Wednesday, January 16, 2008

Orang Durian Tunggal


MASJID An-Naim terletak cukup strategik di kaki anak bukit.
Mata tidak akan terlepas apabila melintasi pekan Durian Tunggal, Melaka menuju ke arah Macap Umboh, Selandar atau ke Alor Gajah.Ya saya orang Durian Tunggal dan inilah masjid saya. Sewaktu kecil, kawasan lapang di seberang jalan, adalah kawasan permainan saya. Bila orang kampung tidak lagi mengerjakan sawah, kami merobohkan batas untuk dijadikan padang bola.
Batang buluh dijadikan tiang gol. Tidak ada garisan bola keluar. Asal bola tak terjunam ke sungai, permainan diteruskan. Di situlah juga kami menentang kampung-kampung bersebelahan. Memang seronok.
Hari ini padang itu sudah tiada. Kawasan sawah lapang itu sudah ditambak untuk dijadikan kawasan perumahan awam. Namun Masjid An-Naim masih terpacak di kaki bukit. Fizikal bangunannya tetap sama. Tak berubah.Pagi Syawal lalu, saya mengunjungi masjid ini lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Keadaan masih seperti dulu. Khemah masih tetap dipasang di perkarangan luar masjid untuk menampung warga perantau Durian Tunggal yang kembali bercuti.Itu belum lagi solat Jumaat ketika sesi persekolahan. Masjid ini turut menerima para pelajar Kolej Yayasan Saad.
Sayang sekali dalam kepesatan pembangunan Durian Tunggal yang bertaraf Dewan Undangan Negeri (DUN), masjidnya seperti itulah.
Seingat saya, bentuknya tidak berubah, luasnya pula tidak bertambah tetapi wakil rakyatnya sudah bertukar-tukar.
Berdasarkan statistik Pilihanraya Umum 2004, DUN Durian Tunggal >mempunyai 81,023 pengundi, 68.3 peratus adalah pengundi Melayu Islam. Datuk Hamdin Abdollah (UMNO-BN) menang mudah dengan majoriti besar.
Kebetulan beliau turut mengerjakan solat sunat hari raya pagi itu dan telah dimaklumkan oleh pengerusi masjid akan keadaan Masjid An-Naim yang perlu diberi perhatian.
Saya harap sangat janji Datuk Hamdin untuk pembesaran masjid di >hadapan kalangan jemaah dilaksanakan. Janganlah akhirnya hanya cakap-cakap politik sahaja. Tak baik. Lagipun itu rumah Allah.Apapun saya tidak nampak di mana terlepasnya Masjid An-Naim ini yang khariahnya meliputi Kampung Padang Keladi, Bukit Balai, Pulau, Padang Kerbau, Bukit Tambun dan Batu 11 daripada belanjawan Adun Durian Tunggal ini.
Maafkan saya kerana menulis di luar konteks. Ini ruangan sukan namun ia juga kewajiban saya.Saya tidak mahu menyentuh kegagalan skuad bola sepak bawah 23 tahun negara pada Piala Agribank di Hanoi, Vietnam. Lagipun saya sudah menjangkakannya. Keupayaan barisan ini masih ditahap rendah biarpun kesimpulan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengatakan ada kemajuan.
Kalah semua perlawanan (0-1 kepada Vietnam dan Thailand serta 0-4 kepada skuad remaja Jepun) masih tetap ada kemajuan. Saya benar-benar tidak faham.
Terima kasih saya kepada mereka yang memahami kritisnya saya akan keadaan bola sepak kita serta tidak progresifnya pengurusan serta pembuat dasar FAM. Malah ada di antara mereka terdiri daripada kalangan pemain, bekas pemain dan kalangan jurulatih sendiri.
Kritikan bukan racun dan pujian tidak juga penawar. Sedarlah yang manis itu jangan terus ditelan, pahit pula usah terus di buang.

No comments: