Thursday, January 17, 2008

Aku buntu


Olympic athens 2004
This picture was taken at the apartment we rented throughout the Games. It belonged to the Morous. Front row (from left) Khalid Redza, Rizal Hashiml, Tham Foo Kan. (Back) from left to right, me, Badrul or Buddy and cigar-smoking Rokk who must have been thinking he was the best looking dude of the crew. The Jalur Gemilang was left behind as a token of appreciation to the Morous.


LAMA aku tenung layar komputer riba ini. Putih kosong. Cuba menyusun ayat tetapi semuanya tidak kena pada apa yang mahu disampaikan. Maksudnya lari. Aku padam lagi. Kemudian bentuk ayat baru,padam lagi. Entah kenapa idea tidak muncul-muncul untuk kolum ini.

Aku melihat sekeliling.Suasana dewan bertugas Pusat Media Utama (MPC) seperti biasa, sibuk. Disinilah berkumpulnya rakan-rakan media daripada pelbagai agensi dan syarikat penerbitan bertugas.

Mereka juga seperti aku sibuk menyiapkan laporan dan ulasan berita secepat dan setepat mungkin. Di sebelah kanan aku, seorang wartawan dari Uruguay. Dari tadi wajahnya tunduk. Tidak bergerak. Jari lancar mengetuk keyboard. Dunianya ketika itu adalah apa yang ada di depan mata. Tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling. Dia juga tidak perasan aku memerhatinya dari tadi.

Dia menarik nafas panjang kemudian mengangkat muka. Menoleh memandang aku.Kami berbalas senyuman. Manis juga gadis berambut perang bermata biru ini. Tidak ada reaksi mahu memulakan perbualan. Dia kemudian tunduk menghadap komputernya semula. Aku mengeluh panjang.

Kiri aku pula kosong. Daripada tadi tiada penghuni. Yang tinggal hanyalah komputer riba dan nota sahaja. Siapa gerangannya, aku tidak tahu.

Barangkali kebuntuan ini berpunca kerana kecewa. Kecewa kerana mungkin aku tidak berkesempatan lagi melakarkan kegembiraan atlit negara meraih pingat Sukan Olimpik.
Bila gagalnya Wong Choong Hann serta rakan-rakan lain di Dewan Olimpik Goudi, musnahlah impian aku merasai kemanisan Olimpik.

Peluang bertugas di temasya sukan tertua dunia ini biasanya hanya datang sekali. Sekali sepanjang karier seorang wartawan sukan. Olimpik adalah kemuncak kepada segala-galanya. Kerana itu harga Olimpik terlalu mahal.

Barangkali, aku tidak beruntung seperti rakan setugas terdahulu. Bagaimana mereka merasai sendiri kejayaan Razif, Jalani dan Rashid Sidek, Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang merai kejayaan. Leher mereka tersemat medal perak dan gangsa yang tergantung dekat dengan hati masing-masing.

Hati yang tidak takut mati, tidak gentar hadapi tentangan. Alangkah bertuahnya mereka kerana merasai debaran cemas pertarungan, menungggu mata penamat dan sama-sama melonjak kegembiraan bila kemenangan sudah dalam genggaman. Kemudian menceritakan semua itu dalam kolum masing-masing.

Apa lagi yang tinggal buat aku di sini.

Gadis Uruguay sudah lama beredar. Mungkin tugasannya sudah selesai untuk hari ini. Perginya tidak langsung aku sedar.

Argghhh... Aku tidak boleh mengarang. Aku perlu keluar daripada dewan ini mencari semula ilham yang hilang. Mematikan laptop, memasukkannya ke dalam beg sandang dan terus melangkah keluar.

Angin sejuk menyapa di luar terasa sampai ke tulang. Aku mendongak dan melihat kaki langit Athens mulai merah. Matahari sudah hampir terbenam

Senja di Athens cukup indah sekali.

1 comment:

NBB said...

apsal tak ngorat gadis berambut perang tu. untung untung boleh bawak balik malaysia...