Thursday, January 17, 2008

Langit Athens


LANGIT Athens kembali tenang. Tidak lagi bercahaya dipanah bunga-bunga api yang mencorakkan panaroma indah. Stadium Olimpik juga sudah lenggang.Semua sudah pulang. Obor Olimpik juga telah padam dan akan dinyala semula empat tahun lagi di Beijing, China 2008.

Berakhirlah sudah Sukan Olimpik Musim Panas edisi ke-22. Tamatlah juga tugasan ku di sini. Selama tiga minggu bandar purba ini menemani aku dalam waktu senang dan susah. Ceria dan suram.

Tempoh itu jugalah aku mengenali dari dekat kota bersejarah ini dan orang-orangnya.

Acropolis akan tetap kekal dan dikenang sebagai puncak kebanggaan rakyat Greek. Dan ribuan pengunjung sebelum dan selepas aku akan membawa pulang kenangan terindah.

Palladino, lelaki tua yang merasuah buah tembikai sebagai penutup mulut dosanya, melambaikan tangan setiap kali aku melintas di depan gerainya selepas tragedi selipar melayang itu.

Isteri tuan punya pangsapuri tempat aku menginap, akhir-akhir ini juga kerap memberikan buah tangan. Kami hanya sedar bila pulang, terhidang semangkuk besar buah anggur dan zaitun segar di atas meja. Semalam pula kek, biskut, roti dan pai epal.

Baik benar budi ibu kepada dua anak gadis ini - seorang doktor pelatih, lagi satu akauntan.

Semalam juga, aku berjaya akhirnya menjejakkan kaki di puncak Acropolis selepas beberapa kali gagal melakukannya.

Di sinilah letaknya Erechtheum dengan kehebatan Caryatidsnya, biara dewa Athena Nike dan Propyleae yang dibina pada 432 dan 437 Sebelum Masihi (SM) hasil seni tangan Mnesicles.

Puncak Parthenon ini aku tawan penuh kekaguman, biarpun melepaskan lelah hampir setengah jam. Dari arah barat, tiupan anginnya agak keras. Aku menyentuh salah satu daripada lapan tiang sasa di depan dan 17 lagi di tepinya. Ia agak sejuk kerana diperbuat daripada batu mamar padu yang dikorek dari perut Gunung Penteli.

Dari cerita sejarah, tiang-tiang ini begitu kukuh tanpa rebah ke bumi biarpun dentuman kuat berlaku dalam peperangan antara tentera Greek dengan angkatan hebat Parsi. Parthenon ketika itu menjadi gudang simpanan bahan letupan tentera Parsi. Tentera Greek akhirnya ditewaskan di Marathon.

Di kaki Acropolis, antara Plaka, Monastiraki, Syntagma dan Omonia adalah kawasan bazar perniagaan paling popular destinasi pelancong.

Jika bernasib baik, batu-batu asli puncak Parthenon boleh didapati daripada penjual yang tidak akan melayan kaki tawar menawar. Nilainya cukup tinggi.

Puncak inilah paksi Athens yang meraikan pulangnya Sukan Olimpik selepas 3,000 tahun diraikan di tempat orang.

Bila menurun Acropolis, aku sempat mematahkan beberapa ranting pokok zaitun. Daunnya inilah yang menjadi lilitan kepala pemenang pingat Sukan Olimpik Athens. Sudah tentu daun ini akan aku bawa pulang. Sekalipun akan kering, ia akan menjadi tanda ingatan pada bumi Athens dan Sukan Olimpiknya.

Samalah juga keringnya rumput padang Anfield, milik kelab Liverpool yang aku cabut tanpa pengetahuan marshall stadium sewaktu kunjungan lewat 1995 dulu.

1 comment:

Under Water Coconut said...

Thank you such an informative post. Emperor Clubs is an Online Casino in Malaysia that offers more than just casino games. Highest quality of Sportsbook Malaysia with excellent graphics that really can help reduce stress, have fun as well as refreshing your mind.