Wednesday, January 16, 2008

Hanya alasan


SPAGHETTI, makaroni, pizza dan pasta itulah makanan rugi aku di sini. Sejak hari pertama lagi, aku disajikan dengan makanan Italiano yang pastinya rasa, baru dan cara sajiannya lebih asli.Namanya pula pelik-pelik yang tak pernah aku dengar sebelum ini. Entah, aku bukan tahu semua pasal makanan. Apa yang dihidang, itulah yang aku makan. Cerewet, tak juga. Tapi dalam beberapa hari di Viareggio ini, aku sudah mula pandai memilih. Itu belum sarapan lagi dengan keju, krim susu dan pasteri.Bila dihitung jumlah kalori apa yang aku makan dari pagi, tengah hari hingga ke lewat malam, semuanya sah menggemukkan. Ke mana hilangnya tekad yang aku bawa dari rumah untuk menguruskan badan. Semuanya gugur dalam kesejukan yang cepat membuat perut ku kembali lapar. Bila mengadap cermin, malunya teramat sangat.Buruk benar rupanya. Perut ini selalu mengurangkan saham aku di khalayak ramai. Kadang-kadang aku sengaja menahan nafas cuba mengempis perut bila berdekatan dengan sekumpulan kaum hawa.Tapi selama mana aku sanggup bertahan akhirnya terbongkar juga apa yang disembunyikan. Sendat rasa kemeja yang dipakai. Untuk menyesal dengan tubuh kembang ini, rasanya sudah terlewat.Alangkah baiknya jika aku sedikit berdisiplin soal makan dulu. Mengurangkan makanan berminyak, melebihkan sayur dan serat.Minum banyak air mati dan susu tanpa lemak. Tapi darah Malbari dalam tubuh aku ini mana boleh terima itu semua. Masakan berempah, berdal dan berlada pilihan utama, teh tarik susu lembu pula minuman rasmi setiap hari. Pagi, tengah hari, petang, hingga bawa ke malam, semua teh tarik mamak. Roti canai janganlah cakap.Setakat dua keping itu belum tentu boleh sendawa kekenyangan. Kerana ketagihan teh tarik ini , aku dan beberapa pegawai MIFA sanggup meredah kedinginan bandar Viraggio mencarinya.Tak dapat teh tarik, teh masala pun jadilah.Namun pencarian restoren India sehingga hari ini tetap gagal dengan kami akhirnya menghirup kopi latte, espresso dan cappucino.Mujur juga aku ini bukan penggemar minuman berkabornat yang tinggi kandungan gulanya.Jika tidak, lagilah bertambah kembang. Habis ikhtiar aku mencari cara mudah menguruskan badan. Telah banyak produk pelangsing badan ku cuba. Dan harganya janganlah cakap, bukan seringgit dua. Dari pil berbentuk kapsul kepada tepung susu hinggalah uncang teh pahit yang kerap membuat aku bergegas ke tandas. Semuanya tidak membawa sebarang kesan. Malah makin banyak aku telan, makin berselera pula jadinya. Mahu tak mahu, hanya jogging jawapannya. Percuma pula itu. Cakap memanglah mudah, untuk melakukannya belum tentu lagi. Seperti leteran mak setiap kali pulang ke kampung. Solat itu wajib dan mudah menunaikannya.Senang dan cepat. Paling lamapun, lima minit di atas sejadah. Tetapi yang mudah itulah datangnya payah.Dan aku selalu cuai, gemar melewat-lewatkannya dengan pelbagai alasan. Kerana itu, manusia ini kena kerap diperingatkan agar tidak lupa dan terbabas haluan. Aku salah seorang daripadanya. Sambil menyandar, aku hanya memerhatikan kasut dan seluar trek yang masih tersimpan kemas dalam beg.Dari sehari ke sehari mahu mengeluarkannya tapi kemudian, mudah saja aku batalkannya. Lagipun cuaca di luar tidak mengizinkan. Terlalu sejuk dan sekarang masuk hari kedua hujan turun di sini. Tunggulah bila cuaca baik sedikit esok. Alasan lagi.

No comments: