Wednesday, January 16, 2008

Burlamacco




TAWA ria, gelak ketawa dengan bunyian seruling, trompet dan alatan muzik lain menghidupkan suasana Karnival Viareggio. Ada yang menari dan melompat kegembiraan dalam perarakan seragam badut merah putih serta hitam bertopeng Burlamacco. Yang berada di atas kereta berhias tidak henti melambai-lambaikan tangan. Perarakan itu berakhir di tengah-tengah bandar Viareggio yang disambut datuk bandarnya. Kertas-kertas kecil berwarna-warni bertaburan di angkasa bagaikan salji gugur memeriahkan ribuan penghuni bandar yang meraikannya. Aku berada di tengah-tengah pesta itu. Melihat kertas-kertas kecil hinggap di atas kepala dan ada yang cuba ku sambut sebelum jatuh ke tanah. Botol-botol wine bertukar tangan dan gelas-gelas kaca berlaga. Ada yang berpelukan tidak kurang pasangan kekasih bercumbu-cumbuan. Hari ini adalah perayaan mengingati sambutan karnival yang kali pertama diadakan pada tahun 1873. Hanya pada 1884, kereta berhias buatan kayu diperkenalkan dalam perarakan itu dan kemudian topeng Burlamacco pada 1930. Hari ini topeng itu menjadi lambang kemegahan Viareggio. Saya boleh lihat topeng itu dimana-mana saja di sini. Viareggio pada kurun ke-12 adalah sebuah pelabuhan perdagangan yang dibina di Motrone. Sebuah menara dibina bagi mengawasi musuh daripada menyerang. Namun bandar pelabuhan ini gugur juga pada kurun ke-15. Fortezza Matilde dibina bersebelahan menara bersejarah itu dan dari situ ia berkembang menjadi penempatan ramai. Zaman berubah silih berganti dan arus kemodenan menjadikan bandar Wilayah Versilia ini cukup makmur. Kesan Perang Dunia Pertama dan Kedua tidak begitu merosakkannya. Jika anda ingin bersantai di tepi pantai, Viareggio memiliki pantai putih sepanjang 50 kilometer tetapi jika ada pecinta alam, nikmatilah kedamaian hutan asli dengan aroma pokok pine sepanjang Banjaran Apuan. Terokalah ia. Jadi bandar yang saya tumpang untuk beberapa minggu ini boleh dikatakan masih asli.Malah saya disinipun kerana karnival itu juga. Penganjur melengkapkan pesta sebulan dengan Kejohanan Bola Sepak Dunia Copa Karnivale, menghimpunkan 46 pasukan, 17 daripada dari luar Itali termasuk wakil Malaysia, Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA). Suasana terus dihidupkan dengan permainan bunga api. Berdentum kemudian bunga-bunga api berpecah mencorakkan langit. Berkilau cahaya merah, biru, hijau, kuning dan putih. Belum bunganya padam, satu corak lagi tercipta silih berganti.Cantiknya. Ketika asyik mendongak ke langit, bahu terasa dicuit orang.Gelas kaca dengan air kuning jernih dihulurkan.Ada senyuman diwajah gadis berskaf merah ini.Suaranya antara dengar dengan tidak. Aku membalas senyumannya sambil menggelengkan kepala menolak sopan. Dia mengangkat kening tanda kehairanan. Aku menolak lagi sambil menunjukkan perut yang kurang selesa.Dia faham. "Chou" atau selamat tinggal diucapkan lantas berlalu pergi. Aku memerhatinya yang bergerak agar sukar melalui celah-celah manusia, kemudian hilang dari pandangan. Keadaan sesak menjadikan ruang aku berdiri ini semakin sempit. Berlaga bahu dan kadang-kadang dihimpit kiri kanan, depan dan belakang.Sampai waktu untuk aku beredar biar masih mahu berada lebih lama dalam kehangatan begini.Aku faham isyarat itu, namun dalam degil aku cuba keras bertahan. Berdiri kukuh memacak paksi. Tetapi sekukuh mana sekalipun,aku tetap ditolak ketepi.

No comments: