Wednesday, January 16, 2008

CATHY, KITA JUMPA LAGI




DUA tahun dulu di Manchester, England, saya terserempak dengan pemenang pingat emas Olimpik acara 400 meter, Cathy Freeman.Nama sebenarnya ialah Catherine Astrid Salome Freeman dari Queensland. Pernah melarikan diri ketika berusia 17 tahun akibat kehancuran keluarga. Terbabit dengan gejala negatif dan tidak bermoral seperti merokok, seks bebas serta ketagihan alkohol.Di Sydney 2000, Cathy menjadi atlit pribumi pertama Australia memenangi pingat emas Olimpik. Menjadi idola dan kebanggaan kaumnya sehingga ke hari ini.Saya terserempak beliau sewaktu mencari kelibat atlit negara di kawasan zon antarabangsa Perkampungan Sukan Komanwel.Cathy berjalan sambil menyandang beg dan tuala di lehernya. Saya kira dia baru pulang daripada menjalani latihan.Dia berhenti bila ada yang meminta tandatangan, tidak kurang juga mahu merakamkan gambar bersama, baik dari kalangan atlit sendiri, petugas media dan sukarelawan di situ.Sifat yang ditunjuk Cathy memancarkan keperibadiannya sendiri. Seorang yang peramah, mudah dihampiri dan tidak sombong dengan reputasi selaku atlit dunia.Ekor mata saya setia mengekori gerak gerinya hinggalah tiba pada ketika langkahnya menuju tepat ke arah saya.Dada saya berdebar. Jantung berdegup kencang. Semakin dekat, semakin kuatlah debarannya.Saya tidak tahu apa hendak buat. Otak buntu dan fikiran bercelaru. Perlukah saya menegur atau mewawancaranya? Saya tidak boleh buat keputusan tepat.“Hi”. Pantas Cathy menegur sambil tersenyum. Terkebil-kebil mata saya dibuatnya antara terkejut dan tidak percaya.Ke manakah suara saya menghilang? Saya menjadi bisu. Diteran tidak juga keluar, tersekat di halkum. Apa yang saya balas hanya tersenyum dan menganggukkan kepala.Cathy berlalu pergi dan terus hilang. Saya menyumpah diri sendiri. Kebodohan yang tidak boleh dimaafkan sama sekali.Patutnya saya gunakan peluang itu untuk mewawancaranya. Atau sekurang-kurangnya meminta tandatangan dan bergambar sebagai tanda kenangan. Paling tidak membalas “hi” kepadanya.Semalam peluang kedua datang lagi. Kali ini di Athens. Tetapi Cathy bukan datang sebagai atlit, sebaliknya sebahagian daripada keluarga media. Berusia 31 tahun dan telah mengumumkan persaraan tahun lalu.Dia bertugas dengan sebuah stesen televisyen Australia sebagai pengulas sukan, selain memberi khidmat motivasi kepada atlit.Seperti di Manchester, saya juga tidak berpeluang menghampirinya kerana ketika itu berada dalam teksi untuk ke Dewan Olimpik Gimnastik. Saya hanya dapat melihatnya daripada cermin.Cathy seperti dulu, masih manis. Berpakaian blaus dan skirt hijau sedang mengulas sesuatu di hadapan kamera berlatar belakangkan arca atlit sedang berlari diperbuat daripada kepingan kaca hijau rekaan Varotsos. Entah bila lagi saya berpeluang menemuinya.

No comments: