Wednesday, January 16, 2008

Arwah Datuk Sidek

SAYA tidak pernah mengenali Datuk Mohd Sidek Abdullah Kamar dari dekat hanya selepas bergelar wartawan sukan . Apa yang tahu hanyalah daripada pembacaan di akhbar mengenai kejayaannya melahirkan lima jagoan badminton dunia.Siapa tidak mengenali Misbun dan adik-adiknya - Razif, Jalani, Rahman dan Rashid.Lagak di gelanggang pantas tidak terbilang, bulu tangkis yang dipancung mematikan langkah lawan, apa lagi penguasaan gelanggang bagaikan panglima kukuh kekuda perang.Begitulah kehebatan lima bersaudara itu, tiga daripadanya berjaya berdiri di podium kemenangan Sukan Olimpik.Pertemuan pertama saya berkisar pada tahun 1991. Ketika itu, saya masih wartawan “rookie”, istilah budak mentah dalam dunia kewartawan di meja sukan.Tidak sukar mencari kediaman beliau di Kancung Darat, Banting, Selangor. Sebut sahaja rumah Datuk Sidek, orang kampung yang saya hampiri memberikan panduan jalan. Rumah kampung berwarna kuning, ada beberapa batang pokok kelapa, rambutan dan gelanggang simen badminton, itulah rumahnya.Saya sampai agak awal. Kira-kira jam 11 pagi. Dari tepi jalan, saya sudah melihat kelibat Datuk Sidek yang hanya berkain pelekat dan bersinglet putih yang lencun dek peluh.Salam saya dijawabnya mesra. Sambil membahasakan diri saya sebagai anak, beliau mempelawa saya masuk sambil meminta diri menyalin pakaian.“Nanti makan tengah hari di rumah pakcik ya,” katanya tiba-tiba terpacul ketika saya tekun menatap koleksi gambar-gambar kenangan yang tergantung di dinding rumah.Perbualan kami cukup mesra sekali, walaupun Datuk Sidek tahu saya bukan penulis badminton. Setiap soalan dijawabnya dengan sopan. Bila sampai kepada kritikan ke atas anak-anaknya, beliau agak sebak. Nadanya bertukar sayu.Hati bapa mana yang tidak terguris membaca berita yang mempersendakan prestasi turun naik anak-anaknya.“Itu hak akhbar untuk mengkritik. Itu juga tugas anda sebagai wartawan. Semuanya bergantung kepada niat. Jika anda rasa berita itu baik untuk membangkitkan semangat anak-anak saya untuk lebih berjaya, saya berterima kasih.“Namun sebagai manusia biasa, kadang-kadang berita yang ditulis boleh membawa kesan amat mendalam sehingga membunuh semangat untuk bersukan.“Pada saya sebagai ayah, saya lebih gembira melihat anak-anak saya menjadi manusia berguna dengan didikan agama secukupnya, bukan kerana trofi, medal atau kejuaraan yang mereka menangi.“Inilah kebanggaan saya. Melihat anak-anak yang tidak lupa akan orang tua mereka, menghormati orang lebih tua dan berbakti untuk bangsa, agama dan negara.”Begitulah reaksi Datuk Sidek. Saya ingat benar kata-katanya itu. Tiada sebarang dendam dihatinya.Malah beliau sentiasa berpesan kepada anak-anaknya, sebagai pemain negara, mereka adalah hak rakyat. Bila menghadapi masalah, kembalilah ke kampung dan rujuklah kepadanya.Sambil menunjukkan gelanggang badminton di halaman rumah, beliau berkata, di situlah saya mendera Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid. Dulu ketika anak-anaknya masih kecil, ia hanyalah gelanggang tanah sahaja.Lama benar mata Datuk Sidek memandang gelanggang simen itu. Ada yang kata beliau kejam. Mendera anak-anak seperti bukan dari darah daging sendiri.Tetapi lihatlah hasilnya. Anak-anaknya itu sudah memahat nama Malaysia di persada dunia. Tidak keterlaluan saya katakan, Datuk Sidek adalah satu-satunya bapa di dunia ini yang berjaya menghadirkan lima jagoan badminton dunia. Sesuatu pencapaian paling menakjubkan dan sukar untuk ditandingi.Setahun selepas wawancara itu pada 1992, Razif, Jalani dan Rashid mengembalikan semula trofi kemegahan, Piala Thomas ke pangkuan Malaysia selepas 25 tahun dikuasai Indonesia dan China.Rashid kemudian memenangi pingat emas Sukan Komanwel Victoria 1994 dan gangsa Sukan Olimpik Athens 1996.Dan semalam, kira-kira jam 2.25 pagi, Datuk Sidek, 69, meninggalkan kita buat selama-lamanya, selang dua tahun pemergian awal isterinya, Allahyarhamah Datin Rukinah Sulaiman. Di atas gelanggang badminton itu jugalah perhentian terakhir sebelum jasadnya disembahyangkan. Hilanglah berlian yang menggilapkan lima permata paling menyinar buat negara. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Alfatihah.

No comments: