Wednesday, January 16, 2008

Kahapon Sa Maynila

HUJAN mulai turun minggu ini. Jika tidak pagi, petang atau menjelang senja. Ada yang suka perubahan cuaca ini kerana ia cukup mendamaikan, Suasana sekeliling pula sejuk dan menyegarkan.Rahmat tuhan.Namun bila hujan di kota metro Manila ini, apa lagi ketika temasya Sukan Sea baru menyingkap tirainya, ia sedikit sebanyak menghadirkan kesulitan. Bukan setakat atlit, petugas media seperti saya juga mula merasai kepayahannya.Jika atlit mengejar kilauan emas, wartawan pula menghambat masa biar terpaksa berdepan pelbagai halangan untuk mendapat liputan terbaik.Misinya sama, cuma berbeza di penghujung acara. Atlit akan mendapat imbuhan lumayan andainya memenangi pingat emas sedangkan wartawan kekal dengan pen dan buku notanya.Saya tidak bertujuan untuk mengadu, jauh lagi memperbesarkan masalah di sini. Namun inilah kisahnya.Seperti juga rakan-rakan lain daripada pelbagai penerbitan, hujan jika boleh, biar tidak turun, atau jika turun sekalipun, eloklah lewat subuh bila warganya masih nyenyak tidur.Manila pada mereka yang pernah sampai ke sini, tahu akan sistem lalu lintas dan kesesakannya. Masa banyak terbuang dalam perut teksi. Lebih menyeksakan bila hari hujan, apa lagi dalam suasana Sukan Sea ini. Perjalanan ke venue pertandingan yang sedekat 5km, biasanya memakan masa 30 ke 45 minit, bertambah kepada dua jam bila hujan. Itu belum lagi pemandu teksi yang banyak cakap, banyak pula
helah.Short cut, katanya. Masuk simpang sini, keluar jalan lain dan akhirnya haluan terbabas. Meter bertambah berkaliganda, venue rupanya di kawasan lain.Panas hati dibuatnya dan pemandu teksi itu mula garu kepala kebingungan. Lagaknya mengingatkan saya kepada seorang kenalan di tanahair. Biasalah permainan hidup.Saya tidak terlalu menyalahkan sistem lalu lintas di sini kerana itulah gaya hidup mereka. Tetapi jika kesulitan dicipta sendiri pihak penganjur, itu sesuatu yang tidak boleh dimaafkan. Ini bukan kali pertama Majlis Olimpik Filipina (OCF) menganjurkan temasya dwitahunan ini. Kali terakhir pada 1991. Mereka seharusnya tahu apa yang diperlukan pihak media. Jika tidak selesa sekalipun, sekurang-kurangnya biarlah perjalanannya lancar .Ruang kecil Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina yang dijadikan Pusat Utama Media (MPC) hanyalah satu-satunya tempat persinggahan media luar menyiapkan berita.Penganjur tidak langsung peka akan keperluan
membuka bilik mini media di setiap venue. Bila waktu puncak MPC akan menjadi tumpuan hampir seribu wartawan dan jurugambar. Jadi bayangkan keadaan dan suasana kami bekerja. Kadang-kadang terasa juga MPC ini lebih dikhaskan untuk wartawan tuan rumah sahaja. Separuh ruang bertugas menjadi kawasan larangan untuk media luar yang kemudiannya terpaksa pula berkongsi dengan rakan jurugambar.Tidak pernah sepanjang pengalaman bertugas dalam empat temasya dwi tahunan ini, saya berdepan penganjuran sebegini.Mana mungkin wartawan luar dipinggirkan, apa lagi terpaksa berkongsi ruang bekerja antara wartawan dan jurugambar.Pada saya, Filipina cuba berjimat dalam penganjuran kali ini. Tetapi dalam berjimat itu, janganlah menyulitkan tetamu media luar yang terpaksa juga berhadapan kesulitan lain.Saya sebenarnya belajar daripada kisah semalam apabila tiada ruang kosong untuk saya menyiapkan kerja. Kolum yang anda baca ini saya hasilkan di bawah pohon mangga rendang
dalam pengkalan tentera marin Filipina di Fort Bonifacio, Taguig, bersebelahan venue acara menembak.Saya ditemani rakan setugas dari Malay Mail, Mustapha Kamaruddin.

No comments: