Wednesday, January 16, 2008

Selamat tinggal Tokyo


ANGIN sejuk menyapa wajah sebaik keluar daripada pintu utama Gimnasium Metropolitan Tokyo. Mungkin tanda hujan akan turun petang ini. Begitulah cuaca di bandar Metro ini. Sukar diramal. Langit cerah sebelah pagi, kemudian bertukar mendung dan akhirnya hujan. Namun hujan di sini tidak lebat. Kadang-kadang gerimis, ada kalanya turun seperti debu air. Saya menarik zip baju panas hingga ke leher. Rakan-rakan lain semuanya sudah pulang awal kerana punya agenda sendiri. Malas rasanya menaiki teksi, jadi saya ambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja. Jika penat berhenti, jika lelah tahan teksi. Mudah saya buat keputusan. Ramai juga warga Tokyo lewat senja begini. Masing-masing pantas bergerak. Ada yang solo, berdua tidak kurang yang berkumpulan ala-ala Mat Rock, Mat Trash, Mat Punk dengan bertindik atas bawah, kiri dan kanan. Pakaian mereka pula singkat dan sendat- sendat. Berambut pelangi tajam-tajam dengan berjalan ala goyang itik pulang petang. Fikiran saya kosong. Cabaran skuad badminton negara sudah beberapa hari berakhir. Empat belas tahun lamanya saya menunggu dan bila diberi peluang kedua membuat liputan kejohanan ini di bumi Jepun, kita gagal. Saya tidak hiraukan keadaan sekeliling dan hanya terus berjalan. Dari satu jalan saya melintas, ke satu jalan lain. Kadang-kadang terasa bahu berlaga tetapi saya tidak kuasa untuk menoleh siapa yang saya langgar. Di Tokyo ini, tidak akan ada siapa yang akan mencekak kolar baju anda. Berlaga bahu biasa di sini. Langgar sana, langgar sini, tiada siapa yang akan marah. Tiada siapa akan meminta maaf. Jauh bezanya dengan masyarakat di bandar Sendai. Sentiasa tunduk hormat, senyum meleret manis dan bila berjalan, masih teratur lurusnya. Bila berada di tengah-tengah hutan batu Tokyo ini, saya mula merindui suasana hijau Sendai dengan kesegaran udara dingin dan haruman bunga Sakura, Ceri dan deretan pokok-pokok Ginko berdaun kuning keemasan. Saya menghampiri sebuah mesin minuman dalam tin bila terasa harus. Syiling 100 Yen tiga keping saya masukkan dan keluarlah setin air kopi panas berharga RM10. Saya duduk di sebuah bangku kecil di bawah sebatang pokok, melepaskan lelah. Daripada peta kecil yang selalu saya bawa, saya berada di Yasukuni Dori, kira-kira 8km ke hotel penginapan. Jauh lagi. Panorama malam menarik sekali. Hutan batu bertukar wajah dengan kerlipan neon, nun jauh di hujung sana. Menara Mines milik syarikat telekomunikasi terbesar Jepun, Do Co Mo kelihatan cantik dari kejauhan. Inilah malam terakhir saya di sini. Esok saya harus berangkat pulang meninggalkan perasaan antara sebak dan girang. Hampir dua minggu saya meminjam bumi dan menghirup udara Jepun ini. Merasai keindahan serta kemajuan teknologinya. Melihat dua budaya hidup berbeza antara Sendai dan Tokyo. Debu air mula turun dari langit Tokyo. Jatuh lembut mengingatkan saya untuk meneruskan langkah pulang 8km lagi. Berdiri di gigi jalan, saya mengangkat tangan dan sebuah teksi berhenti membuka pintu belakang. Saya masuk ke dalam perutnya, tidak tegar lagi untuk mengharungi perjalanan yang panjang. Malam di Tokyo saya tinggalkan dengan senyum. Sayonara.

No comments: