Wednesday, January 16, 2008

Kewartawanan - satu kesilapan?



AWAL pagi lagi saya sudah terpacak di Sports Pavillion, Faliro, bandar tepi laut, kira-kira 22.8km dari Pusat Media Utama. Wajah sembab kerana tidak cukup tidur kembali segar bila dipukul angin laut. Sekawan burung camar terbang rendah di atas kepala lalu hinggap di tiang kapal-kapal kecil mewah yang berlabuh. Begitu cantik panorama depan mata dengan bandar Faliro di gigi air membelakangkan kaki banjaran Goudi.Elaine Teo akan bertarung kira-kira jam 9.00 pagi, sedangkan jam di tangan 8.15 pagi. Masih banyak masa lagi. Saya menyandar di bangku kosong, mengadap laut. Meluruskan kaki, agar urat yang tegang menjadi sedikit kendur. Terlalu banyak saya berjalan, sejak tiba di Athens, 8 Ogos lalu.Dengan cuaca panas melampau, kulit hitam manis, tinggal hitam. Manisnya sudah hilang.Kadang-kadang terfikir kenapa karier kewartawanan yang saya pilih? Kenapa tidak pekerjaan lain yang bermula 9 pagi dan pulang tepat jam 5 petang. Tidak perlu berpanas dan berhujan. Tidak perlu kerap berjauhan dengan orang tersayang.Wartawan - selalu disebut sebagai penyampai maklumat. Kalau baik, baiklah, kalau sedih sedihlah. Tidak ada istilah maklumat jahat. Tidak ada berita jahat.Tetapi selalunya bila berita kurang disenangi, orang akan menganggap wartawan jahat, media jahat. Gemar menulis berita sensasi agar laku suratkhabar. Tetapi pernahkah terfikir bagaimana cara wartawan bekerja?Tidak sedikit wartawan terbunuh di medan perang, mati dihujung senjata kerana dendam dan hilang ingatan kerana ugutan. Semua ini untuk senaskah akhbar yang sedang anda baca ketika sarapan. Dalam konteks sukan pula, tidak ada wartawan mahu membunuh karier seseorang atlit, melainkan mahu melihat kejayaannya. Bila atlit itu menjadi ternama dan kaya raya, wartawan akan tetap dengan pen dan buku notanya. Seperti saya inilah. Harapkan harta dan rupa, jauh sekali. Kelmarin saya mendapat e-mel komen seorang pembaca. Dia menyalahkan media Malaysia kerana mengganggu Nazmizan Muhammad, menghentam kegagalan skuad badminton negara. Olimpik bukan datang dua bulan sekali atau dua tahun sekali. Ia adalah temasya empat tahun sekali, paling unggul dan tertua dengan penyertaan atlit seluruh dunia. Olimpik juga adalah pentas mencipta nama dan menjadi kaya raya. Legenda tinju, Muhammad Ali lahir di gelanggang Olimpik. Begitu juga Sir Steve Redgrave, Jesse Owen, Nadia Comaneci, Mark Spitz kepada Ben Johnson, Carl Lewis, Michael Jordon dan hari ini Ian Thrope, Maurice Greene, Marion Jones serta ramai lagi. Kerana itu Olimpik bukan lagi tempat untuk bermain-main atau mencari pengalaman. Di sinilah himpunnya semua atlit terbaik dunia bersaing mengejar kesempurnaan. Benar, saya turut mengkritik kegagalan skuad badminton, Lim Keng Liat dan menegur sikap Nazmizan. Saya kecewa dan sedih dengan kegagalan itu. Apa yang dipamerkan terlalu mengecewakan. Mereka bukan sahaja jauh tertinggal, malah gagal mengatasi catatan peribadi masing-masing. Pemain badminton kita berada dalam ranking terbaik dunia. Keng Liat pula bertahun-tahun berlatih di luar negara. Apakah kita kata “tak apa” atas kegagalan ini? Wartawan hanyalah karier tetapi saya juga manusia biasa dan rakyat Malaysia. Dalam menjalankan tugas mengejar waktu, berlari ke sana-sini, bermandi peluh, berembun pagi hingga seharian tidak menjamah makanan, kami berdoa akan kejayaan atlit negara. Kisah Josiah Ng kami tidak paparkan semuanya. Bagaimana dia menangis seperti budak kecil apabila dua jurulatihnya bertelagah, meninggalkan dia keseorangan. Saya bersama-sama Badrulhisham Othman (Berita Harian), Lazaros Rokk (NST) Rizal Hashim (Malay Mail), Raj (Star), Khalid Saad (Utusan) dan Hamdan Said (Bernama) menenangkan dia, mententeramkan dia, menyalakan terus api semangat dan memacak semula keyakinan agar dia meneruskan acara kegemarannya, keirin. Saya perlu namakan semua rakan setugas ini. Ketika itu kami bukan lagi wartawan tetapi rakyat Malaysia yang mahu atlit negara terus berjuang, tidak mudah mengaku kalah. Hasilnya, Josiah layak ke final. Biarpun gagal meraih pingat, saya bangga kerana atlit Malaysia berada dalam kelompok enam pelumba terbaik dunia. Kerana semua inilah, saya masih bertahan sebagai seorang wartawan. Bidang ini mengajar saya menjadi lebih dewasa dalam hidup.

No comments: