Wednesday, January 16, 2008

Freddo Viareggio

VIAREGGIO menyambut dalam kedinginan yang bakal menguji kehadiranku untuk tempoh beberapa minggu akan datang. Suhunya antara sekitar 10 hingga 12 darjah Selsius dan akan jatuh lebih rendah lagi menjelang petang di bawah 9. Terletak dalam Wilayah Versilia, Viareggio adalah bandar peranginan persisiran pantai paling popular kunjungan pelancong dalam dan luar Itali setiap musim panas. Hadapannya pantai putih sepanjang 50 kilometer, manakala melindungnya dari belakang adalah banjaran indah Apuan. Aku meregangkan urat saraf yang kejang sebaik turun dari bas yang membawa rombongan skuad MIFA dalam perjalanan 400 kilometer dari Rome.Perjalanan melalui kawasan desa dengan pemandangan rumput hijau, ternakan lembu dan biri-biri, bukit nun di kaki langit serta sungai mengalir lesu, cukup mendamaikan mata memandang.Hati yang dari tadi kosong, terubat dengan keagungan yang Esa.Aku melangkah ke bangku kosong terletak di bahu pejalan kaki selepas urusan pendaftaran penginapan selesai. Melunjurkan kaki sambil menikmati suasana pemandangan baru ini.Tidak ramai yang lalu lalang. Yang ada, cuma beberapa warga tua melangkah perlahan berpimpin tangan bersama pasangan masing-masing. Cukup setianya mereka biar dalam usia yang semakin sampai ke penghujung.Beberapa anak kecil berlari berkejar-kejaran dan tidak kurang orang dewasa dengan hal masing-masing. Ada yang duduk membaca, berbasikal, berjogging dan tidak kurang seperti aku, duduk mengelamun.Mungkin suhu yang semakin menurun membuatkan penghuni kawasan ini lebih selesa berada dalam kehangatan di rumah. Malah bandar ini akan menyambut pesta keraian dalam waktu terdekat ini. Aku difahamkan ia adalah pesta yang menjadi ikon. Ia cukup ditunggu-tunggu.Karnival Viareggio sudah berusia 134 tahun, juga dikenali sebagai pesta tari menari dan perarakan pakaian tradisional. Bangku yang aku duduk ini adalah laluannya. Pada hari itu nanti setiap yang menyambutnya akan memakai topeng Burlamacco.Untuk apa topeng itu aku tak pasti. Namun dalam topeng itu tersembunyi rahsia pemakainya. Secara luaran, manusia punya pelbagai ragam, isi hati, rasa suka dan duka. Kejujuran dan kesetiaan melambangkan keagungan peribadi.Bangkit daripada kegagalan dan kekuatan yang tinggal separuh, adalah darjat membezakan yang lemah dan cekal. Aku cuba melihat diri aku dalam topeng itu. Siapakah aku, jujurkah aku.Kuatkah aku melalui hari ini, esok dan lusa.Atau apakah aku akan terus berlakon meneruskan perjalanan hidup ini bersendirian tanpa tongkat untuk menghalang dari rebah.Apakah aku layak memiliki keagungan peribadi dan darjat itu.Kedinginan semakin mencengkam ketika suhu terasa mula menurun. Jaket tebal yang disarung sudah telus dengan kesejukan angin pantai yang semakin kuat tiupannya.Dinginnya benar-benar sampai ke tulang.Jauh benar aku melayang hingga tak terasa bangku kayu ini seperti ais rasa sejuknya. Hari pertama aku di Viareggio berlalu pergi begitu sahaja. Jam di tangan menunjukkan tepat 11.45 malam waktu Malaysia. Aku masih belum menukarnya kepada waktu tempatan (3.45 petang) dalam selisih perbezaan masa 8 jam.Benarlah jarak dan waktu merubah segala-galanya. Aku harus melaluinya juga tanpa banyak bicara. Freddo Viareggio atau maksudnya `Dinginnya Viareggio' aku sudahkan dengan salam dari kejauhan.

No comments: