Sunday, February 6, 2011

Sunyinya malam perpisahan

KHABAR DARI GUANGZHOU

KOLUM LAST

Perkampungan Media yang menjadi penginapan aku sepanjang Sukan Asia di sini sudah kurang hingar bingarnya. Semakin sunyi.

Tiada lagi kelibat sekumpulan media India yang cukup terkenal dengan lengkap berpakaian kemas ala-pejabat. Sekali turun ke dewan makan, suasana bertukar bagai satu majlis keramaian.

Jika berdiri dari penjuru sebelah kiri dari jarak 50 meter, kita boleh dengar suara mereka jauh di hujung sebelah sana.

Jika tidak bergurau senda, mereka akan merungut soal menu. Tidak menepati citarasa.
Mengadu penganjur lebih utamakan masakan China, Asia Tenggara, Arab dan Barat. Memo dihantar kepada pengurusan dewan makan.

Ketua chef wanita berbangsa Perancis itu banyak kali memperbetulkan letak duduk cermin matanya. Kadang-kadang menggelengkan kepala, sesekali mengangguk. Melipat nota memo, kemudian membukanya semula. Dia dipanggil untuk mendengar rungutan media India ini.

Bagaimana soal makanan yang terlalu remeh ini menjadi agenda besar hinggakan seorang pengarang sukan akhbar Delhi Post mengaitkannya dengan pencapaian buruk atlet India dalam tulisannya. Hujahnya daripada cemerlang dengan 38 pingat emas untuk muncul naib juara Sukan Komanwel New Delhi bulan lepas. Kontinjen mereka kali ini hanya mampu mengutip 14 pingat emas di Guangzhou ini.

Atlet India katanya, lemah dan tidak bertenaga untuk bersaing, tidak garang untuk melawan dan tidak bersemangat untuk bersukan. Semua itu disebabkan mereka tidak disediakan menu kari.

Saya pelik juga, mahu ketawa pun ada. Mana mungkin maruah sukan India hanya terletak pada semangkuk kari.

Mungkin tidak tahan menerima aduan hampir setiap hari, penganjur akhirnya terpaksa menaikkan bendera putih. Mengaku kalah. Kari mereka mahu, kari yang mereka dapat. Satu bahagian disediakan khas buat mereka.

Seorang petugas disediakan untuk menjaga bahagian ini. Media lain tidak dibenarkan menghampirinya.

Namun aku lihat penuh juga tray mereka dengan beraneka makanan lain spaggeti, stew daging, sosej, burger, kentang hancur dan bubur Cina.

Aku juga tidak terpandang lagi media wanita Iran yang sopan berpakaian dan bertudung litup. Cukup bergetar dada bila dalam kerlingan, terpanah sepasang mata biru dan hijau dari jauh tepat memerhati.

Juga tidak kelihatan lagi si rambut perang manis menawan dari Uzbekistan, Kazakhstan, Tajikistan dan semua yang `stan’ dibelakangnya. Mereka ini sentiasa mendapat perhatian kami media antarabangsa sampai ada yang terlepas pinggan di tangan.

Terfikir juga mereka ini bukankah lebih baik menjadi model daripada bersusah payah mengejar berita yang kadangkala terpaksa berhujan, berembun dan berpanas. Taklah kulit yang cerah jadi malap yang hitam bertambah legam.

Bila berjalan pulang lewat malam semalam, melewati lorong susur beberapa unit pangsapuri, aku dapati suasananya sudah tidak terang benderang seperti dulu. Banyak bilik sudah bergelap kerana ramai yang sudah pulang ke negara masing-masing.

Yang tinggal, hanya beberapa kerat dan esok lusa giliran aku pula meninggalkan Guangzhou yang aku pinjam selama 25 hari. Padamnya obor temasya, berakhirlah sudah ruang bicara aku ini.

Salam sejahtera.

No comments: