Wednesday, January 16, 2008

Lelaki ini

HUJAN turun lebat sejak subuh tadi pada hari terakhir aku di bandar Viraggio ini. Aku ke Rome sehari dua, kemudian berangkat pulang ke tanah air.
Tidak banyak yang aku ketahui mengenai bandar pelancongan pesisir pantai dan penghuninya ini. Namun sepanjang 11 hari di sini, aku berasa tenang dengannya. Kenalan rapat aku di sini adalah pemilik Hotel Biagiotti, tempat aku menginap, Victorio Biagiotti, berusia sekitar 80 tahun. Dia menyerahkan urusan perniagaan kepada anaknya yang aku bertengkar pada hari pertama sesampai ke sini. Mana mungkin sebuah hotel pelancongan, tidak punya perkhidmatan internet. Victorio, seorang bekas tentera Itali, memiliki pengalaman luas dalam hidup. Setiap kali kami bersembang, dia akan membawa kotak kayu catur dan memesan dua cawan cappuccino. Permainan catur katanya, menilai diri kita merencanakan hidup. Ya ke? Entah... aku tak tahu pula hidup ini bagaikan permainan catur.
Berjaya atau tidak, kita sebenarnya yang mengatur dan menggerakkannya.Jika silap, undur ke belakang dan perbetulkan.Rintangan akan tetap menanti di depan, kita nampak dan rasai kewujudannya, tetapi sejauhmana keupayaan untuk mengatasinya, adalah dengar berfikir, bersabar dan membuat keputusan tepat.
Aku sentiasa tewas kepada lelaki tua ini tetapi banyak yang aku belajar daripadanaya. Hidup ini cukup kompleks. Kehidupan pada aku adalah merelakan sesuatu yang hilang tanpa kesal dan terus tabah melangkah kedepan.
Sepanjang di sini juga, aku dapat mengenali setiap pegawai MIFA dalam rombongan ini.S Pathy telah lama aku kenal ketika dia menjadi penolong pengurus pasukan bola sepak Selangor. Selaku pengurus, dia juga menjadi tukang masak bagi kami yang merindui masakan pedas dan berkari. Telatah pegawai lain seperti K Rameshwaran, S Govindasamy, M Youvarajan dan A Subramaniam sentiasa menghiburkan dan kadang-kadang aku terasa kemesraan seorang abang bila kami bergurau.
Kedatangan tiga orang kuat MIFA, T Mohan, J Dhinagaran dan P Lalitha menambah keceriaan kami, satu keluarga besar Malaysia yang memiliki suara paling kuat, menenggelamkan penyokong Juventus, ketika menjerit memberi sokongan kepada kesebelasan MIFA yang sedang bertarung di padang.
Selain K Panier Selvam, pegawai perhubungan awam MIFA yang banyak bersabar dengan memudahkan tugasan kami, anggota media menjalankan tugas sepanjang kejohanan. Bagi jurulatih, V Krishnan, P Rajendran dan AD Kelvin, anda telah melakukan tugas dengan baik, cuma pengetahuan kejurulatihan disamping mutu bola sepak kita jauh ketinggalan berbanding lawan yang sudah menempa nama di peringkat antarabangsa.
Aku ada pesanan kepada pemain muda MIFA ini. Anda harus banyak belajar, bekerja keras, kuatkan disiplin dan gunakan pengalaman di Viraggio ini sebagai langkah permulaan untuk membina karier.
Buangkan sikap ego dan bangga diri apabila kembali ke tanah air kelak. Memang anda pernah bermain menentang pasukan hebat seperti CA Juventud, Juventus dan Palermo di sini tetapi keupayaan teknikal anda seperti menahan, menyepak dan mengumpan bola, terlalu lemah. Kepada Vell Paari, teruskan usaha dalam membangunkan bola sepak remaja biar tanpa sokongan FAM sekalipun.
Benih yang ditanam, lambat laun akan bercambah, membesar dan berbuah. Pada hari bila hasilnya dituai, saudara pasti orang paling bangga melihatnya.
Selamat tinggal Viareggio, entah bila akan bertemu lagi.

No comments: