Thursday, January 17, 2008

Tragedi buah tembikai


HAMPIR setiap pagi saya akan melintasi di depannya. Dia seperti biasa akan melihat saya tanpa senyuman kemudian meneruskan kerjanya semula. Menyembur air ke atas deretan buah-buahan yang nampak segar. Kedainya terletak hanya 10 meter dari pintu rumah saya menyewa menuju ke jalan utama, Ino illisia.
Saya tidak tahu nama lelaki ini. Tetapi dia dalam lingkungan lewat 60-an. Berkepala hampir botak, bercermin mata jenis bingkai lama hitam yang tersangkut di hujung hidung. Bila melorot hampir jatuh, dia akan memperbetulkan kedudukannya semula. Pakaiannya ringkas sekali. Baju-t nipis dan hanya berseluar pendek. Kadang-kadang saya geli hati melihat ragamnya yang selalu membebel, tetapi sakit hati juga dengan perangainya.
Pernah sekali, sewaktu membelek buah tembikai, saya ditegurnya. Buah yang saya pegang, diambilnya dan terus diletakkan terus ke atas mesin penimbang. Harganya 3 euro.
Ketika dia hendak memasukkan buah itu ke dalam bekas pelastik, saya menahannya. Saya kata saya bukan mahu membelinya sekarang. Saya mahu keluar bekerja. Bila pulang nanti baru saya membelinya.
Dengan wajah sedikit masam, dia meletakkan buah tembikai itu semula ke tempat asal tempat saya ambil tadi. Belum sempat saya menjelaskan lagi, dia terus keluar, membuka selipar dan terus melempar ke arah sekawan burung merpati yang sedang menghampiri selonggok buah peach yang sedang masak ranum.
Burung tidak kena, seliparnya pula terbang masuk melalui tingkap sebuah rumah jiran. Kemudian terdengar suara tuan rumah menjerit dan menjenguk ke luar tingkap. Tangannya sedang memegang selipar tadi.
Orang tua ini nampak cemas. Sebelah selipar lagi terus dulucut dan cepat disepak ke bawah bakul buah epal.Berkaki ayam sambil pantas masuk ke dalam kedai.
Dia memandang saya, mungkin minta saya tidak membocorkan rahsia. Saya senyum dan terus beredar.
Lelaki itu mengingatkan saya pada arwah datuk saya. Dia tidak besar, kurus dan hitam sedikit kulitnya. Arwah orang kampung. Pagi menoreh getah dan petangnya seorang gembala lembu. Banyak juga lembunya. Seingat saya sekitar 20 ekor lebih.
Oleh kerana dia ini ada darah India, ramailah rakan-rakannya dari kalangan orang India juga. Mereka ini pekerja estet getah di Batu 11, Durian Tunggal.
Terasa ruginya bila saya tidak terfikir untuk belajar bahasa Tamil. Kadangkala arwah datuk membawa saya ke ladang estet melihat lembu-lembunya. Basikal lama yang ada palang di tengah jadi tempat saya bertenggek.
Memang sakit punggung dibuatnya. Adatlah kanak-kanak. Seronok tak ingat apa-apa.
. Satu keistimewaan arwah datuk, dia boleh baling apa sahaja kena tepat pada sasaran. Bila lembu-lembunya degil dan memasuki kebun orang, dia akan gunakan keistimewaan itu. Pantas tangannya mencapai sepotong kayu. Dari jarak yang agak jauh, dia boleh baling tepat ke sasaran. Habis bertempiaran lembu-lembunya lari.
Sudah enam tahun arwah datuk meninggalkan saya. Terlalu rindunya saya pada dia. Semoga tenang rohnya dan sentiasa di rahmati Allah swt.
Semalam ketika pulang, saya nampak orang tua tadi tercegat di muka depan pintu kedainya. Saya boleh mengecamnya dari jauh berdasarkan fizikal tubuhnya.
Bila terlihat saya, dia terus masuk ke dalam kedai dan kemudian keluar sambil tangannya memegang sesuatu. Dia menahan saya sambil menghulurkan beg plastik itu.Sebiji buah tembikai.
Dia bercakap sesuatu dalam bahasa Greek sambil tersenyum ketika saya mengeluarkan dompet.Tangannya menolak dompet yang saya keluarkan. Fahamlah buah tembikai itu diberinya percuma. yang pasti, rasuah untuk saya menutup mulut.

1 comment:

hazifa said...

Haha...what a kelakar punya story...tapi penuh makna...betapa sejagatnya perbuatan merasuah ni...hei..dulu kat ITM, naper u tak ambil Tamil...kalau tak, boleh bagi u nama baru...Dimas Manakem...jangan mara ek...