang, tidak mudah mengaku kalah. Hasilnya, Josiah layak ke final. Biarpun gagal meraih pingat, saya bangga kerana atlit Malaysia berada dalam kelompok enam pelumba terbaik dunia. Kerana semua inilah, saya masih bertahan sebagai seorang wartawan. Bidang ini mengajar saya menjadi lebih dewasa dalam hidup.

Hajat hati nak tawan Acropolis







ACROPOLIS, lambang keagungan Athens indah dari pandangan di kaki bukit. Ia berubah warna mengikut pancaran matahari. Putih bila matahari tepat di atas kepala dan kekuningan bila mendekat senja.Saya lihat bangunan Parthenon kekuningan dari Stadium Panathinaiko, gelanggang acara memanah purba yang dibina pada 330 Sebelum Masihi (SM).Kilauannya menggamit untuk menghampirinya seolah-olah mencabar saya untuk berada di puncaknya. Saya mahu menawan Acropolis, seperti Kerajaan Islam Uthmanniah. Tetapi kerana kesibukan tugas, berlari ke sana ke sini, hajat itu terpendam.Begitu ironisnya Acropolis sehingga rakan setugas Berita Harian, Badrulhisham Otman, mengabadikan nama itu dalam kolumnya. Dia mahu mendaki Acropolis tetapi saya tidak tahu sama ada sudah melakukannya atau belum.Kaki saya terus menghala ke sana. Menyeberangi jalan besar Konstandinou yang membawa saya menyusuri Agora yang di kiri kanannya pokok zaitun. Di sinilah berdirinya Beule Gate, satu-satunya gerbang masuk utama yang tinggal, kekal hingga ke hari ini. Enam daripadanya sudah tumbang kerana hukum alam dan runtuh akibat peperangan.Kaki bukit Acropolis semakin hampir. Bayangnya sedikit kemerahan kerana senja sudah di kaki langit. Langkah saya terhenti bila di depan terpacak deretan gerai-gerai cenderamata. Ia dibuka hanya di hujung minggu.Kerana ajakan rakan, hala kaki saya berubah arah. Sepatutnya terus mara ke depan tetapi melencong ke kiri. Terdapat lebih kurang 60 gerai kesemuanya. Daripada sekecil pin, barangan tembikar, logam, kaca hinggalah ke ukiran kayu, arca haruman lilin, kain, lukisan cat, semuanya ada di situ. Harganya juga jauh lebih murah, berbanding di pusat bandar.Ketika asyik melihat barangan tembikar, bahu saya terasa seperti di cuit orang. Bila menoleh, tidak ada sesiapapun di belakang yang ada cuma sebuah gerai menjual hiasan pelekat magnet. Lantas saya teringkat kepada seorang kenalan lama.Dia adalah pengumpul hiasan magnet. Sebagai penuntut di luar negara, mudah baginya membuat koleksi ketika mengunjungi negara-negara yang dilawatinya ketika cuti musim panas. Malah saya juga akhirnya terjerat dengan hobinya itu.Banyak yang saya beli ketika tugasan di luar negara, ada juga memesan dengan rakan-rakan. Semuanya menghiasi dinding peti ais di rumah. Bila melihat magnet ini, dengan sendirinya ingatan kepada negara yang dilawati menjelma. Ada pahit, ada manisnya.Magnet kenalan lama itu masih terlekat kemas, tidak berubah kedudukan, seperti mana kali pertama saya letaknya di situ. Begitulah kukuhnya ingatan saya terhadapnya.Masa berlalu menjarakkan kami berdua. Tidak ada khabar berita. Tiada pesanan ringkas.Suasana kaki bukit Acropolis semakin muram. Hanya yang meneranginya adalah pancaran lampu-lampu neon. Di hujung lorong gerai terakhir menghala keluar, baru tersedar, saya tidak beli apa-apa. Mahu berpatah balik, rakan sudah mengajak pulang.Lagipun teksi yang ditahan sudah terpacak di hadapan. Mahu tidak mahu, saya akur jua. Daripada dalam teksi, saya dapat melihat Acropolis yang semakin jauh ditinggalkan. Gagal juga saya menawannya