Wednesday, January 16, 2008

Senja di Athens


KETIKA anda membaca kolum ini, saya sudah separuh daripada 17 jam perjalanan ke Athens, Greece, tuan rumah Sukan Olimpik musim panas. Itu belum dicampur 6 jam lagi persinggahan di Amsterdam. Insya- Allah jika semuanya mengikut jadual, saya dan dua lagi rakan setugas Berita Harian, Badrulhisham Othman dan jurugambar Tham Foo Kan akan memijak bumi Athens kira-kira jam 6 petang esok. Athens menjadi cukup simbolik. Istimewanya kerana selepas 3,000 tahun, temasya sukan paling tua ini kembali semula kepada pencipta dan pemilik asalnya. Sudah tentu saya antara ribuan wakil media cetak dan elektronik dari serata pelusuk dunia bertuah menjadi sebahagian daripada sejarah ini. Agak unik juga Athens tuan rumah pertama selepas tragedi berdarah 11 September 2001. Kebimbangan akan kumpulan-kumpulan militan, terutama Al-Qaeda menjadi fokus utama pihak penganjur. Tambah merisaukan bila berlaku tiga kejadian letupan bom dalam tempoh 100 hari menjelang pembukaan rasmi temasya itu. Yang khuatir sudah tentulah Amerika Syarikat, Australia dan Britain biarpun diyakinkan kerajaan Greece berulang kali. Perdana Menteri Australia, John Howard contohnya, mahu atlit, pegawai serta rakyatnya diberi kawalan ketat 24 jam. Kerajaan Isreal pula mahu penginapan atlitnya dikelilingi pagar tinggi agar tidak mudah dicerobohi. Mereka bimbang tragedi berdarah Olimpik 1972 berulang. Dalam serangan 5 September itu, 11 atlit Israel terbunuh dan dua lagi berjaya menyelamatkan diri. Tidak hairanlah lebih 70,000 anggota polis Greece dikerah mengawasi lokasi venue, perkampungan sukan, Pusat Media Antarabangsa dan apa juga membabitkan perjalanan Sukan Olimpik. Itu belum beratus lagi kamera litar tertutup dipasang di lokasi-lokasi penting seluruh bandar Athens. Agak malang bagi penghuni bandar ini. Mereka sepatutnya bergembira tetapi terpaksa meneruskan kehidupan seharian dalam pengawasan cukup ketat. Saya sedikit sebanyak terkena percikan ini. Rakan-rakan di pejabat agak nakal mengusik sehingga ada yang meminta saya meninggalkan sekeping gambar tanda kenangan. Mak seperti setiap kali ada tugasan di luar negara berpesan agar saya tidak meninggalkan solat dan sentiasa menjaga diri. Saya tahu dia juga bimbang. Apapun saya yakin Athens akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik paling hebat, meriah dan selamat. Olimpik sebenarnya adalah lambang keamanan dunia sejagat. Insya- Allah saya akan berusaha memberikan laporan terbaik sepanjang temasya ini dari 13-29 Ogos terutama perjuangan 26 atlit negara memburu pingat emas pertama. Kolum ini adalah permulaan kepada lebih banyak lagi cerita menarik akan pengalaman yang akan saya kongsi bersama.

No comments: