Wednesday, January 16, 2008

Hajat hati nak tawan Acropolis







ACROPOLIS, lambang keagungan Athens indah dari pandangan di kaki bukit. Ia berubah warna mengikut pancaran matahari. Putih bila matahari tepat di atas kepala dan kekuningan bila mendekat senja.Saya lihat bangunan Parthenon kekuningan dari Stadium Panathinaiko, gelanggang acara memanah purba yang dibina pada 330 Sebelum Masihi (SM).Kilauannya menggamit untuk menghampirinya seolah-olah mencabar saya untuk berada di puncaknya. Saya mahu menawan Acropolis, seperti Kerajaan Islam Uthmanniah. Tetapi kerana kesibukan tugas, berlari ke sana ke sini, hajat itu terpendam.Begitu ironisnya Acropolis sehingga rakan setugas Berita Harian, Badrulhisham Otman, mengabadikan nama itu dalam kolumnya. Dia mahu mendaki Acropolis tetapi saya tidak tahu sama ada sudah melakukannya atau belum.Kaki saya terus menghala ke sana. Menyeberangi jalan besar Konstandinou yang membawa saya menyusuri Agora yang di kiri kanannya pokok zaitun. Di sinilah berdirinya Beule Gate, satu-satunya gerbang masuk utama yang tinggal, kekal hingga ke hari ini. Enam daripadanya sudah tumbang kerana hukum alam dan runtuh akibat peperangan.Kaki bukit Acropolis semakin hampir. Bayangnya sedikit kemerahan kerana senja sudah di kaki langit. Langkah saya terhenti bila di depan terpacak deretan gerai-gerai cenderamata. Ia dibuka hanya di hujung minggu.Kerana ajakan rakan, hala kaki saya berubah arah. Sepatutnya terus mara ke depan tetapi melencong ke kiri. Terdapat lebih kurang 60 gerai kesemuanya. Daripada sekecil pin, barangan tembikar, logam, kaca hinggalah ke ukiran kayu, arca haruman lilin, kain, lukisan cat, semuanya ada di situ. Harganya juga jauh lebih murah, berbanding di pusat bandar.Ketika asyik melihat barangan tembikar, bahu saya terasa seperti di cuit orang. Bila menoleh, tidak ada sesiapapun di belakang yang ada cuma sebuah gerai menjual hiasan pelekat magnet. Lantas saya teringkat kepada seorang kenalan lama.Dia adalah pengumpul hiasan magnet. Sebagai penuntut di luar negara, mudah baginya membuat koleksi ketika mengunjungi negara-negara yang dilawatinya ketika cuti musim panas. Malah saya juga akhirnya terjerat dengan hobinya itu.Banyak yang saya beli ketika tugasan di luar negara, ada juga memesan dengan rakan-rakan. Semuanya menghiasi dinding peti ais di rumah. Bila melihat magnet ini, dengan sendirinya ingatan kepada negara yang dilawati menjelma. Ada pahit, ada manisnya.Magnet kenalan lama itu masih terlekat kemas, tidak berubah kedudukan, seperti mana kali pertama saya letaknya di situ. Begitulah kukuhnya ingatan saya terhadapnya.Masa berlalu menjarakkan kami berdua. Tidak ada khabar berita. Tiada pesanan ringkas.Suasana kaki bukit Acropolis semakin muram. Hanya yang meneranginya adalah pancaran lampu-lampu neon. Di hujung lorong gerai terakhir menghala keluar, baru tersedar, saya tidak beli apa-apa. Mahu berpatah balik, rakan sudah mengajak pulang.Lagipun teksi yang ditahan sudah terpacak di hadapan. Mahu tidak mahu, saya akur jua. Daripada dalam teksi, saya dapat melihat Acropolis yang semakin jauh ditinggalkan. Gagal juga saya menawannya

No comments: