Wednesday, January 16, 2008

Mengeluh di Venice





VENICE . Bandar terapung atas air sering digambarkan sebagai lambang agungnya cinta. Pensyair memuja-mujanya dalam bait-bait puisi romantis. Novelis pula menyusun ayat indah menemukan dua hati menjadi satu dan pelukis memberi nyawa menerusi seni lakaran minyak.Aku menjadi saksi semua itu dalam melengkapkan jejak dari Pisa, Florence dan akhirnya Venice. Aku tidak menceritakan Florence dalam kolum lepas kerana bandar ini lebih kepada keagungan Santa Maria Novella dengan seni bina gereja serta muzium yang kaya penyimpanan koleksi seni tangan dan ukir.Cuaca masih dingin ketika feri yang aku naiki dengan tambang 6 euro sehala (RM27) bergerak dari jeti Sabbioni. Singgah sebentar di Lido untuk menurun dan mengambil penumpang sebelum bergerak terus ke Venice dalam perjalanan selama 40 minit.Ada dua cara pengangkutan ke sini. Melalui jalan darat dengan keretapi dan bas atau kenderaan ringan lain melalui lebuhraya Pente della Liberta. Aku memilih jalan air, biarpun perlahan tetapi panoramanya lebih mengesankan.Apa yang digambarkan mengenai Venice benar belaka. Memiliki puluhan hotel penginapan, restoran, pelbagai kedai jualan dari aksesori berlian dan batu permata, butik, barangan berkulit hinggalah kepada gerai-gerai souvenir tepi jalan semuanya melengkapkan percutian dalam menghidupkan suasana percintaan dan berbulan madu.Apa lagi mengikat janji setia sambil tenang dibawa Gondola melayari perlahan antara lorong-lorong air tanpa gangguan.Itu untuk berdua dan mereka yang hadir berpasang-pasangan. Pengunjung seperti aku yang datang secara berkumpulan tidak harus melayan perasaan. Venice turut memahami golongan ini. Grand Canal, laluan utama dengan kehijuan air yang dalamnya hanya sekadar lima meter, mampu mengubat hati gundah. Lebih 200 Palazzo atau binaan sejarah boleh disaksikan dari kiri dan kanan daratan. Anda tidak akan terlepas pandang Santa Maria della Salute dan Mocenigo dari atas bot dalam perjalanan sepanjang empat kilometer itu.Paling menarik adalah tiga jambatan utama menghubungkan dua tebing daratan ini - Scalzi, Rialto dan Accademia. Rialto setinggi 7.5 meter yang dibina Antonio Da Ponte pada 1588 menjadi simbol keagungan terusan ini.Namun aku menjadi orang paing kecewa.Lonjak hati untuk merasai pengalaman di tengah-tengah Grand Canal ini runtuh kerana simpanan yang tidak mengizinkan. 45 euro (RM200.5) untuk satu perjalanan bagi aku terlalu mahal.Beberapa kali aku keluar masuk dompet dalam saku seluar. Mengira-gira beberapa keping wang yang tinggal,cuba menyekat perbelanjaan mana yang perlu tetapi aku masih tidak mampu.Aku hanya melihat bot itu berlalu pergi. Membawa hati yang kesal melalui jalan kecil menuju ke Dataran St Mark.Di sana pertunjukan mini teater sedang berlangsung. Ramai juga pengunjung mengikutinya. Tetapi aku tak faham sebutir ayat yang dituturtkan pelakonnya. Dataran ini selain tersergam bangunan ibadat Basilica dengan lima kubah besarnya, ia juga menjadi penghuni kepada ribuan burung merpati. Ia terbang rendah antara celah-celah kepala manusia dan aku terpaksa kerap menundukkan kepala takut dilanggar burung yang salah haluan.Bunyi drum, gendang dan seruling menarik perhatian untuk aku beredar dari dataran ini. Ia datang dari arah Riva Degli Schiavoni, jeti utama yang aku turun tadi.Rupanya Venice seperti Viareggio dan aku rasa seluruh Itali menyambut karnival sejarah masing-masing dalam musim bunga ini. Perarakan dengan pakaian tradisional dan siap bertopeng. Topeng yang dipakai agak berlainan dengan Burlamacco pada pesta Viareggio.Ralit aku memerhatikan perarakan itu dari tugu Victor Emmanuel ll hingga tak sedar jam ditangan hampir menunjukkan angka 6.15 petang. Mujur aku masih belum terlewat untuk mengejar feri yang bergerak pulang ke Sabbioni jam 6.45 petang.Akhirnya Venice semakin kecil kerlipan neonnya apabila feri ini mula bergerak laju. Sebuah bandar percintaan yang menggetarkan jiwa, aku tinggalkan dengan keluhan panjang.

No comments: