Wednesday, January 16, 2008

Aku & hujan



HUJAN membawa pengertian cukup dalam. Ada yang mengaitkannya dengan rahmat, juga cengkaman rindu dalam bercinta dan sesetengahnya menyifatkan hujan sebagai lambang kedukaan.Begitulah hujan anugerah Maha Esa. Turun lembut, mendamaikan dan indah . Bila dinihari, debu-debu air itu akan membentuk jaluran tujuh warna pelangi.Aku paling gemari ketika waktu-waktu ini. Ia menggamit pelbagai kenangan silam zaman kanak-kanak, remaja dan alam dewasa ku yang selalu tidak menentu.Kadang-kadang aku sendiri tidak mengenali siapa diri ku lagi. Aku melalui frasa-frasa usia yang seharusnya sudah cukup mematangkan. Menyedari cukuplah apa yang ku kejar selama ini. Berhenti bila tiba waktunya, bukan bila keadaan memaksa. Namun aku masih berdegil tanpa hirau dilambung ombak. Aku cuba melawan takdir, tapi siapalah aku pada kekuasaanNya.Dalam perubahan cuaca begini, aku rasa ketenangan. Ada yang meneman.Langit mendung runtuh di bandar Viagerrio hari ini . Hujan pertama di musim bunga ini. Turunnya tidak pula kasar, juga tanpa petir dan guruh.Dari jendela bilik ini, aku lihat ramai yang berpayung. Ada yang berlari anak mencari tempat berteduh. Aku harus ke sana merasainya.Aku perlu meninggalkan bilik empat segi ini yang kelam dan cukup merimaskan.Mencapai payung di pintu hotel, aku melangkah keluar. Menadahkan muka agar dibasahi air lembut dingin. Ini hujan Itali bukan Kuala Lumpur penuh berasid. Memang buang tabiat tapi aku seronok melakukannya.Lagipun bukan selalu dapat buat begini di tempat orang.Payung ku buka dan aku mengambil jalan Viale Pistelli ke arah barat. Menurut langkah kaki ke mana sahaja. Air terpercik di kaki seluar, aku biarkan.Lopak air kecil sengaja aku harung dan kadang-kadang menguis-guisnya dengan kaki.Aku tidak ubah seperti anak kecil.Bunga-bunga berdaun kecil merah, unggu dan kuning seperti menari-nari dipukul angin.Pokok-pokok ini tumbuh liar di sepanjang jalan dan bukan sengaja ditanam.Mungkin kerana hujan, penghuni bandar Viareggio lewat keluar rumah. Jadinya, lalu lintas agak lenggang. Aku bebas melintas dari satu simpang ke jalan yang lain. Rumah-rumah yang ku lihat semua sebentuk dengan sedikit halaman di depan.Pokok epal dan anggur masih botak belum berdaun. Aku masih ingat sewaktu di Munich, Jerman, beberapa tahun lalu. Ketika melalui sebuah rumah kediaman, pokok epal hijaunya lebat berbuah.Aku meninjau-ninjau dari luar pagar jika tuan rumah ada berdekatan. Sesusuk tubuh besar lelaki berkaca mata menjenguk dari tingkap sebelah dapur.Aku menunjukkan epal-epal itu dan dia kemudian sambil tersenyum memberi keizinan.Bukan dua biji yang aku petik tapi empat. Memang rangup bila digigit tapi rasanya masam teramat sangat.Benarlah kata perpatah, jangan mudah tertipu pada kecantikan luaran, pandanglah pada hati budinya.Berhati-hatilah.Angin kuat tiba-tiba bertiup kencang. Hampr terlucut kai payung yang ku pegang dek tangan yang sudah kebas kesejukan. Aku ambil keputusan untuk singgah di sebuah kafe kaki lima dengan jarak hanya 50 meter sahaja. Cattan Pasticceria Propria namanya.Ramai juga pengunjung sedang bersarapan. Sebaik aku masuk, banyak mata memerhatikan. Seorang lelaki Melayu, berjaket cokelat, basah kasut dan kaki seluarnya menggigil kesejukan.Aku memesan secawan cappucino dan sebutir croissant berharga 1.5 euro. Harga kopi Itali berbuih dan berkrim putih susu ini terlalu murah jika dibandingkan di Mid-Valley atau Bintang Walk. Malah rasanya lebih segar dan asli. Sengaja aku menarik bangku yang mengadap jalanraya.Diluar hujan masih belum mahu reda dan aku masih lagi dengan secawan cappucino yang tinggal separuh.

No comments: