Thursday, January 17, 2008

Aku semakin jauh


Olympic Athens 2004
The routine after each sweat-inducing day was to makan-makan lah...at the Indian Village owned by a Pakistani. From left Rizal Abdullah of the Star, Rizal, Buddy, me, Hamdan Saaid of Bernama (now he's with Berita Harian) and D. Raj of the Star.


ACROPOLIS, lambang keagungan Athens, indah dari pandangan di kaki bukit.Ia berubah warna mengikut pancaran matahari. Putih bila matahari tepat di atas kepala dan kekuningan bila mendekat senja.

Aku lihat bangunan Parthenon kekuningan dari Stadium Panathinaiko, gelanggang acara memanah purba yang dibina pada 330 Sebelum Masihi (SM). Kilauannya menggamit aku untuk menghampirinya seolah-olah mencabar untuk berada dipuncak.

Aku mahu menawan Acropolis, seperti berjaya dilakukan Kerajaan Uthmanniah. Begitu ironisnya Acropolis sehingga rakan setugas dari Berita Harian,Badrulhisham Otman, mengabadikan nama itu dalam kolumnya.

Dia mahu mendaki Acropolis tetapi aku tidak pasti sama ada dia sudah melakukannya atau belum.

Kaki terus menghala ke sana. Menyeberangi jalan besar Konstandinou yang membawa aku menyusuri Agora yang di kiri kanannya deretan pokok zaitun. Disinilah berdirinya Beule Gate, satu-satunya gerbang masuk utama yang tinggal, kekal hingga ke hari ini.
Enam daripadanya sudah tumbang kerana hukum alam dan runtuh akibat peperangan.

Kaki bukit Acropolis semakin hampir. Bayangnya sedikit kemerahan kerana senja sudah di kaki langit. Namun langkah aku terhenti bila di depan terpacak deretan gerai kraftangan, sulaman, souvenir, buahan kering dan makanan ringan. Tidak ubah seperti pasar malam di tanah air dan dibuka hanya pada hujung minggu.

Kerana ajakan rakan, hala kaki ku berubah arah. Sepatutnya terus mara ke depan tetapi melencong ke lorong kiri. Terdapat kira-kira 60 gerai jajaan semuanya.

Daripada sekecil barangan pin, tembikar, logam, kaca hinggalah ke ukiran kayu, arca haruman lilin, kain, lukisan cat, semuanya diperagakan untuk pengunjung. Harganya juga jauh lebih murah, berbanding di pusat bandar.

Ketika asyik melihat barangan tembikar, bahu aku terasa seperti dicuit orang. Bila menoleh, tiada sesiapapun di belakang, yang ada cuma sebuah gerai menjual hiasan pelekat magnet.

Lantas aku teringkat pada seorang kenalan lama. Dia adalah pengumpul tegar hiasan magnet ini. Sebagai penuntut Malaysia di luar negara, mudah baginya membuat koleksi itu ketika mengunjungi negara-negara yang dilawatinya ketika cuti musim panas.

Malah aku sendiri akhirnya terjebak dengan hobinya itu. Boleh dikatakan banyak juga
yang telah aku kumpulkan. Ada sahaja masa terluang ketika tugasan di luar negara, akan aku gunakan untuk mencarinya. Ada juga koleksi yang aku pesan dari rakan-rakan.

Pelekat magnet ini menjadi hiasan kepada peti sejuk di rumah. Bila melihat magnet ini, dengan sendirinya ingatan kepada negara yang pernah aku dilawati menjelma. Memang ada pahit dan manisnya. Maklumlah perantau di tempat orang.

Magnet yang diberi oleh kenalan lama itu masih terlekat kemas, tidak berubah kedudukan, seperti mana asalnya aku letaknya di situ. Begitu kukuhnya ia melekat, kukuh lagi ingatan aku terhadapnya.

Masa berlalu menjarakkan persahabatan kami berdua. Tidak ada berita. Tiada pesanan mahupun khabar. Masih adakah lagi atau tidakpun tidak.

Agak lama juga aku tercegat di situ, tidak cuba untuk menghampiri gerai berkenaan. Suasana kaki bukit Acropolis kini semakin muram. Hanya yang meneranginya adalah pancaran lampu-lampu neon di situ.

Aku hanya menurut langkag kaki. Di hujung lorong gerai terakhir menghala keluar jalan, baru tersedar aku sebenarnya tidak membeli apa-apa.

Mahu berpatah balik, rakan pula sudah mengajak pulang. Lagipun teksi yang ditahan sudah terpacak di hadapan. Mahu tidak mahu, aku terpaksa akur jua.

Dari dalam perut teksi, aku melihat Acropolis yang semakin jauh ditinggalkan. Gagal juga aku menawannya.

No comments: