Wednesday, January 16, 2008

NANIKA ATTA NIPPON


BANDAR Sendai menyambut kehadiran saya dengan kedinginan yang menusuk hingga ke tulang. April rupanya bulan peralihan dari dingin ke musim panas dan ini bermakna tarikan bandar ini yang mendapat jolokan ‘City of Trees’ belum benar-benar terserlah. Bandar yang masih mengekalkan alam semulajadinya akan berubah-ubah wajah mengikut perubahan empat musimnya. Paling ditunggu-tunggu lebih sejuta penduduknya termasuk saya pelawat yang hanya datang menumpang, adalah musim bunganya yang jatuh Mei ini. Jika dibilang hari, saya mungkin tidak berpeluang merasai dan menikmati keindahan pokok Sakura berkembang dengan wangian yang cukup menyegarkan terutama bila bunga-bunganya berterbangan dibawa angin bagaikan salji pelbagai variasi warna putih dan merah jatuh ke permukaan bumi. Sepanjang musim ini, Sendai akan dimeriahkan lagi dengan perayaan kebudayaan Tanabata, Aoba dan festival neon. Perayaan kebudayaan Tanabata dan Aoba ini memperingati Date Masamune, pahlawan diraja ketika zaman pemerintahan Tokugawa yang mendirikan mercu tanda berupa Istana Sendai. Namun Sendai dan Sakuranya tidak menghampakan saya. Biarpun banyak pokok yang masih togel tidak berbunga dan berdaun sepanjang jalan menuju ke hotel penginapan di Honcho, Aoba-ku, ada juga beberapa pokok Sakura yang sudah menguntumkan bunganya. Begitu cantiknya Sakura ini seindah namanya yang menjadi kebanggaan rakyat Jepun. Hanya jika ada kamera di tangan, sudah tentu akan saya rakamkan. Namun untuk tempoh seminggu, Sendai akan menjadi gelanggang pusingan awal Piala Thomas dengan Malaysia tampil selaku pilihan kedua selepas juara bertahan, China untuk membawanya pulang. Besar harapan diletakkan ke bahu ketua jurulatih, Yap Kim Hock pada edisi kali ini selepas kali terakhir kita memenanginya 14 tahun lalu. Piala Thomas bagi sukan badminton adalah kemuncak kejohanan yang mengesahkan negara kuasa badminton dunia. Banyak pihak termasuk Kim Hock sendiri berasa peluang terbaik negara memenanginya adalah di bumi Matahari Terbit ini. Dengan prestasi pemain perseorangan, ditambah kemantapan pasangan beregunya menguatkan hujah ini. Saya benar-benar berharap Piala Thomas ini menjadi milik kita kerana selepas 14 tahun, saya diberi peluang sekali lagi membuat liputan kejohanan ini. Saya masih ingat suasana bergemuruh, tangisan kegembiraan di Stadium Negara ketika Foo Kok Keong, Rashid Sidek, Razif dan Jalani serta Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang menjulang Piala Thomas. Tarikh keramat itu jatuh pada bulan Mei. Tentu ramai yang tidak lupa peristiwa 13 Mei 1969 tetapi pada bulan yang sama 1992, anak-anak Malaysia pelbagai kaum berpesta, berpegangan tangan, berpelukan sambil menyanyikan lagu NegaraKu dalam nada nan satu. Inilah juga harapan saya dan juga jutaan peminat badminton di tanah air. Apa yang saya harapkan kegagalan yang melanda skuad hoki negara pada pusingan kelayakan Piala Dunia di China tidak terpercik di bandar Sendai dan Tokyo ini.
Azahar San
Terkejut lampu isyarat berkicau BURUNG apa yang berbunyi garang lewat kedinginan malam di tengah-tengah bandar Sendai ini. Sudah buang tabiat agaknya. Setahu saya burung yang berbunyi malam biasanya burung Hantu dan Pungguk. Tapi burung ini lain benar bunyinya. Entahkan sumbang kerana kesejukan atau takutkan sesuatu. Saya cuba mencari arah datangnya tetapi kemudian hilang. Saya meneruskan langkah perlahan melalui Atago-Kamisugi dori (dori bermaksud jalan raya) yang terpacak deretan pokok-pokok sederhana tinggi baru hendak tumbuh daunnya semula. Suasana malam cukup mendamaikan. Lalu lintasnya tidak sesibuk waktu siang. Saya hampir disondol dari belakang oleh seorang penunggang basikal, semalam. Saya tidak tahu laluan pejalan kaki berkongsi dengan penunggang basikal. Jadi kerana cuba bersopan agar tidak berlaga bahu dengan pejalan kaki dari arah depan, saya bergerak ke kiri dan kanan. Tanpa disedari, saya memasuki ruang kecil laluan basikal. Mujurlah penunggang basikal ini sempat membrek. Jika orang kita, mahu disumpahnya saya berbakul-bakul. Mata butalah, nak matilah, lembab macam perempuanlah. Tapi penunggang basikal itu merendahkan kepalanya tanda hormat dan meminta maaf. Dia tersenyum menampakkan rekahan lesung pipit di kedua-dua pipi. Manis dan berhemah gadis Jepun ini yang saya agak seorang penuntut kolej dengan beg sandang di belakangnya. Dia meneruskan kayuhan dan kemudian bayangnya hilang di celah-celah pejalan kaki lain. Saya belajar atas kejadian itu. Jika berjalan, harus pantas mengikut tempo mereka bergerak. Jika lambat cubalah toleh ke belakang. Anda akan lihat wajah-wajah cemas yang merenung anda dengan jelingan setajam pedang samurai. Jadi kita jangan menyusahkan mereka dan dalam waktu yang sama juga tidak menyeksakan kaki kita sendiri. Jadi untuk berjalan santai, malam adalah pilihan sesuai. Tidak perlu risau dilanggar basikal atau berlaga bahu. Seperti saya katakan tadi, tenang. Yang bergerak dalam keadaan lambat-lambat. Seperti sepasang kekasih di depan saya melangkah seiringan, berbisik sambil tertawa kecil. Saya tidak terasa cemas berjalan seorang diri. Kawasan di bahu jalan juga terang dengan pancaran neon dari lampu jalanan dan restoran makanan Jepun dan pub-pub yang menghidang sake. Ketika membelok ke kiri jalan, saya terdengar lagi suara burung tadi. Kali ini lebih kuat dan jelas. Arahnya bukan dari atas pokok bila saya mendongak ke atas. Mahu mengusik sayakah burung ini. Atau burung-burung di Jepun ini nakal-nakal semuanya. Saya mencari-cari juga datang suaranya. Semakin lama, semakin jelas. Akhirnya saya tergamam. Menggeleng kepala akan sesuatu yang tidak diduga. Rupanya apa yang saya cari datangnya daripada sebatang tiang lampu isyarat untuk pejalan kaki. Ia akan berkicau bila isyarat bertukar dari merah ke hijau. Bunyi burung menepati gelaran bandar Sendai ini sebagai City of Trees. Apa lagi bila tiba musim bunga penuh. Bandar ini akan ditutupi rimbunan pokok-pokok berdaun hijau, kuning dan merah dengan haruman bunga-bungaan segar beraneka jenis. Cuma nanti akan ada yang keliru antara bunyi burung asli dengan tiang lampu isyarat itu.

No comments: