Thursday, January 17, 2008

Sayakah yang silap?


BARANGKALI saya tersilap dengar bila ada yang memuji kehebatan Liga Super yang diperkenalkan musim lalu. Melalui liga baru yang menghimpunkan lapan pasukan elit, terbaik antara terbaik, akan menjurus kepada peningkatan mutu bola sepak dan kualiti pemain kita. Indahnya bahasa bila memuji. Umpama manisnya bila tersenyum dan bertentang mata. Berat mulut untuk menyapa. Cuma yang sumbangnya bila pujian itu tidak beralas. Tiada fakta untuk menyokong. Lihat sahaja Pahang. Juara Liga Super 2004. Gahnya merai kejayaan seperti lagaknya sudah menjulang Piala Dunia. Sayang sekali hebatnya Pahang bagai embun di hujung daun. Tidak kekal,tiada berbekas. Soalnya, bagaimana pasukan terbaik Malaysia ini boleh tersingkir lebih awal dalam saingan Piala FA 2005 kepada wakil Liga Perdana, Selangor daripada kelompok pasukan kelas dua. Tidak lucukah? Itu belum lagi cerita kegagalan mereka di kempen Piala AFC. Diikat oleh sebuah kelab dari Maldives, yang barisan pemain majoritinya ke laut sebagai nelayan. Bola sepak hanyalah sebagai sambilan. Saya suka mengambil contoh Pahang bukan kerana Presiden dan TimbalanPresidennya dari Pahang. Tetapi lebih kepada penampilan pasukan itu sendiri yang dilabelkan sebagai 'Real Madrid' Malaysia. Dengan 'kuasa wang' yang ada, Pahang berjaya memiliki majoriti pemain dan bekas pemain skuad kebangsaan, ditambah sentuhan idola ramai, Zainal Abidin Hassan selaku pengendali pasukan. Berdasarkan apa yang dimiliki Pahang, mereka pada bila-bila masa boleh mengambilalih peranan skuad kebangsaan. Boleh bertukar jersi padabila-bila masa. Tetapi masalahnya, Pahang dan skuad kebangsaan serupa sahaja. Segunung janji diberi, dua gunung dikhianati. Saya tidak menepuk dahi bila mengetahui kekalahan kedua Malaysia kepada Singapura di Stadium Bandaraya, kelmarin. Untuk apa dahi saya sakit dengan tindakan yang tidak berbaloi. Saya cukup masak dengan cerita skuad kebangsaan, juga hubungan dingin dengan pegawai-pegawai di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Tidak kurang juga dengan beberapa primadona di tengah padang. Tulisan saya dikatakan melampau. Tidak patriotik. Mendoakan Malaysia kalah agar menjadi modal untuk saya menghentam FAM. Begitulah label yang diberikan kepada saya. Cuma saya terkilan, tiada seorang pun yang mahu bertanya mengapa saya memilih untuk mengkritik. Apa faedahnya menjadi penulis yang dibenci. Saya tidak mahu ulas tindakan Bertalan Bicskei yang meluru ke padang menolak pemain Singapura, Razaleigh Khaik. Memalukan Malaysia. Mujur perlawanan itu di Pulau Pinang, bukan di Singapura. Saya rasa mungkin dia tidak akan selamat melepasi garisan sempadan Tambak Johor. Jurulatih apa yang telah memanggil lebih 50 pemain sejak mengambilalih tugas, tetapi sehingga hari ini masih gagal membentuk struktur tetap skuad kebangsaan. Kebetulan kolum ini saya tulis ketika Datuk Seri Dr Ibrahim Saad,Setiausaha Agung baru FAM, menjadi tetamu rancangan Scoreboard, TV3. Saya hanya tersenyum mendengar pandangan, pendapat dan jawapannya kepada soalan-soalan pemanggil. Akhir sekali saya mahu buat sedikit perbandingan. Lihatlah laporan-laporan yang ditulis mengenai FAM dan skuad kebangsaan sekarang, kebanyakannya berbentuk positif, bukan? Apakah tulisan seumpama ini banyak membantu menghasilkan sebuah pasukan kebangsaan yang benar-benar kebal?

No comments: