Wednesday, January 16, 2008

Menghadap langit


HARI ini seperti semalam. Langit Tokyo cerah, tidak suram seperti sesampai saya di sini. Panas matahari pula hanya separuh hari. Itupun sudah cukup bagi saya menikmati kepanasan menyegarkan, biarpun hanya sebentar.Rupanya beginilah nikmatnya berjemur, menghadap muka ke langit sambil mata terpejam dan mengepakkan tangan.Saya membiarkan haba kepanasan matahari meresap masuk ke dalam kulit agar lemak-lemak degil yang terkumpul dek pemakanan lebihan terlampau kerana kesejukan, terbakar.Barulah saya tahu berharganya matahari di negara yang mengalami empat musim ini.Jadi tidak hairanlah rakyatnya yang mampu, memilih Malaysia dan negara beriklim panas khatulistiwa sebagai destinasi pelarian sementara.Pada saya sebelum ini, hanya orang kurang waras saja mahu berjemur berjam-jam di tengah panas terik. Kita boleh lihat berbaris-baris orang berjemur sepanjang pantai Langkawi, Tioman, Pangkor dan Perhentian.Di Bali pula, mereka boleh ‘bersumur’ tanpa menghiraukan puluhan mata mengintai nakal, asalkan badan nampak berceloreng dan berbatik-batik terbakar. Tetapi di tengah-tengah bandar Shinjuku ini, saya pula melakukan tindakan serupa. Tidak takut kemanisan yang tinggal separuh ini hilang, jika kulit yang sedia gelap menjadi bertambah gelap.Malah jika tidak kerana ada lagi sifat malu, mahu sahaja saya berlenggeng di hadapan orang yang lalu lalang.Memang cuaca kedinginan seperti ini berbahaya seperti saya yang sekian lama mahu menguruskan badan. Tetapi setiap tahun itulah, badan tidak mahu mengecil malah bertambah lebar lagi.Tetapi perut cepat sangat terasa laparnya dan dalam keadaan darurat begini, saya harus makan untuk memanaskan badan. Tenaga akan cepat hilang dan pergerakan mula lemah dan sembab.Saya tidak pandai menilai kalori makanan, apa aja yang tercapai, akan terus dikunyah. Selepas bubur beras Jepun, saya kunyah biskut, kemudian coklat dan baru sebentar tadi sepotong kek keju.Saya harap tidak terhidu lagi keenakan Tampura seperti semalam. Cepat saja tergoda dan terus duduk bersila menikmatinya, sedangkan saya sedar dompet sudah semakin nipis.Saya membuka mata bila terasa kehangatan mentari sudah berkurangan. Rupa-rupanya dua anak kecil sedang asyik memerhatikan saya di seberang jalan sejak dari tadi. Agaknya mereka kehairanan melihat lelaki asing ini berdiri seperti tugu mendongak ke langit. Orang gila agaknya.Menyedari diperhatikan, mereka terus mengayuh basikal masing-masing. Salah seorang daripada mereka sempat menoleh ke arah saya lagi. Lucu melihatkan aksi kanak-kanak ini yang bagaikan ketakutan melihat hantu.Saya melihat jam di tangan, sudah 2.45 petang. Tujuan asal mahu melihat Menara Tokyo yang dibuat daripada kerangka besi setinggi 333 meter yang dibina pada 1958 di Shiodome. Bila malam, menara ini cukup mempesonakan dengan kerlipan lampu, tidak ubah seperti Menara Eiffel di Paris. Untuk ke sana saya harus menggunakan subway Akabanetashi dan berjalan kaki sejauh 2km. Saya harus bergegas kerana sudah kehilangan 30 minit kerana berjemur tadi.

No comments: