Wednesday, January 16, 2008

Malaysiakah kita?

BILA dikata orang Malaysia tidak patriotik, kita akan marah. Sampaikan bila lagu NegaraKu dinyanyikan dalam nada sedikit kelainan, ia dikatakan sumbang,
berdosa besar sehingga menjadi isu dalam sidang Dewan Rakyat.Tetapi bila tiba bab menyumbang, orang kitalah yang ke depan. Hinggakan berjuta-juta RM dikumpulkan atas nama ihsan Rakyat Malaysia. Nama individu dan syarikat terpampang dalam akhbar. Jika berjuta yang disumbang, ada pula permintaan gambar untuk disiarkan.Namun kita memang tidak sedar, dalam ghairah menyumbang, ada anak-anak kita terbiar kelaparan, hidup daif tanpa pembelaan.Mereka ini yang perlu kita bela, sebelum mengambil tahu hal-hal orang lain di seberang lautan. Saya menyokong apa juga bentuk bantuan kemanusian
tetapi janganlah kita seperti bidalan "beruk di hutan disusukan, anak sendiri dibiar kelaparan".Tetapi itulah diri kita yang sebenar. Tataplah di cermin, kerana arca yang kita lihat, tidak pernah menipu.Saya bangkitkan soal patriotik ini kerana terasa seperti disindirkan di tengah-tengah kota Metro Manila.
Cuba anda fikirkan sendiri, sebuah syarikat gergasi elektronik Korea Selatan, Samsung menaja kumpulan sorak penyokong Malaysia sepanjang temasya
Sukan Sea. Malah Manila adalah temasya ketiga selepas Brunei dan Vietnam program seumpama ini diadakan.Jika tidak silap saya, Samung juga membawa kumpulan sorak ini buat pertama kalinya ke Sukan Olimpik Athens tahun lepas.Biarpun dalam jumlah yang kecil, kumpulan sorak ini memainkan peranan besar dalam meniupkan api semangat dan perjuangan atlit kita.Contohnya ketika final acara badminton berpasukan. Kumpulan ini menenggelamkan sorakan penyokong Indonesia dan akhirnya gendang dan kompang
yang dipalu mengiringi kejayaan barisan pemain Yap Kim Hock dan Misbun Sidek memenangi pingat emas.Sebenarnya untuk apa syarikat Korea ini membuang wang yang bukan sedikit menaja kumpulan sorak ini.Yang bertanding bukan rakyat atau negara
mereka.
Memang tidak ada kena mengena langsung. Mungkin sukan adalah milik universal dan Samsung mempunyai pendekatan lebih terbuka.
Keuntungan bukan segala-galanya dalam hidup.Malah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said kagum dengan inisiatif syarikat global ini dan memuji program penajaan itu. Beliau seperti juga saya tertanya-tanya mengapa tidak ada satupun syarikat korporat gergasi tempatan mengambil pendekatan murni ini.Berkira sangatkah syarikat-syarikat ini untuk mengeluar sedikit perbelanjaan atas nama Malaysia dan rakyat Malaysia? Apakah dalam setiap urusan perniagaan mesti didahulukan dengan pulangan keuntungan?.
Tepuk dada tanyalah selera.Tahniah sekali lagi kepada Samsung dan anda turut menyumbang kepada kejayaan atlit Malaysia di Manila, Cebu dan Bacalod City. Semoga program ini berterusan sampai bila-bila.

No comments: