Sunday, February 6, 2011

Siapakah kita sebenarnya?

KOLUM
KHO KHOME JAK VIENTIANE


SEMALAM genap seminggu aku di kota Vientiane, ibukota Laos yang menjadi hos temasya Sukan Sea ke-25 yang akan dibuka dengan rasminya hari ini.

Biarpun paling awal tiba, aku menjadi penulis paling akhir mengisi kolum Kho Khome Jak Vientiane ini atau yang membawa maksud Mesej dari Vientiane selepas dua rakan setugas tiba kelmarin.

Terus terang selepas meliputi beberapa edisi karnival sukan ini, Vientiane paling nyata suram. Aku tidak tahu apa sebabnya, barangkali rakyat Laos sendiri tidak begitu gembira menyambut kehadirannya.

Keperluan ke arah itu tidak begitu mendesak. Apalah yang ada pada sukan bagi rakyatnya jika taraf kehidupan mereka masih mundur.

Laos masih dianggap negara miskin dengan arus pembangunannya bergerak perlahan setenang arus Sungai Mekong yang di tebing sana Thailand, Utara bersempadan dengan China, selatannya Kemboja, timur Vietnam dan Myanmar jiran di sebelah barat laut. Jadi Laos ini berada di tengah-tengah lima negara Indo China ini.

Jadi kekurangan yang aku lihat dan kesederhanaan sambutannya, itulah yang boleh aku gambarkan di sini.

Sebenarnya kita tidak perlu menunjuk-nunjuk untuk menjadi hos paling mewah, temasya paling gilang gemilang serta kemudahan paling efisyen, hanya semata-mata untuk mendapat pujian. Bila temasya tamat, maka berakhirlah pujian itu. Tidak akan ada lagi orang menyebutnya, jauh lagi orang luar.

Malaysia cukup sinonim dengan budaya ini. Perbelanjaan mesti hujung angkanya berakhir dengan enam atau tujuh digit kosong. Sambutan harus dibuat secara besar-besaran, tidak boleh tidak, publisiti mesti dibuat setahun sebelum kejohanan bermula.

Kakitangan kerajaan dipaksa menjadi petugas sukarela, budak-budak sekolah diseret memenuhkan ruang tempat duduk stadium atau dewan dalam setiap acara. Yang penting tunjukkan kemeriahan.

Ini aku maksudkan dengan temasya Sukan Malaysia (Sukma).

Di peringkat antabangsa pula, Malaysia sudah dilabelkan menjadi negara paling gemar menjadi tuan rumah. Negara lain tolak, kita cepat-cepat menawarkan diri. Kadangkala sukan yang tidak masuk akal juga, kita sanggup anjurkannya.

Jika soalkan kewajarannya, mereka dakwa ini sukan eco-tourism atau sukan pelancongan bagi menarik kebanjiran pelancong asing. Negara akan mendapat pulangan besar.
Soalnya, benarkah begitu. Berapa ramai pelancong asing yang hadir menyaksikannya. Ada statistik?

Tak perlulah disebutkan kejohanan apa kerana aku percaya anda sendiri mudah mendapat jawapannya. Namun penganjuran sukan bermotor seperti Grand Prix Formula Satu dan GPmoto dunia di mana Malaysia menjadi salah satu sirkit dunia, adalah keputusan tepat.

Seperti yang aku sebutkan tadi, kita harus menjadi seperti Laos bersikap bersederhana dalam sambutan dan tegas seperti Singapura yang masih enggan menganjurkan Sukan Sea 2011.

Mereka tidak merasakan ia satu kemestian. Ini kali kedua mereka menolaknya. Kali pertama pada 2007 dan Thailand bersetuju menjadikan Korat sebagai lokasi kejohanan.
Malaysia dikatakan amat berminat tetapi Indonesia pula mendapat hak penganjuran 2011. Mereka memilih Bandung dan Surabaya sebagai venue utama.

Inilah mesej yang aku cuba sampaikan. Jadiah seperti Laos atau setidak-tidaknya Singapura kerana setiap sen yang dibelanjakan adalah wang kita, pembayar cukai 1 Malaysia. Fikirkanlah.

Sunyinya malam perpisahan

KHABAR DARI GUANGZHOU

KOLUM LAST

Perkampungan Media yang menjadi penginapan aku sepanjang Sukan Asia di sini sudah kurang hingar bingarnya. Semakin sunyi.

Tiada lagi kelibat sekumpulan media India yang cukup terkenal dengan lengkap berpakaian kemas ala-pejabat. Sekali turun ke dewan makan, suasana bertukar bagai satu majlis keramaian.

Jika berdiri dari penjuru sebelah kiri dari jarak 50 meter, kita boleh dengar suara mereka jauh di hujung sebelah sana.

Jika tidak bergurau senda, mereka akan merungut soal menu. Tidak menepati citarasa.
Mengadu penganjur lebih utamakan masakan China, Asia Tenggara, Arab dan Barat. Memo dihantar kepada pengurusan dewan makan.

Ketua chef wanita berbangsa Perancis itu banyak kali memperbetulkan letak duduk cermin matanya. Kadang-kadang menggelengkan kepala, sesekali mengangguk. Melipat nota memo, kemudian membukanya semula. Dia dipanggil untuk mendengar rungutan media India ini.

Bagaimana soal makanan yang terlalu remeh ini menjadi agenda besar hinggakan seorang pengarang sukan akhbar Delhi Post mengaitkannya dengan pencapaian buruk atlet India dalam tulisannya. Hujahnya daripada cemerlang dengan 38 pingat emas untuk muncul naib juara Sukan Komanwel New Delhi bulan lepas. Kontinjen mereka kali ini hanya mampu mengutip 14 pingat emas di Guangzhou ini.

Atlet India katanya, lemah dan tidak bertenaga untuk bersaing, tidak garang untuk melawan dan tidak bersemangat untuk bersukan. Semua itu disebabkan mereka tidak disediakan menu kari.

Saya pelik juga, mahu ketawa pun ada. Mana mungkin maruah sukan India hanya terletak pada semangkuk kari.

Mungkin tidak tahan menerima aduan hampir setiap hari, penganjur akhirnya terpaksa menaikkan bendera putih. Mengaku kalah. Kari mereka mahu, kari yang mereka dapat. Satu bahagian disediakan khas buat mereka.

Seorang petugas disediakan untuk menjaga bahagian ini. Media lain tidak dibenarkan menghampirinya.

Namun aku lihat penuh juga tray mereka dengan beraneka makanan lain spaggeti, stew daging, sosej, burger, kentang hancur dan bubur Cina.

Aku juga tidak terpandang lagi media wanita Iran yang sopan berpakaian dan bertudung litup. Cukup bergetar dada bila dalam kerlingan, terpanah sepasang mata biru dan hijau dari jauh tepat memerhati.

Juga tidak kelihatan lagi si rambut perang manis menawan dari Uzbekistan, Kazakhstan, Tajikistan dan semua yang `stan’ dibelakangnya. Mereka ini sentiasa mendapat perhatian kami media antarabangsa sampai ada yang terlepas pinggan di tangan.

Terfikir juga mereka ini bukankah lebih baik menjadi model daripada bersusah payah mengejar berita yang kadangkala terpaksa berhujan, berembun dan berpanas. Taklah kulit yang cerah jadi malap yang hitam bertambah legam.

Bila berjalan pulang lewat malam semalam, melewati lorong susur beberapa unit pangsapuri, aku dapati suasananya sudah tidak terang benderang seperti dulu. Banyak bilik sudah bergelap kerana ramai yang sudah pulang ke negara masing-masing.

Yang tinggal, hanya beberapa kerat dan esok lusa giliran aku pula meninggalkan Guangzhou yang aku pinjam selama 25 hari. Padamnya obor temasya, berakhirlah sudah ruang bicara aku ini.

Salam sejahtera.

Disebalik Cermin

SALAM DARI GUANGZHOU

KOLUM 3

CERMIN tidak berlakon, jauh lagi berpura-pura. Jauh sekali untuk menipu. Sejam anda menatapnya, itulah diri anda sebenarnya. Pusing kiri, teleng kanan, ia tidak akan merubah apa-apa.

Anda boleh berlakon dan bermuka-muka.Mempunyai pelbagai perwatakan agar nampak hebat, disanjung dan dihormati. Jarang yang mahu menjadi sebaliknya kerana dunia hari ini sudah banyak yang menolak kebenaran.

Jadi jika anda mahu menilai diri anda, siapakah anda, nilailah di depan cermin. Orang lain tidak akan berlaku jujur jika diminta menilainya.

Inilah yang bermain-main dalam hati. Aku melihat diri sendiri di depan cermin.
Aku adalah aku juga hari ini sama seperti 20 tahun dulu. Menjadi baikkah aku? Matangkah aku? Adakah tulisan aku ni masih banyak yang menyakitkan hati banyak pihak? Aku tak pasti. Nak kata berubah tidak, semakin baik pun tidak juga.

Cuma bezanya dan nampak ketara adalah banyak garisan halus lurus di dahi dan penjuru mata. Rambut juga semakin kebelakang menampakkan dahi yang luas dan mula memutih.

Badan yang sasa dulunya menampakkan enam ketul otot, bertukar bulat dan menakutkan. Aku menjadi terlalu rugi bila banyak baju dan seluar yang tidak sempat dipakai, sudah sendat dan ketat semuanya.

Aku seperti tidak boleh menerima fizikal yang semakin kembang ini. Biarpun ramai yang berkata mahkota lelaki letak diperutnya. Ya ke? atau itu sebenarnya mahu menyedapkan hati.

Mahu tidak mahu aku akur akan proses penuaan ini. Tambah pula, bila nafas yang panjang menjadi semakin pendek. Banyak berjalan, terpaksa juga banyak berhenti.
Dan aku semakin lega bila Sukan Asia Guangzhou ini semakin hampir ke penghujung.
Banyak acara-acara sukan utama membabitkan atlit negara sudah berakhir, yang tinggal hanya beberapa kerat sahaja. Itu tandanya aku tidak perlu banyak berjalan lagi.

Pun begitu, bila melihat kembali ke cermain, aku jadi hairan, tidak ada satupun bahagian yang nampak susut. Malah makin menjadi-jadi.

Apa mungkin cuaca sejuk di sini menghalang pembakaran lemak dalam badan? Atau mungkinkah selera makan semakin bertambah setiap kali hadir di dewan makan?.

Dengan hanya RNB10, semurah kira-kira RM5, aku boleh memilih 150 jenis makanan dari sentuhan 156 chef dalam menyediakan pelbagai masakan Asia hinggalah ke menu ala barat.Itu belum lagi beranika hidangan pencuci mulut, buah-buahan segar dan minuman.

Begitu mewahnya kami, tetamu disini. Sekalipun untuk mencubit rasa, aku tidak mungkin dapat menghabiskannya semua walaupun duduk seharian di dewan makan.

Jadi benarlah cermin yang aku tatap ini memang segala-galanya benar.

Jumpa lagi.

Spesis Yang Terhakis

KHABAR DARI GUANGZHOU

KOLUM2

BARU beli tadi, sekarang sudah kena kebas. Masuk yang ini sudah lima pemetik api dicampak ke dalam bakul sampah. Sembunyilah di mana sekalipun, dalam beg galas, dalam kotak rokok hinggalah nekad sorok dalam kasut, pasti alat pengimbas dapat mengesan letaknya.

Begitulah nasib perokok tegar seperti aku ini di Guangzhou ini. Malang bertimpa di mana-mana sahaja setiap kali melewati pintu masuk keselamatan. Baik di Pusat Media Utama (MPC) mahupun ke venue-venue pertandingan. Pasti tidak terlepas.

Begitu banyak kejohanan besar telah aku liputi bertaraf 5 bintang, semuanya agak bersimpati dengan spesis kami yang sentiasa dipulaukan, diperli dan diherdik. Kami ini sudah terpinggir tanpa diberi hak kebebasan.

Begiu kerasnya negara komunis ini. Bayangkan pemetik dan mancis api adalah barangan larang sama sekali. Itu kata putus. Muktamad. Namun peliknya, rokok dibenarkan pula dibawa masuk. Agaknya disuruh kunyah, jangan hisap.

Entah siapalah nak buat angkara hingga sampai mahu membakar bakar MPC, stadium mahupun perkampungan media di sini. Itu jika mereka fikir. Kita kalau boleh mahukan sukan ini selamat, berjalan lancar agar berakhir cepat. Angkat kaki pulang ke tanah air.Habis cerita.

Bukan aku tidak mahu berhenti, sumpah mahu. Sudah banyak cara dan kaedah lakukan.
Dari telan pil, mamah gula getah anti narkotin, guna pelekat yang ditampal di mana-mana anggota badan dan hisap gula-gula berangin untuk matikan ketagihan. Namun semuanya tak juga berkesan.

Ramai juga yang menegur dan beri nasihat. Mak, abah termasuk orang rumah sendiri sudah berbuih beri ceramah. Entah kenapa seperti jauh saja suara-suara mereka itu.

Jangan kata tidak sedar, memang aku tahu merokok membahayakan kesihatan. Malah usaha kerajaan aku sanjung tinggi memeranginya. Pelbagai kaedah dan program dilancarkan.
Kempen terbaru yang aku ingat “Katakan Tidak Pada Rokok“.

Aku tak pasti sama ada kempen itu masih berjalan ataupun tidak. Tidak kelihatan lagi poster gergasi dipasang di cabang simpang jalan utama ke rumah aku. Ya gambar sebatang rokok yang bengkok dan patah digantikan dengan Slogan 1 Malaysia.Maafkan aku silap jika masih ada di tempat lain.

Sekarang ini kotak rokok juga terpampang gambar-gambar `mengerikan’ kesan daripada ketagihan merokok. Pada aku ia tak menakutkan. Tutup mata, keluarkan sebatang dan terus nyalakan. Ini perlu dikaji semua pakar-pakar strategik kerajaan.

Harga rokok juga dinaikkan setiap kali bajet negara hingga sekarang menjadi barangan mewah, tetapi tetap juga orang membelinya. Aku tidak salahkan sesiapa, kecuali diri sini.

Agaknya betulkan rokok ini ada pantang larangnya. Keras. Orang tua berpesan kalau masuk ke hutan, mulut jangan celupar. Jangan tegur sesuatu yang pelik kerana ada penjaganya.

Begitulah kuat aku rasakan dengan rokok ini. Puakanya jauh lebih besar dan dasyat.

Di MPC ini, aku terpaksa melepaskan gian di penjuru luar ruang merokok. Rupa-rupaya ramai juga spesis yang hampir pupus ini. Kami seperti satu komuniti antarabangsa. Ada lelaki perempuan, hitam cerah, kecil besar, rendah tinggi, bulat dan kurus.

Rupa-rupanya di sebalik kecanggihan teknologi ciptaan manusia, akal anugerah Tuhan lebih bijaksana. Ada yang berjaya menyusup masuk barang larangan ini.

Esok umat Islam di sini akan menyambut Hari Raya Korban, sehari lebih awal di tanah air. Penganjur akan menyediakan kawasan lapang di Perkampungan Atlit untuk solat raya kemudian ada sedikit jamuan ringan.

Untuk itu aku sudahi dengan ucapan selamat hari raya kepada semua muslimin dan muslimat di tanah air, mereka yang pulang dengan haji mabrur, keluarga, saudara mara serta rakan-rakan termasuk juga dengan anda pembaca akhbar ini.

Jumpa lagi.

Made In China

KOLUM 1

KHABAR DARI GUANGZHOU



Guangzhou berkabus tebal dan sejuk pada hari pertama saya mencecah bumi bandaraya Wilayah Guandong paling selatan Tanah Besar China ini.

Pandangan agak terbatas untuk melihat suasana persiapan tuan rumah edisi ke-16 ini yang mahu setanding dengan kehebatan dan pujian Beijing selaku penganjur
paling berjaya Sukan Olimpik 1988.

Jawatankuasa Sukan Asia Guangzhou (GAGOC) mahu sentuhan Made in China itu kekal berterusan dan memukau dunia.

Sebaik kabus mulai menipis dan menghilang, tersergam kehebatan bandaraya ini. Bangunan pencakar langit serta menara yang menjadi mercu tanda pusat bandar ini menjai lambang kekuatan ekonominya.

Apa lagi bila malam menjelma, panoramanya menguntum perasaan menerusi hiasan lampu pelbagai warna yang dicorak mengikut gubahan artistik menerangi bangunan pencakar langit, pantulan arca neon dari taman-taman rekreasi serta gemerlapnya laluan lalulintas serta pejalan kaki.

Kabus tadi seolah menjadi tirai yang disingkap perlahan-lahan untuk tatapan tetamu asing menyaksikannya sempena temasya sukan terbesar rantau Asia.

Aku serta beberapa rakan sepejabat mungkin antara paling bertuah menjadi pelawat pertama di sini kerana acara bola sepak bermula awal. Kami dapat saksikan sentuhan terakhir penganjur yang bakal dibantu 60,000 sukarelawaan menyambut kedatangan 14,700 atlit serta pegawai daripada 45 negara bertanding, hampir 8000 pengamal media dan tentunya kebanjiran ribuan penyokong tempatan serta luar yang menjadi penyeri kemeriahan sukan ini.

Mercu kebanggaan Guangzhou sudah tentu pembukaan bandar baru sukannya sendiri. Diberi nama Bandar Sukan Asia, ia menempatkan perkampungan besar atlit, pegawai teknikal dan media selain Taman Rekreasi Sukan dan kawasan logistik.

12 stadium baru dibina dengan senireka kontemporari tanpa mengenepikan seni artifak China di pinggir luar bandar baru itu kecuali satu Dewan Gimnasium berdekatan perkampungan sukan.

Guangzhou sudah bersedia memulakan perebutan 476 pingat emas yang ditawarkan daripada 42 acara sukan utama.

Anda sendiri bakal menyaksikan kehebatan majlis pembukaan gilang gemilang penuh warna warni secara langsung malam ini ditebing sungai Haixinsha. Rasanya kali pertama majlis seumpama ini dilakukan di luar stadium utama.

Guangzhou juga mahu menjadi tuan rumah pertama menampilkan lima maskot kambing iaitu A Xiang berwarna biru, A He (hitam), A Ru (merah), A Yi (hijau) dan Le Yangyang (kuning) dan paling besar saiznya.

Cantuman nama bila disebut Xiang He Ru Yi Ke Yangyang membawa maksud masa depan gemilang, keamanan dan kebahagiaan seperti yang diimpikan. Semua itu seharusnya menjadikan kehebatan Made in China.

Namun lumrahnya tidak semua hajat penganjur berjalan sempurna dan menepati maksudnya. Hari kedua ketika menyiapkan berita di Pusat Media Utama (MPC), adaptor yang disediakan nyaris meranapkan lap top aku ini. Tiba-tiba berasap dan berbau hangit.

Seorang pegawai dengan wajah pucat memohon maaf dan menghulur adaptor baru yang masih belum dibuka dari kotaknya. Pelekat Made in China tertera disudut tepi. Aku ucapkan terima kasih, lantas menolaknya.

Sekian jumpa lagi