Wednesday, January 16, 2008

Ahh Shinkansen


BEGITU cepatnya masa berlalu, sepantas cuaca berangin di Sendai berubah kepada hujan renyai-renyai di Bandaraya Metropolitan Tokyo ini. Terasa baru semalam di Sendai dan selang dua jam, tup... tup saya sudah terpacak di kota batu ini. Saya kurang selesa dengan suasana baru ini kerana segala-galanya agak bertentangan. Sendai dan Tokyo jelas dua bandar berlainan baik penghuninya, suasananya dan cuacanya. Ke mana hilangnya kelembutan dan tingginya rasa hormat orang-orang Tokyo ini berbanding masyarakat Sendai. Saya belum nampak persamaannya lagi tetapi jelas kedatangan saya di sini bermula dengan langkah kiri. Dalam kegembiraan untuk merasai kehebatan Shinkansen `Bullet Train’ Jepun ini, saya menjadi mangsa kelajuannya. Saya terlepas jadual perjalanan jam 8.50 pagi hanya gara-gara terlewat beberapa saat mengejar gerabak pertama di hadapan yang dikhaskan untuk tempahan. Dalam keadaan serba serbi berat, mengheret beg besar dan beg sandang, tidak termasuk membawa beban badan yang bertambah dek beras pulut Jepun, sukar untuk saya mengejar pintu gerabak terakhir di depan. Hanya beberapa langkah untuk sampai, pintunya tiba-tiba tertutup. Putih mata saya melihat kereta api itu terus meluncur pergi. Saya melepaskan beg yang dijinjing, membongkokkan badan menahan lelah. Mujur tiket yang berharga hampir RM400 tak hangus begitu saja. Saya berjaya mendapatkan kereta api jam 9.15 pagi yang terpaksa berhenti mengambil penumpang di lapan stesen. Hati yang panas akhirnya sejuk juga. Perjalanan dua jam 40 minit dengan panorama desa, sawah padi, pokok-pokok hutan berdaun merah, kuning, hijau muda dan pekat dengan sungai yang mengalir lesu. Inilah cantiknya negara yang bermusim empat. Semua ini mendekatkan saya kepada keagungan Ilahi. Jika saya dapat merakamkan panorama itu, alangkah bagusnya. Namun saya tidak seperti seorang doktor di Kuantan yang bukan saja memiliki sepasang tangan emas merawat pesakit, cekap pula menggunakan kameranya. Saya hanya kenali doktor ini dengan panggilan Ikelah menerusi blognya. Gambar-gambar yang dirakam hidup dan cantik. Tajam pengamatannya.Namun dari pandangan jendela kaca hotel 25 tingkat di tengah-tengah kawasan Shinjuku ini, cukup hambar. Hanya hutan batu. Tiada lagi bunga sakura yang melambai-lambai ditiup angin.

No comments: