Wednesday, January 16, 2008

Hujan emas di negeri sendiri


DIA tergesa-gesa keluar daripada Perkampungan Media. Entah apa yang dikejarnya saya tidak tahu. Dalam cuaca panas terik begini, lelaki ini tetap berpakaian kemas. Berkameja, kancing butang hingga ke leher.Mungkin orangnya kurang berpeluh, kata hati saya. Semalam habis lencun baju-t yang dipakai dek peluh.Bau janganlah cakap.Saya tidak ambil pusing akan lelaki itu. Teksi yang saya tunggu, masih belum satupun melintas. Saya perlu cepat ke Pusat Media (MPC).Tetapi langkah deras lelaki itu terhenti betul-betul di depan saya. Dia menoleh, memandang dan kemudian terus berjalan. Tiba-tiba dia berhenti lagi. Memusingkan badan kemudian menghampiri saya. Dia menepuk bahu saya sambil tersenyum melihatkan barisan gigi putihnya. Lagaknya seperti rakan lama yang baru kali pertama bersua.Dia bercakap dalam bahasa yang saya tidak faham. Yang saya dapat tangkap adalah “Bangla” di hujung ayatnya. Sah! lelaki ini mesti ingat saya orang Bangla.Pelik benar. Di Kuala Lumpur, banyak kali saya bersua dengan pekerja Bangladesh. Mereka ada di mana-mana saja tetapi tidak langsung mahu menyapa. Di Kota Athens ini, lain pula ceritanya.Lelaki ini kurang senang bila saya kata saya orang Malaysia. Dia tenung saya dari atas ke bawah seolah-olah tidak percaya.“Yes I’m Malaysian. Look at my tag”. Saya cuba yakinkan dia sambil menunjukkan tag Sukan Olimpik tertera nama, syarikat penerbitan dan negara - Malaysia.Lama dia melihat tag itu kemudian kembali tersenyum. Dia meminta maaf sambil menunjukkan tagnya pula. Manzoor, itulah nama yang tertera. Diapun ada tag Sukan Olimpik seperti saya tetapi bukan wartawan.Manzoor bertugas sebagai pekerja kantin di Kampus Universiti Athens, Perkampungan Media sempena Sukan Olimpik ini. Dia sudah enam tahun di sini meninggalkan anak isteri dan sanak saudara di kampung mengikut rakan-rakan mencari rezeki. Hujan emas bagi Manzoor adalah di negara orang.Kata lelaki berusia lewat 40-an ini, tidak ramai orang Bangladesh di Athens. Begitu juga India dan Pakistan. Yang adapun boleh dikira dengan jari.Malah selama beberapa hari, dia tercari-cari wartawan dari negaranya di sekitar Perkampungan Media. Mana tahu ada rezeki berjumpa. Malangnya dia hampa. Bukan apa, kata Manzoor, dia mahu mengetahui apa saja perkembangan berita di tanahair.Sekali lagi dia menggeleng kepala meminta maaf. Saya katakan memang saya ada darah India dari arwah datuk sebelah mak. Tetapi darah saya ini sudah banyak campurnya. Macam ABC (Air Batu Campur).Manzoor kemudian meminta diri sedangkan banyak lagi saya mahu bertanya. Sambil melangkah pergi, saya dapat dengar siulan kecilnya dari jauh. Mungkin lagu Bangladesh agaknya.Saya menarik nafas panjang. Memanjat syukur ke hadrat Allah SWT kerana tidak perlu merantau ke negara orang. Bukan mudah menjadi perantau. Sakit demam hanya harapkan ihsan kawan-kawan. Entahkan makan entahkan tidak. Entah dihambat atau diterima orang.Hujan emas saya tetap di negara sendiri.

No comments: